Polis Paling Banyak Terima Aduan Rakyat

Oleh Rusnizam Mahat

KUALA LUMPUR 23 Jun - Polis DiRaja Malaysia (PDRM) merupakan salah satu daripada 10 jabatan kerajaan yang menerima paling banyak aduan dari orang ramai yang direkodkan oleh Biro Pengaduan Awam (BPA) dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.

Perkara itu dinyatakan oleh Menteri diJabatan Perdana Menteri, Senator Tan Sri Dr Koh Tsu Koon ketika menjawab soalan lisan oleh Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Chong Eng yang meminta Perdana Menteri menyatakan 10 jabatan kerajaan yang menerima paling banyak aduan mengenai tahap perkhidmatan mereka sejak 2008.

Menurut Dr Koh, aduan yang diterima BPA meningkat daripada 8,066 kes pada tahun 2008 kepada 12,683 pada 2009 iaitu peningkatan sebanyak 4,617 kes atau bersamaan 57.2 peratus.

Bagi tahun 2010, jumlah aduan yang diterima sehingga 30 April ialah 4,378 kes.

"Bagi tahun 2009, sepuluh jabatan atau agensi kerajaan persekutuan yang menerima paling banyak aduan adalah Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kerja Raya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Jabatan Pelajaran Negeri, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Imigresen, Hospital, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Tenaga Nasional Berhad dan Telekom Malaysia Berhad.

"Jumlah aduan yang diterima oleh 10 buah jabatan agensi ini adalah 3,553 kes, atau 41 peratus daripada sejumlah 8,694 kes," jelas beliau.

Penjelasan Dr Koh itu menunjukkan kegagalan kepimpinan Perdana Menteri yang sebelum ini memperkenalkan Indeks Prestasi Utama (KPI) dan enam teras Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), di mana salah satu matlamat utamanya ialah meningkatkan dan memperbaiki mutu perkhidmatan awam.

Ia juga merupakan satu tamparan kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mengenai perkhidmatan PDRM yang sebelum ini diselubungi pelbagai kontroversi termasuk kes kematian dalam tahanan polis dan kes salah tembak orang awam yang menyebabkan kematian.

No comments

Powered by Blogger.