Kumpulan Berjaya Didakwa Bayar RM250 Juta Setahun Untuk Lesen Judi

Oleh Sidiqin Omar

KUALA LUMPUR 6 Jun - Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mendedahkan bahawa Kumpulan Berjaya membayar sebanyak RM250 juta setahun bagi mendapatkan lesen judi.

Beliau berkata demikian di pelancaran Program Kempen Membantah Judi Sukan di hadapan pusat membeli-belah Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman yang dilancarkan oleh Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) semalam.

"Barisan Nasional kini dalam keadaan terdesak dan kewangan negara tidak seperti mana yang digambarkan.

Oleh kerana mereka ini hendakkan duit, jadi terpaksalah memberi lesen judi, kerana wang akan diperolehi dari lesen tersebut," kata Khalid.

Beliau kecewa dengan keputusan mendadak dan mengejut kerajaan kerana tidak pernah membahaskan perkara tersebut di parlimen.

Tindakan tersebut katanya seolah-olah menggadaikan kepentingan rakyat yang kini menghadapi masalah ekonomi yang serius.

"Najib berasa terhutang budi dengan Berjaya kerana mereka memberikan sokongan kepada BN semenjak sebelas pilihan raya kecil yang lepas. Jadi sebagai ganjaran dan 'membalas jasa' Berjaya, kerajaan BN meluluskan permohonan lesen judi kepada mereka," kata Khalid lagi.

Beliau mendedahkan bahawa bukan Pakatan Rakyat sahaja yang menentang kelulusan lesen tersebut, malah parti komponen BN seperti MCA dan Gerakan turut menentang kelulusan lesen judi tersebut.

Beliau menyelar pemimpin Umno yang menyokong kelulusan lesen judi tersebut dan menganggap ia sebagai menegakkan benang yang basah.

Tindakan tersebut amat memalukan masyarakat Melayu dan orang Islam.

"Ramai orang menganggap bahawa judi adalah budaya masyarakat Cina, tetapi parti DAP turut menentang.

Yang mahu ia diluluskan hanyalah Umno-BN. Masyarakat yang telah terjebak dengan hutang, janganlah kita cari penyakit," katanya.

Beliau memjelaskan bahawa masalah hutang kepada Along adalah disebabkan kesempitan wang yang turut berpunca sikap dan amalan berjudi.

"Kita akan terus menyokong pihak-pihak yang berusaha untuk menghalang kelulusan lesen judi ini. Kita akan terus berkempen supaya orang ramai sedar bahawa amalan berjudi ini tidak mendatangkan manfaat," jelas beliau.


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.