Nasib Tian Chua: SPR terima apa jua keputusan Dewan Rakyat

Oleh G. Manimaran

KUALA LUMPUR, 22 Jun — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menerima apa sahaja keputusan dibuat yang bakal dibuat oleh Speaker Dewan Rakyat berhubung status Ahli Parlimen Batu Tian Chua dalam menentukan keperluan mengadakan pilihan raya kecil.

“Kalau Speaker membuat keputusan berdasarkan Perkara 53(1) (Perlembagaan), keputusan beliau adalah muktamad. Ia tidak dicabar oleh mana-mana pihak... ini kes sabitan mahkamah,” kata Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Keputusan berdasarkan Perkara 53(1) akan membolehkan SPR menentukan sama ada perlu diadakan pilihan raya kecil ataupun sebaliknya.

Kata Wan Ahmad, jika Speaker membuat keputusan wujudnya kekosongan maka SPR akan mengambil tindakan selaras dengan perkembangan tersebut kelak.

Tiada tempoh masa ditetapkan tetapi SPR menyerahkan kepada Speaker Dewan Rakyat membuat keputusannya.

Lewat malam tadi Chua mengumumkan kemungkinan akan membuat rayuan peringkat kedua.

Ketika ditanya sama ada SPR boleh mengatasi keputusan Dewan Rakyat, Wan Ahmad memberitahu, ia tidak akan berlaku kerana keputusan yang dibuat oleh Speaker adalah muktamad.

“Kami akan bertindak mengikut surat makluman rasmi yang dikeluarkan oleh Dewan Rakyat,” kata beliau lagi.

Wan Ahmad memberitahu, SPR tidak boleh membuat apa-apa keputusan selagi tidak menerima sebarang makluman rasmi daripada Speaker.

“Kena tunggu (notis) sama ada kerusi itu kosong atau tidak. Itu adalah perkara di luar bidang kuasa SPR, dalam hal ini Dewan Rakyat yang kena membuat keputusan sama ada wujudnya kekosongan atau tidak, seperti dalam kes kematian seseorang ahli ataupun ada ahli yang meletakkan jawatan.

“Ini satu lagi kes yang lurus, Dewan Rakyat perlu memaklumkan kepada kami. Selagi tiada makluman rasmi Dewan Rakyat, status quo kerusi Batu kekal,” kata Wan Ahmad lagi.

Bagaimanapun beliau yakin Dewan Rakyat akan membuat satu keputusan mengenai status kerusi tersebut yang dimenangi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mac 2008 “kerana akan orang tertanya-tanya” tentang kedudukan Chua.

“Tian Chua seorang Ahli Parlimen, maka Dewan Rakyat kena mengeluarkan notis makluman mengenai statusnya,” ujar beliau.

Malam tadi, Chua yang juga Pengarah Strategi PKR membuat pusingan ‘U’ dengan mengumumkan pendirian terbaru bahawa kemungkinan akan membuat rayuan peringkat kedua berhubung keputusan mahkamah Khamis lalu.

Chua membuat pengumuman itu lebih 10 jam selepas pertemuan beliau bersama peguam-peguamnya berakhir dengan keputusan hakim mengekalkan penghakiman denda RM2,000 atau hukuman penjara dua bulan.

Bagaimanapun Chua berkata, sekiranya beliau membuat rayuan ia hanya bertujuan untuk membuktikannya tidak bersalah, bukannya untuk meleraikan pertikaian kesahihan status sebagai Ahli Parlimen.

Beliau mempunyai 14 hari untuk membuat rayuan. Selain beliau, pihak pendakwa juga mempunyai hak untuk membuat rayuan.

Chua menegaskan, beliau masih seorang Ahli Parlimen Batu yang sah.

Polemik mengenai status beliau masih berterusan dengan beberapa peguam termasuk Pengerusi DAP Karpal Singh berpandangan bahawa Chua harus dilucutkan kerusinya.

Malah semalam, Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata wakil rakyat dari PKR ini kekal sebagai Ahli Parlimen sehingga satu usul menentukan status kelayakannya diputuskan oleh Dewan Rakyat.

Bagaimanapun menurut Pandikar, usul itu hanya akan dibawa selepas Chua menggunakan kesemua ruang yang diperuntukkan oleh Perlembagaan.

Pagi semalam Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ghazali Cha mengekalkan hukuman denda RM2,000 atau penjara dua bulan terhadap Chua bertujuan supaya tiada pilihan raya kecil diadakan.

Hakim itu juga menyatakan beliau tidak boleh mengubah keputusannya yang dibuat pada Khamis lepas, kata peguam Ranjit Singh yang mewakili Chua yang nama sebenarnya Chua Tian Chang.

Ghazali mengetepikan hukuman penjara enam bulan dan denda RM3,000 terhadap Chua oleh Mahkamah Majistret kerana mencederakan anggota polis pada 2007 dan mengantikannya denda RM2,000 atau dua bulan penjara.

Ketika menyampaikan keputusannya, Ghazali berkata seandainya hukuman yang dikenakan boleh menjadikan Chua tidak layak menjadi seorang anggota Parlimen, satu pilihan raya kecil terpaksa diadakan.

“Seperti yang diketahui pilihan raya kecil ini memerlukan perbelanjaan yang besar dan memberi kesan kepada keseluruhan rakyat negara ini begitu juga kesejahteraan dan keharmonian di antara pelbagai kaum,” kata beliau dalam penghakiman.

Susulan itu, Karpal berkata perlu mengosongkan kerusinya mengikut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa seseorang anggota Parlimen hilang kelayakan jika beliau disabitkan oleh mahkamah dan dihukum penjara tidak kurang setahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000 dan beliau tidak mendapat pengampunan.

Sebagai contoh, pada 1975, katanya Ahli Parlimen DAP Fan Yew Teng terpaksa mengosongkan kerusi Parlimen Menglembu setelah beliau dihukum penjara enam bulan dan didenda RM2,000 kerana disabitkan kesalahan mengikut Akta Hasutan.

Mengikut Perkara 53 Perlembagaan itu, seseorang anggota Parlimen akan hilang kelayakan serta-merta jika beliau tidak merayu mengenai keputusan mahkamah dalam tempoh 14 hari

No comments

Powered by Blogger.