Pemilihan Nik Aziz beri kelebihan kepada Pas

KOTA BHARU - Pengekalan jawatan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Mursyidul Am Pas mengukuhkan parti sekali gus membuktikan khidmat beliau masih diperlukan khususnya dalam menghadapi pilihan raya ke-13 nanti.

Pengarah Pilihan Raya Pas Negeri, Abdul Fattah Harun berkata, kredibiliti dan keupayaan Nik Abdul Aziz tidak boleh dipersoalkan mana-mana pihak walaupun terdapat spekulasi yang mengaitkan beliau mempunyai pertentangan pendapat dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Apa yang penting, matlamat yang dibawa oleh Tok Guru adalah sama dengan kepimpinan Pas yang lain, apa yang berlaku sebelum ini hanya pendekatannya dilihat berbeza, itu tidak memberi masalah,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas pendapat yang mengaitkan Nik Aziz yang dikatakan mempunyai perbezaan pendapat dengan Dr Haron Din, Fatah berkata, percambahan pemikiran akan melahirkan keputusan berkualiti.

“Kadang-kadang kita perlu mengemukakan pendapat yang berbeza dari seseorang individu, itu mencantikkan lagi ilmu yang ada, tetapi dalam konteks kedua-dua pemimpin ini, ia tidak menjejaskan atau merugikan kerana ia berlaku dalam suasana yang harmoni,” katanya.

Menyentuh mengenai kadar kesihatan Nik Aziz yang kurang memuaskan, Fatah berkata, pembantu-pembantu Nik Aziz perlu memainkan peranan yang lebih aktif bagi mewujudkan kestabilan dalam pentadbiran parti.

“Tok Guru sendiri mengakui bahawa kesihatannya tidak memuaskan, oleh itu selepas ini adalah perlu pembantu beliau memainkan peranan yang lebih aktif sekali gus mengurang bebanan tugasan yang dibawa sebelum ini,” katanya.SH

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.