Raja Petra ‘naik tocang’ dek dasar Britain — Zulkifli Jalil

5 JUN — Memang jenuh kalau hendak bercakap pasal kerenah Raja Petra Kamaruddin. Pengendali portal berita antikerajaan, Malaysia Today kini bersembunyi di kota London sejak berbulan-bulan lalu.

Kepada individu yang bertanggungjawab ke atas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) iaitu Datuk Seri Dr Rais Yatim, beliau tidak sesekali mahu “menyekeh” Raja Petra tetapi “cukup masak” dengan gelagat “permainan” pengendali portal antikerajaan itu. Rais amat percaya Raja Petra didalangi oleh pihak ketiga yang menggalakkan dia berlagak sedemikian iaitu terus menyebarkan fitnah dan memburuk-burukkan kerajaan Malaysia.

Ia memang tidak menghairankan kerana Britain sendiri, kata Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan itu, cukup tidak senang dan enggan mengiktiraf undang-undang di negara ini khususnya Akta Hasutan dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Dengan ketiadaan perjanjian ekstradisi London-Malaysia, bermakna bermaharajalelalah Raja Petra “menghentam itu dan ini” tentang Kuala Lumpur dan rakyat Malaysia di sebalik kehidupan mewahnya di sana.

“Masakan dia boleh hidup mewah hanya dengan tulis blog. Sudah tentu ada yang memanjangkan tangan menghulur bantuan dalam bentuk material,” kata Rais ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabatnya di Bangunan Sultan Abdul Samad semalam.

Rais yang juga pakar dalam perundangan negara dan Perlembagaan Persekutuan memberitahu, Britain tidak akan sekali-kali mengambil tindakan ke atas Raja Petra, perkara sama yang dilakukan kuasa besar itu kepada pemimpin Hindraf, Waytha Moorthy yang juga berada di kota London ketika ini. Malah, Britain memberi ruang kepada individu-individu sebegini untuk tinggal dan hidup di negaranya. Ia dibuat atas dasar kononnya pertimbangan kemanusiaan.

“Britain mengamalkan konsep ini iaitu jika ada pihak mengadu kepada kerajaannya bahawa jika dia tersekat atau diapa-apakan di luar undang-undang biasa, maka individu terbabit akan diberi kemudahan tempat tinggal atau lokasi yang selamat,” katanya.

Rais mengakui sememangnya portal- portal berita antikerajaan seperti Malaysia Today dan Malaysiakini sukar dikekang penyaluran bahan fitnah dan serangan ke atas kerajaan.

Dengan nada serius kata beliau: “Ini kerana pangkalan laman webnya atau pusatnya berada di luar Malaysia. Kalau Yahoo Malaysia tak mengapalah, kita boleh kawal tetapi jika Yahoo United Kingdom, sukar kita nak ‘tembus’nya secara fizikal (tindakan undang-undang),” kata beliau.

Begitupun, tegas Rais, beliau bersama SKMM kini menggerakkan penguatkuasaan ke atas laman web yang beroperasi di negara ini. Ini kerana terdapat banyak olahan mencerca dan mengaibkan Raja-Raja Melayu dan orang Melayu berleluasa di sana dan sini.

Rais beranggapan, Raja Petra tidak ubah seumpama idealis individu yang pentingkan diri sendiri. Undang-undang negara yang memburunya sama sekali tidak melemahkannya, malah dia langsung tidak mempedulikan kesukaran keluarga terutama anak lelakinya yang pernah ditahan polis kerana melanggar undang-undang negara.

“Saya tetap yakin dan penuh percaya bahawa undang-undang negara ini tetap menyusuri dia. Masanya akan tiba dan faktanya cukup jelas iaitu jika dia balik, dia terpaksa menghadapi undang-undang negara ini,” kata Rais. — Utusan Malaysa

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

1 comment

abdrahim kassim said...

itu pun kalau BN masih berkuasa....

Powered by Blogger.