JI: Jakim tunggu laporan dakwaan babitan 4 tokoh agama, politik

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mendapatkan laporan lengkap berhubung dakwaan terdapat tokoh tertentu – politik dan agama negara ini yang dikaitkan dengan fahaman Wahabi dan Jemaah Islamiah (JI).

Dipetik Bernama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata Kementerian Dalam Negeri juga sedang meneliti perkara itu dan beliau turut memantau perkembangannya.

“Kita sedang menyiapkan laporan lengkap untuk melihat sama ada benar atau tidak perkara itu,” katanya kepada pemberita selepas meraikan sukarelawan Malaysia yang menyertai Flotilla Kebebasan Gaza, kapal Mavi Marmara yang diserang tentera Israel pada bulan lalu, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan sebuah portal berita semalam bahawa terdapat seorang pegawai Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), sebuah agensi di bawah Jakim yang mengaitkan tokoh-tokoh tertentu di negara ini dengan fahaman wahabi dan lingkaran JI dalam satu taklimat di Bukit Aman, Isnin lalu.

Pagi tadi, Penolong Pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu Teras, Institut Latihan Islam Malaysia, Zamihan Mat Zin hari ini menafikan dakwaan bahawa beliau pernah mengaitkan nama dua pemimpin politik termasuk Presiden PAS dan mufti Perlis dengan fahaman wahabi dan pengganas Jemaah Islamiah (JI).

Sebaliknya Zamihan mengakui ada “membangkitkan” nama bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin dalam taklimat keselamatan negara berhubung JI di Bukit Aman Isnin lalu berdasarkan tulisan beliau selama ini.

“Dakwaan itu adalah satu pembohongan, dusta dan khianat,” kata Zamihan.

“Saya tidak pernah menyentuh ketiga-tiga tokoh itu mempunyai kaitan kecuali Asri, itupun berdasarkan analisis daripada buku-bukunya yang dilihat mempunyai pemikiran yang sama dengan JI,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider pagi ini.

The Malaysian Insider difahamkan selain Asri, Zamihan turut mengaitkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim dan Mufti Perlis Dr Juanda Jaya mempunyai kaitan dengan fahaman wahabi dan JI.

Sehubungan itu, katanya beliau berharap orang awam tidak membuat pendekatan sendiri dengan melabelkan kumpulan atau orang tertentu dengan kegiatan JI yang dikaitkan dengan keganasan.

Jamil Khir berkata pihaknya memerlukan gambaran menyeluruh kerana dakwaan berkenaan adalah hanya memetik daripada laporan portal berita yang tidak dapat ditentukan kesahihannya.

“Pendirian kerajaan, kita menolak JI, kita menolak keganasan iaitu perbuatan orang yang melakukan kekejaman dan membunuh orang awam tanpa sebab.

“Namun, dengan mengaitkan kumpulan tertentu, itu memerlukan satu penelitian. Saya rasa polis mempunyai maklumat tersendiri dan mempunyai saluran untuk menyampaikan perkara itu,” katanya.

Mengenai bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin bersama puluhan ulama berkelulusan tinggi dijangka menyertai Umno Jumaat ini, Jamil Khir berkata penyertaan golongan ulama dalam parti itu merupakan satu ruang keterbukaan yang mampu membawa keyakinan orang ramai terhadap Umno.

No comments

Powered by Blogger.