DBKL Buat Kerja Seperti Melepaskan Batuk Ditangga

Oleh Frederick Luccas

KUALA LUMPUR 12 Jun - Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar mendesak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur membuat perancangan pembaikan jalanraya yang lebih teratur dan untuk jangkamasa panjang dan bukannya sekadar menampalan jalan setiap kali ada aduan daripada orang ramai.

Bercakap kepada media semasa melawat Jalan Maarof semalam, beliau menyatakan DBKL perlu lebih efisyen dalam menangani masalah setempat, terutamanya berkaitan aduan daripada masyarakat.

"DBKL merugikan sumber yang ada dengan membuat tampalan ke atas jalan yang perlu diturap dan tampalan ini akan rosak dan terkeluar setelah beberapa hari digunakan," tambah beliau lagi.

Jalan Maarof merupakan antara jalan besar yang sibuk dan digunakan oleh beribu kenderaan setiap hari dan keadaan jalan yang berlubang dan merekah di hampir setiap simpang menyebabkan pengguna jalan ini terpaksa menghadapi keadaan trafik yang perlahan setiap hari.

Situasi ini sudah tentunya bukanlah sesuatu yang ideal terutamanya di kawasan yang mempunyai nilai ekonomi yang tinggi seperti Bangsar.

"Saya berpuashati dengan portal e-Aduan yang dibangunkan oleh DBKL, di mana hampir 80 peratus aduan telahpun diselesaikan oleh DBKL. Berkenaan Jalan Maarof, kita mendapat pengesahan daripada DBKL bahawa kerja pembaikan telah dimulakan, tetapi apa yang kita lihat ialah hanya tampalan jalan yang sudah tentu tidak akan tahan lama.

"Kerja sebegini akan menyebabkan pengguna mengadu kembali setelah beberapa ketika dan kitaran ini akan berterusan tanpa satu penyelesaian yang kukuh. Saya meminta DBKL untuk menilai semula kualiti bahan dan proses kerja agar pembaikan yang dibuat adalah untuk jangka panjang, bukan tampalan sementara yang hanya merugikan DBKL dan pengguna jalanraya yang lain," tegas Nurul Izzah.

Tambah beliau, DBKL perlulah peka terhadap isu sebegini dan bukan menunggu sehingga aduan diterima sebelum membuat kerja pembaikan.

"Tugas kita sebagai Ahli Parlimen adalah untuk mendengar keluhan rakyat dan membuat program untuk rakyat, tetapi apa yang saya dapat lihat di sini ialah saya terpaksa campurtangan dalam hal yang sepatutnya dalam pantauan DBKL. DBKL patut sedar isu masyarakat di dalam kawasannya dan mengambil inisiatif, bukannya menunggu sehingga disuruh.

"Harapan saya agar DBKL dapat menerima kritikan ini sebagai satu maklumbalas yang positif dan mengambil langkah sewajarnya," kata beliau lagi.

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.