Menjawab Tuduhan Khairy Terhadap PERKASA
ALOR SETAR 25 Jun - Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mendakwa pendekatan yang digunakan oleh Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) terhadap sesuatu isu merupakan penghalang kepada semangat 1Malaysia. Beliau berkata, meskipun niat Perkasa untuk memperjuangkan keistimewaan kaum pribumi negara ini adalah murni, namun presiden pertubuhan itu, Datuk Ibrahim Ali mengambil cara yang tidak bertepatan dengan konsep 1Malaysia dalam menyuarakan pandangan.
Katanya, pendekatan Ahli Parlimen Pasir Mas berkenaan sudah ketinggalan zaman dan tidak lagi laku untuk diguna pakai dalam era globalisasi.
"Ibrahim Ali, Perkasa punya pendekatan adalah penghalang kepada 1Malaysia. Konsep 1Malaysia tidak akan gadaikan orang Melayu tetapi cara yang beliau buat memang tidak memupuk perpaduan seperti yang dituntut 1Malaysia.
"Beliau ahli politik jaguh kampung, dalam zaman globalisasi, mana boleh. Sudah lapuk, tidak laku," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Kuala Kedah di sini hari ini.
Khairy sebelum itu ditanya mengenai kenyataan Ibrahim yang mendesak beliau meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Rembau kerana dikatakan membelakangkan agenda Melayu. Ia berikutan tindakannya mempertahankan kenyataan Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr. Wee Ka Siong dalam isu biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Kelmarin, Ka Siong yang juga Timbalan Menteri Pelajaran menafikan bahawa beliau mempertikaikan hak keistimewaan orang Melayu. Khairy yang juga Ketua Pemuda UMNO berkata, jika Perkasa benar-benar ingin membantu orang Melayu, Ibrahim patut melihat bagaimana perubahan untuk mencapai kemajuan itu perlu dibawa.
"Dia (Ibrahim) gaduh sahaja. Suruh dia ini letak jawatan, cabar orang itu. Ini bukan politik yang baik," katanya sambil menegaskan beliau tidak akan melayan desakan Ibrahim itu.
Katanya, Ibrahim tiada hak untuk memintanya berbuat demikian kerana Ahli Parlimen Pasir Mas itu bukan ahli UMNO dan bukan pengundi di kawasan yang diwakilinya sebagai wakil rakyat. Menurut beliau, dia bukan mempertahankan kenyataan Ka Siong tetapi menganggap Ketua Pemuda MCA itu tidak melakukan sebarang kesalahan berhubung isu pemberian biasiswa JPA.
"Bagi saya tidak timbul soal sensitif daripada Ka Siong dan saya menyarankan Ibrahim supaya jangan menimbulkan isu-isu seperti ini nak melagakan kita dalam Barisan Nasional (BN).
"Dia bukan ahli BN, jaga kawasan sendiri cukuplah di Pasir Mas," katanya.
Ulasan Saya
1. Berita di atas saya petik daripada Utusan dengan tajuk, "Khairy Anggap Perkasa Penghalang 1Malaysia". Saya berterus-terang bahawa saya sangat kecewa dengan kenyataan KJhairy tersebut. Pertama, DS Najid selaku Presiden UMNO tidak pernah secara terbuka mengkritik atau menuduh bahawa PERKASA adalah badan NGO yang menghalang dan "mengacau" konsep 1Malaysia yang telah diilhamkan oleh beliau sejak beliau menjadi Perdana Menteri. Jika Presiden UMNO sendiri tidak berkata apa-apa, mengapa dengan tiba-tiba Ketua Pemuda UMNO Malaysia dengan sombong mendakwa PERKASA adalah penghalang kepada aspirasi 1Malaysia?
2. Kita akui sejak PERKASA wujud, banyak isu-isu yang tidak boleh dimainkan oleh UMNO telah diambil alih oleh PERKASA dengan lantang dan berterus-terang. Isu bahasa, isu hak keistimewaan orang Melayu, isu peniaga Melayu yang ditindas di Pulau Pinang dan isu Kalimah Allah - secara tidak langsung menjadikan PERKASA juara baru orang Melayu. Malah, tanpa kita sedari, dari sehari ke sehari kepopularan Khairy sebagai Ketua Pemuda UMNO semakin tenggelam dalam menjuarai isu-isu yang berkaitan dengan orang Melayu. Bukankah sebelum ini Khairy juga dengan begitu lantang memperjuangkan hak-hak orang Melayu sehingga pemuda MCA pernah meminta agar beliau ditahan di bawah akta ISA pada satu ketika dahulu?
3. Adalah lebih baik kita bercakap secara jujur, sesungguhnya Khairy telah gagal menjadi Ketua Pemuda UMNO Malaysia - beliau gagal mendepani isu orang Melayu, gagal menyatukan pemuda UMNO, gagal menjadi juara generasi muda. Lantaran itu, atas segala kegagalan inilah , maka - PERKASA telah wujud. Pemuda UMNO zaman Khairy seolah-olah tidak boleh diharap lagi. Pada saat kaum-kaum lain menuntut hak mereka, kita, orang Melayu seolah-olah berdiam diri - takut untuk bercakap dan mengatakan bahawa itu dan ini adalah hak kita yang tidak boleh disentuh. Ditambah lagi dengan sikap Ketua Pemuda UMNO Malaysia, dengan lagak mendakwa PERKASA merupakan penghalang kejayaan konsep 1Malaysia yang dibawa oleh Perdana Menteri, persoalannya yang timbul ialah siapa yang menghalang siapa? KJ atau Ibrahim Ali yang menjadi batu penghalang kejayaan DS Najib?
4. Pemuda UMNO semakin ketinggalan di belakang sejak PERKASA memainkan peranannya dengan dedikasi. Manakala Khairy pula kelihatan gagal mengemudi Pemuda UMNO dengan di samping tidak bijak dalam memperjuangkan hak-hak orang Melayu. Pengalamannya yang cetek dalam politik, menyebabkan beliau kelihatan sangat lemah dan tidak mempunyai "sentuhan besar" sebagai seorang ahli politik yang mampu membawa pemuda UMNO ke hadapan. Lantaran itulah, mengapa kita tidak mahu beliau melompat naik dalam politik UMNO tanpa terlebih dahulu melalui asam garam dalam berpolitik. Menjadi Exco Pemuda UMNO yang dilantik, kemudian menang tanpa bertanding sebagai Naib Ketua Pemuda dan akhirnya menjadi Ketua Pemuda UMNO Malaysia dengan wang ringgit - membuktikan bahawa laluan politik beliau terlalu kerdil dan sempit jika dibandingkan dengan ahli-ahli pemuda UMNO yang lebih senior.
5. Pengalaman beliau yang setahun jagung dalam politik ini menyebabkan beliau gagal membaca dan menghidu politik perkauman yang sedang dimainkan oleh DAP dan PKR - lantas beliau pun tenggelam dalam lautan permainan mereka yang secara senyap-senyap meracuni para pemikiran pemuda MCA. Maka, Pemuda UMNO pun diperbodoh-bodohkan dengan pelbagai tafsiran berkenaan keadilan dan kesamarataan.
6. Serangan Khairy terhadap PERKASA pada pandangan saya bukanlah serangan yang ditujukan khusus kepada Ibrahim Ali semata-mata, bahkan muncung senapang turut dihalakan kepada Tun Mahathir yang merupakan individu disebalik tabir yang selama ini menjadi penaung dan penasihat kepada PERKASA. Menghentam PERKASA bermakna melukakan Tun Mahathir. Semakin ramai yang membenci PERKASA bermakna semakin ramailah yang akan membenci Mahathir. Seharusnya Pemuda UMNO melihat PERKASA sebagai rakan dan bukan musuh! Jangan kita menggunakan darah muda untuk mengemudi Pemuda UMNO, kelak binasa!
7. Jika Khairy menuduh bahawa cara dan kaedah perjuangan PERKASA sudah ketinggalan zaman, soalnya, mana pula cara dan kaedah Pemuda UMNO yang dikatakan tidak ketinggalan zaman itu? Yang jelas, rakyat, khususnya orang Melayu tidak nampak pun kaedah serta pendekatan Pemuda UMNO di bawah Khairy yang kononnya begitu "kehadapan" dalam menangani isu-isu sensitif yang melibatkan hak-hak orang Melayu. Tiada apa-apa pendekatan baharu pun yang diperkenalkan oleh Khairy, kepimpinannya hampir sama sahaja dengan gaya kepimpinan bekas bosnya Hishamuddin. Malah, sehingga sekarang pemuda UMNO masih tercari-cari idea kreatif dan hebat daripada Khairy, lulusan Oxford ini dalam memperkasa Pemuda UMNO Malaysia - namun masih tidak ditemui.
8. Hubungan yang cuba ditonjolkan oleh Khairy antara Pemuda UMNO dengan PERKASA adalah hubungan yang lebih bercorak permusuhan - dalam politik, kaedah "musuh jangan dicari" merupakan kaedah yang terbukti paling baik dalam menghadapi pesaing yang mempunyai kekuatan dan matlamat perjuangan yang sama dengan kita. Pemuda UMNO dan PERKASA - sama-sama memperjuangkan hak orang Melayu, hanya mungkin pendekatan sahaja yang berbeza. Namun demikian, menjadikan PERKASA sebagai musuh kepada Pemuda UMNO merupakan perbuatan orang-orang yang mementingkan diri sendiri! DS Najid nampaknya lebih bijak dalam soal ini. Berdiam diri dan tidak mengkritik PERKASA secara terbuka. Malang, Khairy tidak memahami bahasa politik - kerana beliau tidak mempunyai pengalaman yang mendalam dalam politik perkauman!
9. Nah! Sekarang kita bisa sahaja mempertikaikan kefahaman Khairy berkenaan konsep 1Malaysia. Apakah beliau benar-benar memahaminya? Atau beliau langsung tidak menghayati hakikat sebenar konsep 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri? Khairy harus faham soal perpaduan dan agenda Melayu adalah dua perkara yang berbeza. Isu yang sering diketengahkan oleh PERKASA adalah berhubung hak-hak orang Melayu yang jelas termaktub di dalam perlembagaan - PERKASA adalah badan bukan kerajaan, mereka berhak menuntuk hak dan mengingatkan pihak kerajaan berhubung hak-hak orang Melayu yang perlu dipertahankan, kerana itu merupakan fungsi kewujudan mereka. Ia sama sahaja dengan NGO-NGO lain yang ditubuhkan oleh orang Cina dan India. Soal perpaduan merupakan persoalan kedua di dalam PERKASA - mereka percaya perpaduan kaum tidak akan wujud, selagi semua kaum tidak mengiktiraf hak keistimewaan yang dimiliki oleh orang-orang Melayu yang sudah jelas termaktub di sisi perlembagaan.
10. Lantaran itu, perjuangan PERKASA adalah perjuangan dalam mempertahankan agenda Melayu-Islam yang jelas tertera di sisi undang-undang, PERKASA berjuang agar pihak kerajaan tidak menggadaikan keistimewaan yang dimiliki oleh orang Melayu atas nama perpaduan kaum dan toleransi! Oleh itu isu perpaduan kuam dan agenda Melayu - merupakan dua hal yang berasingan! Jika Khairy gagal melihat perkara ini secara tuntas, maka beliau merupakan seorang Ketua Pemuda UMNO yang gagal menjalankan tugasnya sebagai ahli politik dan ahli parlimen.
11. Pada hakikatnya PERKASA sama sahaja dengan pertubuhan Seqiu. Jika Sequi berfungsi untuk mempertahankan pendidikan kaum Cina, maka begitu jugalah PERKASA yang bertujuan mempertahankan hak keistimewaan orang Melayu. Khairy harus faham, konsep 1Malaysia adalah konsep yang berteraskan toleransi antara kaum. Namun demikian, toleransi antara kaum yang macam mana kita mahukan? Toleransi yang kita izinkan di bawah aspirasi 1Malaysia adalah toleransi yang berpaksikan kepada kerangka perlembagaan Malaysia dan bukan selain daripada itu. Dan adalah satu pengkhianatan namanya, seandainya kita menggadaikan hak yang kita miliki, semata-mata mahu mewujudkan perpaduan kaum atas nama toleransi serta mendapatkan undi daripada kaum Cina dan India atas nama sebuah demokrasi ! - semua ini tidak akan membawa kita kepada jawapan yang realistik, berhubung perpaduan kaum yang benar-benar kita inginkan selama ini!
12. Khairy nampaknya masih belum matang dalam mendepani isu yang sebegini. Menjadikan PERKASA sebagai musuh dan menuduh cara perjuangannya yang sudah ketinggalan zaman adalah perbuatan yang sia-sia dan membuktikan bahawa kita tidak memahami hakikat sebenar antara isu perpaduan kaum dengan isu agenda Melayu yang diperjuangkan oleh PERKASA. Dalam soal ini Khairy perlu banyak belajar lagi! Wallahualam.
http://azlishukri.blogspot.com/2010/06/menjawab-tuduhan-khairy-terhadap.html
No comments
Post a Comment