Pemuda PR desak Apco disiasat

GEORGETOWN - Sekretariat Muafakat Pemuda Pakatan Rakyat Pulau Pinang (SMPPRPP) menggesa siasatan menyeluruh dilakukan terhadap firma komunikasi antarabangsa, Apco Worldwide yang didakwa mempunyai agenda tersendiri mirip rejim haram Zionis-Israel.

Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang, Ahmad Azrizal Tahir berkata, mereka terpanggil untuk membuat laporan polis kerana ia mungkin boleh memberi kesan kepada keselamatan negara.

“Ia adalah sebuah syarikat yang dikenali sebagai pro-Zionis dan ada ahli lembaga pengarahnya terdiri daripada rakyat Israel yang pernah terlibat secara langsung dengan badan perisikan rejim itu.

“Bagaimanakah sebuah syarikat yang mempunyai kepentingan dan hubungan terus dengan rejim Zionis dan Israel dibenarkan menjadi penasihat kerajaan Malaysia?,” katanya ketika ditemui di Ibupejabat Polis Daerah Timur Laut di sini, semalam.

Menurutnya, sebuah syarikat yang mempunyai beberapa bekas tokoh dalam badan perisikan dan badan diplomatik Israel tidak ajar diberi akses kepada maklumat negara ini yang tidak sepatutnya didedahkan.

“Saya rasa ini bukan satu langkah yang betul apabila sebuah syarikat yang mempunyai hubungan kuat dengan badan perisikan dan diplomatik Israel telah diberi akses kepada maklumat yang boleh memberi kesan kepada keselamatan negara,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Angkatan Muda Keadilan Pulau Pinang (AMKPP), Syed Mikael Rizal Aidid berkata, Apco jelas mempunyai agenda dan dokongan individu berpengaruh yang mirip rejim Zionis Israel.

“SMPPRPP menolak penafian Apco bahawa ia tidak terlibat langsung dalam penubuhan ‘Gagasan 1Malaysia’ kerana ia jelas membuktikan Apco sudah bertapak di Kuala Lumpur dengan pejabat operasi dan penggeraknya, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) adalah sama, cuma ia bergerak atas nama Mind Team Sdn Bhd.

“Perkara ini sudah lama berlaku, sebelum Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Najib Tun Razak jadi PM dengan ‘gagasan 1Malaysia’nya lagi. Saya selaku wakil seluruh rakyat Malaysia menolak sekeras-kerasnya ‘penjajahan’ seperti ini dan mengajaksemua rakyat bangkit menentang ‘Neo-Colonialism’ tajaan Zionis-Israel ini,” katanya.

Turut hadir di IPD Timur Laut semalam, Setiausaha Politik Ketua Menteri, Ng Wei Aik.

Kelmarin, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan firma komunikasi antarabangsa, Apco Worldwide mempunyai hubungan dengan kerajaan sebelum Gagasan 1Malaysia diperkenalkan.
Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.