Laporan SPRM Terhadap Dakwaan Penyelewengan Dalam Felda

Oleh Sidiqin Omar

KUALA LUMPUR 16 Jun - Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago mendesak Suruhanjaya Pemcegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kemungkinan wujudnya rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang melibatkan individu tertentu di dalam syarikat berkaitan kerajaan, Felda Holdings Berhad.

Charles dalam sidang medianya di Parlimen semalam memetik kandungan surat terbuka yang ditulis oleh bekas Timbalan Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi, Datuk Dr Tan Kee Kwong yang secara terbuka menganggap bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah menghancurkan Felda.

"Beliau (Tan) juga memaklumkan bahawa Felda telah membayar 40 peratus atau RM230 juta kepada pemaju untuk pembinaan sebuah pejabat bertaraf lima bintang. Apa yang menimbulkan persoalan adalah mengenai bayaran deposit yang tinggi dikenakan kepada projek tersebut dan ada kebarangkalian yang ianya akan terbengkalai," kata beliau lagi.
Pembinaan pejabat bertaraf lima bintang di tengah Kuala Lumpur itu bernilai RM600 juta dan dikendalikan oleh syarikat pembinaan, Naza-TTDI.

Charles turut mempersoalkan pelantikan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Datuk Mohd Bakke Salleh sebagai Presiden dan Ketua Eksekutif Sime Darby Bhd yang baru.

Menurut beliau Tabung Haji pernah digegarkan dengan satu skandal kewangan membabitkan RM169 juta pada 2002 ketika Mohd Bakke masih menerajui badan itu.
Charles berkata Mohd Bakke didakwa menyalahi peraturan Tabung Haji yang diterajuinya apabila menyerahkan dana milik Tabung Haji kepada sebuah syarikat pengurusan pelaburan swasta sehingga menyebabkan kehilangan sekurang-kurangnya RM65 juta dalam satu pelaburan berisiko tinggi.

Mohd Bakke yang dianggap 'orang' Najib kini menjadi Presiden Kumpulan/Ketua Eksekutif Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd (Felda Global).
Beliau kini dilantik untuk menerajui Sime Darby yang kini menghadapi masalah kewangan selepas merekodkan kerugian sebanyak RM308 juta dan ditugaskan untuk memulihkan syarikat tersebut dengan memberikan fokus kepada industri perladangan kelapa sawit dan perniagaan berkaitan.

"Jumlah tersebut adalah besar, dan selepas skandal kewangan Sime Darby, ianya akan menjadi lebih rumit lagi.

"Tujuan penubuhan Felda pada asalnya adalah untuk menyusun semula masyarakat, terutamanya mereka yang tinggal di kampung-kampung untuk di bawa ke sebuah kawasan dengan program untuk membasmi kemiskinan. Kita tidak mahu ianya berubah menjadi sebuah tempat bagi kelompok elit dan pemerintah untuk 'membuat wang'," kata Charles lagi.

Beliau akan membuat laporan berkenaan perkara tersebut di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada pukul 11.30 pagi hari ini.

No comments

Powered by Blogger.