Apa Dosa Kak Lah Di Rantau Panjang?

SUDAH acap kali terdengar di telinga saya yang ahli Parlimen Rantau Panjang Siti Zailah Yusuf tidak disenangi oleh Ketua Pas Kawasan Rantau Panjang, Abdul Fatah Haron. Saya kurang jelas apa masalahnya. Apakah kerana Zailah bertanding dikerusi Parlimen Rantau Panjang, maka Fatah kurang senang? Kalau iya begitu, kenapa Fatah tidak mencegahnya sewaktu nama Zailah dipilih untuk bertanding di Rantau Panjang dalam pilihan umum lalu?

Ada ura-ura dalam pilihan raya lalu kawan baik Fatah, (kroni Tiga Abdul) Wan Abdul Rahim Abdullah hendak diletak bertanding di Rantau Panjang. Wan Rahim katanya sudah pun turun untuk membuat persediaan bagi bertanding di situ. Kerusi Kota Bharu yang ditandingi oleh Wan Rahim (kini) sebenarnya diperuntukkan kepada PKR. Kerana itu Wan Rahim terpaksa dimudik ke Rantau Panjang.

Alih-alih tidak jadi, dan Zailah diletak bertanding di situ. Walaupun bekas Ketua Penerangan Pas Rantau Panjang, Rushdan Mustapa disebut-sebut untuk diletakkan di situ tetapi ia hanya angan-angan saja bila mana Fatah katanya awal-awal lagi sudah mencantas Rushdan secara tektikal. Cantasan itu atas alasan bekas pemimpin Umno. Ekoran itu kempunanlah Rushdan.

Fatah memang berkuasa di Rantau Panjang. Dialah raja Pas di kawasan itu sejak akhir 70-an lagi. Dengan kedudukan itu Fatah boleh lakukan apa saja. Pengisian ahli Majlis Daerah Pasir Mas di bawah bidang kuasanya. Perlantikan Penghulu di Parlimen Rantau Panjang juga dibawa bidang kuasanya. Kerana itu beliau boleh melantik dan tidak menyambung kontrak sesiapa yang menentangnya.

Tetapi apabila timbul cerita dia tidak senang dengan Zailah saya jadi bingung. Apa masalahnya. Apakah Zailah sudah membanyanginya dari segi kerajinan berjumpa rakyat dan peranannya di Parlimen yang menampakan Zailah jauh lebih menyerlah. Memang penampilan Zailah di Rantau Panjang cukup disenangi dan mendapat pujian rakyat bawahan. Zailah yang memesrakan dirinya dengan membahaskan dirinya Kak Lah bergerak tanpa kira masa dan mendekati semua orang tanpa meletakkan warna parti sebagai garisan dan halangan.

Bila sesekali balik ke Rantau Panjang cerita Zailah dipulau oleh Fatah menyendak ke dalam telinga. Dari Tok Deh hingga ke Lubuk Stol terdengar cerita itu. Dari Bukit Tuku hingga Meranti terdengar cerita itu. Cerita paling popular kenapa Zailah tidak disenangi Abe Tah (panggolan Fatah) kerana dia berkerja tanpa mempedulikan Fatah.

Itulah puncanya. Katanya Fatah tidak senang dengan gerak kerja dilakukan Zailah. Zailah melaksanakan aktivinya tanpa melalui kawasan. Zailah pakai buat sendiri saja. Betulkah dakwaan ini dan apakah aktiviti Zailah berjumpa dengan rakyat itu membahagikan beras, baju, dan menguruskan masalah rakyat perlu mendapat restu dari kawasan dulu? Atau kerja itu tidak sah kalau tidak diketahui Fatah?

Mungkin apa yang terjadi Fatah tidak mahu Zailah bergerak terlalu laju darinya. Sebenarnya itu tidak menjadi apa-apa masalah. Zailah adalah Ketua Dewan Muslimat Pas Kelantan. Dia ada rangkaian atau net workingnya sendiri. Kalau kawasaan enggan memberi kerjasama dia boleh buat sendiri. Dia juga ahli Parlimen dimana ada peruntukan sendiri. Inilah kelebihan Zailah. Beliau menghabiskan peruntukan Parlimen untuk rakyat dan bukan dimuat ke dalam poket kroninya.

Kisah Fatah dikatakan tidak senang dengan Zailah ini sudah menjadi buah mulut. Ia juga sudah sampai ke peringkat parah. Khabarnya program yang dianjurkan Pas kawasan tidak dibabitkan Zailah. Setengah program Zailah tidak pun diberi tahu dan terpaksa hadir dalam keadaan hidung tak mancung pipi tersorong-sorong. Ini sepatutnya tidak berlaku sebab beliau harus dihormati sebagai ketua Dewan Muslimat Pas. Sebarang perbuatan menghina Zailah adalah menghina kaum muslimat di Kelantan.

Perselisihan ini juga sudah menjadi rahsia umum. Semasa balik ke Rantau Panjang sempena muktamar Pas lalu saya lihat sendiri bagaimana Zailah terasing dari Pas kawasan Rantau Panjang. Ini dapat dilihat kepada banner yang dipasang di beberapa tempat mengalu-alukan perwakilan ke muktamar Pas. Dalam kain pemidang itu hanya ada gambar Adun Meranti, Nasaruddin Daud, Adun Gual Periok, Ahmad Awang bersama Fatah saja selaku Dun Bukit Tuku. Manakala gambar Zailah sebagai ahli Parlimen Rantau Panjng tidak kelihatan. Zailah terpaksa membuat bannernya sendiri untuk mengalu-alu kedatangan para perwakilan.

Sepatutnya gambar ketiga Adun ini diletakkan di bawah gambar naungan Fatah. Keadaan ini nampak sekali bahwa kawasan tidak menenyenangi Zailah. Ada usaha untuk menyenyapkan kewujudan Zailah.

Punca kenapa Zailah diketepikan tidak begitu jelas. Cuma menurut ceritanya selain Zailah kelihatan laju dan aktif, tindakan ahli Parlimen Rantau Panjang itu mencabar jawata Naib Yang Dipertua Pas Rantau Panjang tahun lalu menjadi faktornya. Katanya Fatah tidak mahu Zailah bertanding merebut jawatan Naib Yang Dipertua bersama Ahmad Awang. Ahmad adalah calon pilihannya. Fatah menghantar wakil meminta Zailah membatalkan hasratnya tetapi ditolak oleh Zailah. Itulah menimbulkan kemarahan Fatah.

Kalaulah itu puncanya, remeh sangatlah alasan Fatah untuk marahkan Zailah. Bukankah Pas mengamalkan kebebasan memilih pemimpin. Sesiapa saja boleh merebut jawatan asalkan ada pencalonan. Kenapa Fatah cuba hendak menafikan apa yang dihalalkan parti. Tindakan itu juga seolah-olah Fatah mahu menunjukkan yang beliau menguasai Pas Rantau Panjang. Merasakan Pas Rantau Panjang sebagai kepunyaan datuk neneknya.

Fatah harus sedar, zaman menumpang kasih dan menumpang tuah di bawah ketiak orang tua sudah pun berlalu. Pas kini sedang mengorak langkah ke era globalisasi. Yang menyertai Pas bukan saja orang Lemal, Repek, Bukit Tuku ataupun Mengkasar, (kampung keluarga Fatah) tetapi orang Cina dan India juga telah menyertai Pas.

Dalam zaman orang membuka 'pintu ijtihad politik' seluas-luasnya kita jangan menutupnya. Beliau juga harus sedar, dan perlu menilai kemampuan diri sendiri sebagai ketua. Fatah sudah meguasai Pas Rantau Panjang lebih 40 tahun apakah kemajuan dan perubahan baik dari segi mental berpolitik dan pembangunan fizikal di kawasan itu. Apakah jasa besar Fatah untuk rakyat Rantau Panjang?

Saya tidak nampak kecuali pemilikan tanah kerajaan untuk dibangunkan kompleks Pas yang pemegang amanahnya terdiri daripada kaum kerabat Fatah.

Kalau Fatah cemerlang dalam perkhidnmatannya sudah tentu beliau dilantik menjadi Exco atau pun Timbalan Menteri Besar. Beliau orang lama. Tetapi kenapa parti tidak berbuat begitu kerana parti tahu sejauh mana kebolehan dan wibawa Fatah sebagai wakil rakyat. Jika dibanding dengan Nasaruddin Adun Meranti, Fatah jauh lebih senior darinya. Tetapi hari ini Nasaruddin sudah menjadi Speaker dan dianugerah gelaran Datuk. Kenapa Nik Aziz melupai untuk menganjakkan kedudukan Fatah? Kemalangan ini sepatutnya diinsafi oleh Fatah.

Fatah sudah pun sayup musim. Usaha untuk mewariskan Pas kepada anak beranak juga tidak relevan lagi. Ia bukan perbuatan terpuji. Fatah atau sesiapa saja kena ingat, Pas bukan milik individu tetapi melihat semua orang yang mahu menggunakannya merealisasikan hukum Allah di atas muka bumi ini. Sesiapa yang cuba menjadikan Pas sebagai pesaka turun temurun dia seorang yang babil!

Katanya Fatah mengarahkan seseorang agar membuat laporan mengenai Zailah kepada pucuk pimpinan Pas Kelantan termasuk Pesuruhjaya, Nik Azi Aziz Nik Mat Adalah diharap Nik Aziz yang juga besan Fatah tidak akan mudah terpengaruh dengan 'kelentung' individu tertentu yang mendengar nasihat Fatah untuk memburuk Zailah itu. Ada baik juga kalau Nik Aziz hendak siasat hal Zailah itu beliau terlebih dahulu menyiasat pembidaah politik di Rantau Panjang yang dilakukan Fatah.

Dalam hal ini adalah tidak adil kalau Nik Aziz bertindak hanya mendengar aduan sebelah pihak tanpa memanggil pihak lain yang berkecuali dan melihat sendiri bagaimana Zailah dimalukan oleh Pas kawasan Rantau Panjang.


http://msomelayu.blogspot.com/

No comments

Powered by Blogger.