Wakil rakyat perlu bela diri

KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempertahankan wakil rakyat dari Pakatan Rakyat (PR) yang membuat kecoh sama ada pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) mahupun sidang Parlimen yang berlangsung ketika ini.

Menurutnya, Islam dan demokrasi mengajar umatnya supaya mempertahankan diri sekiranya ada pihak yang mengambil tindakan tanpa mengikut undang-undang dan perlembagaan yang ditetapkan.

“Orang yang berada di Dewan adalah cerdik dan bukannya orang kampung. Orang cerdik bila rasa ada pihak yang zalim, dia mesti lawan, itu cerdik namanya. Kalau orang yang mengkhianati, kita diam saja, itu tidak kena.

“Tiap-tiap perbalahan itu mempunyai sebab.

"Ada orang membuat masalah menyebabkan pihak yang lain mempertahankan diri. Islam dan demokrasi ajar (cara itu), jangan nampak yang buruk sahaja,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah Jumaat di Dataran Ilmu, di sini, semalam.

Beliau diminta mengulas kekecohan yang berlaku di Parlimen semalam dan DUN Perak antara wakil rakyat kerajaan dan pembangkang.

Dalam kejadian di DUN Perak Rabu lepas, kesemua 28 wakil rakyat pembangkang keluar meninggalkan sidang Dewan kerana tidak berpuas hati dengan perjalanan mesyuarat hari kedua itu.

Sementara di Parlimen kelmarin, beberapa Ahli Parlimen diarahkan keluar Dewan sehingga selesai persidangan kerana tidak menghormati arahan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee supaya tidak melakukan kekecohan.

Sehubungan itu, Menteri Besar Kelantan itu mahu semua pihak kembali kepada peraturan dan undang-undang yang jelas memberi kuasa kepada rakyat untuk menentukan tanggungjawab yang dipikul seseorang wakil rakyat.

“Untuk mengelak perkara seperti itu berlaku, kita kena kembali kepada peraturan dan undang-undang. Kalau akhirat kita kena ikut agama iaitu al-Quran dan hadis. Kalau dunia, kita kena ikut perlembagaan dan undang-undang. Semuanya adalah peraturan,” katanya.

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.