RM55 juta untuk 11 PRK, PAS mahu PDRM berjimat

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 23 Jun: PAS mahu pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) membuat kajian terhadap wang rakyat yang digunakan dalam 11 pilihan raya kecil (PRK) sejak 2008 yang dianggarkan telah membelanjakan sekurang-kurangnya RM55 juta bagi 11 pilihan raya itu.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar) berkata, pada tahun lepas Parlimen mendedahkan bahawa PDRM belanjakan RM31 juta untuk lima PRK iaitu Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Batang Ai, Bukit Selambau.

“Itu baru lima pilihan raya kecil. Bagi baki enam pilihan raya kecil, PAS anggarkan PDRM belanjakan sekurang-kurangnya RM5 juta setiap tempat,” ujarnya.

Ini, katanya jauh berbeza dengan laporan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengumumkan perbelanjaan mereka bagi 11 PRK iaitu Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Manek Urai, Bukit Gantang, Batang Ai, Bukit Selambau, Bagan Pinang, Penanti, Permatang Pasir, Hulu Selangor, Sibu sebanyak RM6,451,285 sahaja.

Tambahnya, jumlah yang digunakan SPRM sama banyak dengan jumlah yang digunakan oleh PDRM bagi satu kawasan PRK yangb menunjukan PDRM berbelanja 11 kali ganda lebih banyak daripada SPR yang menganjurkan pilihan raya.

Justeru, ujarnya PAS berharap agar siasatan terperinci dibuat terhadap perbelanjaan oleh PDRM itu kerana ia melibatkan wang rakyat.

Katanya, Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) perlu tampil menyiasat perkara itu.

Bagi PAS, jelasnya jumlah lebih RM55 juta itu cukup untuk membina kuaters baru polis atau membeli peralatan baru, tetapi rakyat tidak melihat apa-apa yang baru terhadap kelengkapan yang dibawa ketika mereka bertugas menjaga PRK.

“PAS tidak menafikan bahawa wujud keperluan untuk wang rakyat digunakan bagi mengawal keselamatan, namun jumlah perlulah releven. Penyewaan banyak peralatan juga perlu dinilai keperluannya dan pembaziran harus dielakkan,” ujarnya.

No comments

Powered by Blogger.