Mayat Norita Ditemui Hari Ini

LANGKAWI, 25 Jun (Bernama) -- Mayat Norita Dahari, 29, yang hilang ketika mandi di pantai Tengah di sini Rabu lepas, ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat pada hari Jumaat.

Ketua Penguatkuasa Daerah Maritim 1 Langkawi Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Kapten Abdul Rahim Abdullah berkata mayat Norita ditemui kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian pada pukul 8.45 pagi.

Jenazah Norita dihantar ke Hospital Daerah Langkawi untuk bedah siasat, katanya ketika ditemui di sini.

Pasangan suami isteri itu dihanyutkan arus ombak kuat ketika mandi bersama anggota keluarga lain di Pantai Tengah di sini. Mayat suami Norita, Yuhin Azlan, seorang bekas jurutera, ditemui terapung 500 meter dari lokasi kejadian pagi semalam.

Pasangan suami isteri dari Batu Caves, Selangor itu bersama 12 anggota keluarga lain sedang bercuti dan dijadual berada di sini sehingga Sabtu ini.

Abdul Rahim berkata adik ipar Yuhin, Azad Mohd Ghazali, 29, yang juga hampir lemas dalam kejadian itu kini dirawat di Hospital Daerah Langkawi.

Gerakan mencari yang diketuai APMM bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pasukan Gerakan Marin dan Jabatan Pertahanan Awam disambung semula pukul 7 pagi ini selepas dihentikan malam tadi.

Pasangan itu meninggalkan seorang anak, Mohd Akid yang berusia dua tahun.

-- BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.