Kementerian Pelajaran Harus Teliti Cadangan Mansuh PMR, UPSR

Oleh Rusnizam Mahat

KUALA LUMPUR 23 Jun - Kementerian Pelajaran digesa supaya mengkaji dengan teliti cadangan untuk memansuhkan sistem penilaian Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Perkara itu disuarakan Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran ketika bangun mencelah ucapan perbahasan Rancangan Malaysia ke 10 peringkat Kementerian Pelajaran yang disampaikan menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kulasegaran berkata, beliau meminta kerajaan membentuk satu jawatankuasa yang melibatkan pelbagai pihak bagi membincangkan secara teliti mengenai dasar itu sebelum dilaksanakan.

"Saya hairan dengan satu dasar yang baru oleh kerajaan kerana ini menghapuskan analisis prestasi seseorang murid di sekolah. Kedua, saya hairan alasan yang diberi kita akan menjimatkan wang, saya rasa itu adalah satu alasan yang tidak dapat diterima kerana kebaikan anak kita di sekolah patut diberi keutamaan. Kalau kita nak jimat wang tak perlu beli 'submarine' dan sebagainya. Kita akan jimat wang berbilion-bilion.

"Adakah kerajaan rela untuk bentuk satu jawatankuasa supaya dasar baru dapat ini dapat dianalisis dengan teliti supaya seluruh negara dan pihak berkenaan dapat menyumbang fikiran mereka supaya satu keputusan yang baik dibuat.

"Kerana saya difahamkan setiap menteri yang datang ada dasar baru. Kita perlu sistem yang konsisten, sejak 52 tahun setiap tahun ada dasar yang baru. Ini sangat tidak konsisten dan tidak boleh diterima," tegas beliau.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ibrahim Ali turut memberi pandangan supaya kerajaan tidak membuat sebarang keputusan secara melulu membabitkan sesuatu dasar yang besar termasuk sistem pendidikan negara.

"Apakah tidak mungkin pada masa akan datang sesuatu perkara yang nak dibuat terutama membabitkan dasar besar, kerajaan pastikan dahulu tentang kebaikannya maka barulah di buat pengumuman.

"Sebab saya dapati banyak juga pengumuman sebelum bukan sahaja perkara ini, timbul banyak kekeliruan dan perdebatan polemik yang tidak memberikan apa-apa faedah selain dari mengelirukan masyarakat dan orang ramai. Sesuatu perkara pada masa akan datang dipastikan dahulu kebaikannya maka baru lah dibuat pengumuman ataupun diminta pandangan maklum balas secara tidak formal bagi mengelakkan kekeliruan yang timbul," ujarnya.

Perkara itu dijawab Muhyiddin yang menyatakan perkara itu telah dikaji sejak 2007 dan sistem tersebut telah dilaksanakan di banyak negara.

Beliau juga berkata kerajaan bersedia mendengar pandangan daripada mana-mana pihak mengenai cadangan tersebut.

Sebelum itu, Muhyiddin berkata Kementerian Pelajaran mencadangkan untuk mengekalkan hanya satu peperiksaan awam iaitu di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia dan memperkenalkan sistem pentafsiran penilaian berasaskan sekolah bagi menggantikan UPSR dan PMR.

Katanya langkah itu diambil kerana sistem pendidikan kini lebih menjurus kepada sistem peperiksaan yang tidak memberi tumpuan kepada peningkatan kemahiran, inovasi dan kreativiti pelajar.

No comments

Powered by Blogger.