Pelik Tapi Benar: En Kamal Rayu Umno Dan Mic Sokong Dia

Calon BN rayu Umno, MIC Hulu Selangor beri peluang
Oleh G. Manimaran

RAWANG, 16 April - Ketua Penerangan MIC P. Kamalanathan yang akan mewakili Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor yakin akan memperoleh sokongan ahli-ahli Umno dan MIC, yang dilihat berpecah ekoran kemelut penentuan calon.

Sehubungan itu, Kamalanthan yang dipilih sebagai calon BN kira-kira empat jam sebelum majlis pengumuman calon semalam merayu agar beliau diberikan “satu peluang” untuk mewakili kawasan itu di Parlimen.

Sebahagian besar MIC cawangan melahirkan kekecewaan apabila pucuk kepimpinan BN mengetepikan nama Timbalan Presiden MIC Datuk G. Palanivel, wakil rakyat sejak 1990, daripada dicalonkan semula.

MIC dikatakan hanya mengemukakan nama Palanivel tetapi beliau diketepikan kerana didakwa tidak popular.

Pengundi-pengundi Melayu pula khususnya kalangan Umno didakwa terkilan kerana kerusi itu tidak dikembalikan kepada parti itu, sebaliknya MIC dibolehkan kekal bertanding di Hulu Selangor.

MIC diperuntukkan kerusi itu sejak pilihan raya umum 1986.

Kamalanathan, 45, dari Bahagian Selayang akan mewakili BN di kerusi Parlimen Hulu Selangor dan beliau buat kali pertama bertanding dalam pilihan raya.

Beliau dipilih walaupun pada awalnya Timbalan Ketua Pemuda MIC V. Mugilan dikatakan berada di senarai teratas calon-calon dipertimbangkan BN.

Mugilan dikatakan mendapat sokongan kuat Umno dan dilabel sebagai proksi parti itu tetapi dibantah keras oleh MIC sehingga diputuskan untuk diambil tindakan disiplin.

“Saya pasti mereka (penyokong Umno) akan memberikan sokongan padu. Saya tidak meragui sama sekali,” kata Kamalathan kepada The Malaysian Insider ketika ditemui di rumah lotnya di Taman Garing di sini hari ini.

Kamalanathan juga tidak disenangi ahli-ahli MIC atas alasan beliau bukan merupakan “anak tempatan.”

Menjawab soalan beliau bukan “anak tempatan”, Kamalanathan memberitahu, Hulu Selangor sebenrnya tidak jauh dari bahagian Parlimen Selayang.

“Dalam selangkah saya boleh sampai di Hulu Selangor... saya akan bersama anda,” kata beliau dengan merujuk Selayang sebagai jiran kepada kerusi Parlimen Hulu Selangor.

“Saya tinggal di Rawang hampir 40 tahun. Saya anak tempatan, bukan seperti Datuk Zaid (Ibrahim)... apakah definisi anak tempatan, saya membesar di sini.

“Bagi kawasan Parlimen kita tidak perlu fikir sama ada anak tempatan ataupun sebaliknya... jika tanding kerusi Dewan Undangan Negeri, ya, kita perlukan muka tempatan, dari kawasan setempat,” katanya.

Kamalanathan yang juga penyelaras Putera MIC merayu kepada ahli-ahli Umno supaya memberikan peluang untuk mewakili mereka di Parlimen.

“Saya mahu merayu kepada mereka, dengan rasa rendah diri agar berikan saya peluang untuk berkhidmat untuk memastikan kehidupan mereka dijaga.

“Saya akan memastikan saya akan bersuara di Parlimen untuk membawa lebih banyak pembangunan ke Hulu Selangor... itu saya hendak memberi jaminan, berikan saya satu peluang. Saya mahu berkhidmat untuk mereka,” katanya.

Sambil menambah beliau sudah lama mengenali rakan-rakan dalam Umno, Kamalanathan berkata, Umno merupakan parti yang mematuhi keputusan yang dibuat oleh pemimpin kanan parti.

“Perdana menteri dan timbalan perdana menteri bersetuju bahawa kerusi ini seharusnya pergi kepada MIC, dan mereka berikan kepada MIC. Mereka ikut tradisi dan membolehkan kami bertanding,” katanya.

Ketika ditanya bagaimana beliau hendak meyakinkan pengundi-pengundi Melayu, Kamalanathan yang tidak menolak pengundi Melayu juga berpecah berkata:

“Saya hanya mahu pergi jumpa mereka, dan memberitahu mereka apa yang boleh saya lakukan.”

“Saya hendak memberitahu mereka tentang usaha-usaha yang sedang dilakukan, inisiatif yang kami akan ambil, keseluruhan jentera BN akan ada di sini.

“Kebanyakan anggota Kabinet akan ada di sini, mereka akan dapat melihat kehadiran mereka, mereka akan dapat melihat betapa seriusnya kami dalam membangunkan kawasan ini,” katanya.

Semalam selepas mengumumkan calon BN, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Umno perlu menghormati konsep BN yang mengamalkan toleransi dalam perjuangan dan menghormati MIC yang telah lama bertanding di kawasan itu.

“Ada orang kata beri saja pada Umno, mungkin boleh menang. Tapi kita sudah lama bersahabat dengan MIC. Sudah duduk sama-sama dalam satu kerabat BN. Kawasan ini kawasan MIC tapi calon yang bertanding akan guna simbol BN, bukannya simbol MIC.

“Walaupun kita tahu MIC mewakili kaum India yang kecil di kawasan ini tapi konsep BN tiada yang kecil, semuanya sama. Kita mahu suara orang India diberi tempat,” katanya.

Mengenai perpecahan di kalangan ahli-ahli MIC pula Kamalanathan berkata, beliau yakin akan mendapat sokongan padu mereka selepas proses penamaan calon esok.

“Saya pasti mereka akan kembali menyokong saya... mungkin dalam sehari, dua ini mereka akan kembali. Dan, saya juga akan menemui mereka selepas ini,” katanya.

Mengenai majoriti yang diharapkan, pegawai perhubungan awam syarikat pengeluar beras Serba Wangi berkata:

“Saya tidak bercakap mengenai majoriti. Saya mahu melakukan yang terbaik di sini. Biar pengundi tentukan majoriti yang saya hendak peroleh.’

Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu dijadual mengadakan pertemuan dengan pengerusi MIC cawangan dalam bahagian Hulu Selangor.

Penamaan calon pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor akan diadakan esok dan jika ada pertandingan pengundian akan berlangsung 25 April ini.

enCik kamal dari parti mana sebenarnya?

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.