Majlis Pimpinan Negeri Selangor Sokong Perlantikan Faekah

SHAH ALAM 26 Jun - Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Selangor mengalu-alukan perlantikan Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor yang baru, Faekah Husin.

Perlantikan tersebut kata Timbalan Pengerusi MPN KEADILAN Selangor, Syed Shahir Syed Mohamud merupakan prerogatif Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim yang cukup bermakna kerana buat kali pertama seorang wanita telah diberi kepercayaan bagi mengisi jawatan tersebut.

Ini membuktikan keyakinan dan penghormatan kepimpinan kerajaan negeri Pakatan Rakyat Selangor kepada komitmen dan kemampuan kaum wanita.

"Faekah bukanlah seorang yang baru di dalam KEADILAN. Beliau adalah merupakan antara anggota profesional muda yang turun ke gelanggang perjuangan seawal era Gerakan Reformasi, 1998 dan terus kekal sehingga kini.

"Ramai mengenali beliau sebagai seorang aktivis parti dan pembantu yang setia (Setiausaha Politik) kepada Presiden KEADILAN Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selain pernah menggalas beberapa jawatan parti di peringkat negeri khususnya di Selangor," ujar beliau dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan semalam.

Oleh hal yang demikian kata Syed Shahir lagi, MPN Selangor berkeyakinan tinggi bahawa Faekah akan dapat meneruskan perjuangan beliau dengan menggalas amanah baru ini dengan penuh komitmen, iltizam dan kesungguhan.

"Menteri Besar telah pernah bekerja bersama anak muda yang memegang jawatan ini dan kini tiba pula giliran wanita untuk membantu beliau dan kerajaan negeri dalam menjunjung amanah rakyat.

"Kita mengucapkan syabas dan tahniah kepada Faekah di atas perlantikan jawatan ini dan seperti mana biasa, kita akan terus memberikan sokongan untuk manfaat rakyat Selangor khasnya dan Malaysia amnya," kata beliau lagi.

No comments

Powered by Blogger.