Hospital Shah Alam Projek Ali Baba

Oleh Faizal Ezzany

KUALA LUMPUR 23 Jun - Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua meminta kerajaan menjelaskan kedudukan projek Hospital Shah Alam yang tidak dapat disiapkan dalam masa yang ditentukan atas sebab sub-kontraktor, Isyoda (M) Sdn Bhd yang tidak dibayar selama tiga bulan.

Beliau projek pembinaan hospital itu sudah mengamalkan sistem 'Ali Baba', yang mana kontraktor utama, Sunshine Fleet Sdn Bhd hanya mengambil untung tanpa melakukan apa-apa kerja.

Selain itu, beliau merujuk jawapan dari Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Mansor bahawa dengan perlaksanaan undang-undang baru kerajaan memberi menjamin sub-kontraktor akan dibayar tepat pada waktunya.

Dalam jawapan bertulisnya kepada soalan Tony Pua dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, menteri berkata projek itu akan selesai pada 26 Jun 2011, iaitu penangguhan hanya tiga hari dari tarikh masa sebenar.

Tony Pua mempersoalkan bagaimana kerajaan boleh menjaminkan projek tersebut boleh disiapkan dalam jangka masa yang ditetapkan selain kelewatan hanya tiga hari sahaja, sedangkan maklumat yang diperolehi mengatakan sub-kontraktor sudah tiga bulan tidak menerima bayaran.

"Macam mana menteri boleh memberi jaminan dengan mengatakan tidak akan berlaku penangguhan pada projek tersebut sedangkan sekarang ini Isyoda (M) Sdn Bhd sudah tiga bulan tidak menerima apa-apa bayaran, selain itu juga kita dapati amalan 'Ali Baba' juga telah berlaku dalam projek itu.

"Sunshine Fleet Sdn Bhd telah melantik Isyoda (M) Sdn Bhd sebagai sub kontraktor untuk kerja-kerja menyiapkan bangunan tersebut dengan nilai yang jauh lebih rendah daripada kelulusan kerajaan, tetapi disebabkan oleh sudah tiga bulan Isyoda (M) Sdn Bhd tidak mendapat bayaran maka kerja tersebut telah ditangguh.

"Kelewatan ini jelas kerana masalah kewangan, kerajaan perlu mengambil tindakan segera ke atas kontraktor utama kerana telah menyebabkan kelewatan itu berlaku agar kejadian projek tergendala dapat dielak.

"Kemelut ini bertambah teruk apabila berlakunya proses saman antara kedua-dua pihak dan ini jika tidak di pantau dari sekarang kemungkinan besar projek tersebut akan tergendala," jelas beliau pada sidang media di parlimen tengahari tadi.

Tambah Tony Pua lagi, unsur rasuah secara jelas berlaku kerana mengikut surat yang diberikan oleh Isyoda (M) Sdn Bhd kepada Sunshine Fleet Sdn Bhd bertarikh 16 November 2007, mereka bersetuju untuk memberi RM46.231 juta kepada Pengerusi Eksekutif Sunshine Sdn Bhd sebagai bayaran perlantikan tersebut.

"Kerajaan sepatutnya boleh menjimatkan kos yang besar jika melantik kontraktor yang betul-betul berminat ingin melakukan kerja tersebut, tetapi disebabkan kepentingan peribadi dan kroni maka lantikan diberikan kepada mereka yang hanya ingin mendapat keuntungan atas angin sahaja iaitu mengambil untuk tanpa melakukan kerja.

"Jika siasatan tidak dilakukan olek kementerian terbabit, saya pasti satu lagi projek kerajaan untuk kemudahan orang ramai mendapat rawatan akan tertangguh. Keuntungan sudah dikutip tetapi projek dibiarkan begitu sahaja," tegas Tony Pua.

Beliau memaklumkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia telah memulakan siasatan berhubung unsur rasuah dalam projek itu tetapi tidak pasti sejauh mana hasil siasatan yang dijalankan.

No comments

Powered by Blogger.