Kelantan bawa isu royalti ke mahkamah 30 Ogos

— Selepas tiga bulan usul diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN), Kelantan memutuskan untuk membawa tuntutan royalti minyak negeri itu ke mahkamah — pada 30 Ogos ini kerana beberapa tindakan secara rundingan tidak membuahkan hasil.

“Sebenarnya kita nak bawa pada hari kemerdekaan 31 Ogos, tapi oleh kerana mahkamah tidak bekerja pada hari tersebut, kita awalkan sehari,” kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Royalti, Datuk Husam Musa ketika berucap pada demonstrasi menuntut royalti selepas majlis perasmian Muktamar Tahunan PAS Ke-56 di sini tengah hari tadi.

Husam juga merupakan Exco Kerajaan Negeri.

Demonstrasi diadakan oleh Dewan Pemuda PAS Kelantan di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan, Pengkalan Chepa dekat sini, tempat berlangsungnya Muktamar Tahunan PAS.

Demonstrasi diketuai oleh Ketua Dewan Pemuda Kelantan Abdul Latiff Abdul Rahman.

Latiff dalam ucapannya pula berkata, kezaliman kerajaan Umno pimpinan Datuk Seri Najib Razal terhadap rakyat bumiputera negeri ini dilakukan dengan menafikan hak hasil bumi negeri sedangkan sanggup membayar RM77 juta kepada firma khidmat runding APCO worldwide.

“Apa salahnya RM20 juta yang dituntut rakyat diberikan kepada kerajaan negeri untuk diuruskan bukan kepada pihak lain kerana kerajaan negeri telahpun diberikan amanah oleh rakyat,” katanya.

Sehubungan itu mereka menuntut agar royalti lima peratus milik rakyat Kelantan dikembalikan kepada kerajaan negeri dan bukan menggantikannya dengan wang ehsan seperti yang dilakukan kerajaan pada waktu ini.

Pada 1 Mac lalu, Dewan Undangan Negeri meluluskan usul agar Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan memikirkan tindakan-tindakan yang sesuai termasuklah tindakan mahkamah bagi memastikan Akta Pembangunan Petroleum 1974 dipatuhi.

Usul terbabit berbunyi, “bahawa Dun memberi mandat kepada MMK bagi pihak kerajaan negeri mengambil apa-apa tindakan mahkamah yang bersesuaian bagi mendapatkan bayaran tunai yang terhak kepada rakyat dan kerajaan Kelantan mengikut perjanjian dan penyerahhakkan kuasa-kuasa petroleum sama ada di daratan atau di lautan negeri Kelantan yang ditandatangani pada 1975.

“Seperti mana kehendak undang-undang tunggal yang berkaitan dengan pengeluaran petroleum iaitu Akta Pembangunan Petroleum 1974, pada bila-bila masa yang difikirkan oleh kerajaan negeri.”

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.