Serang konvoi: Israel hanya benar siasatan dalaman

BAITULMAQDIS, 14 Jun — Israel akan mengadakan siasatan dalaman sendiri berhubung tindakan tenteranya mengepung dan menyerang konvoi misi kemanusiaan ke Gaza baru-baru ini, yang menyebabkan sembilan orang terbunuh.

Langkah itu diumumkan oleh pejabat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu satu kenyataan dikeluarkan semalam.

Israel telah pun menolak cadangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar dibentuk panel antarabangsa untuk menyiasat serangan maut yang membawa kematian sukarelawan beberapa negara menyertai misi itu pada 31 Mei lalu.

Laporan Reuters menyebut, bagaimanapun Israel bersetuju membenarkan dua pemerhati asing bebas dalam siasatan dalaman itu.

Keputusan akhir langkah mengadakan siasatan itu hanya akan ditentukan hari ini, demikian menurut kenyataan itu.

Kira-kira seminggu kemudian tentera Israel mengepung satu lagi kapal misi kemanusiaan ke Gaza tetapi ia tidak diserang.

Dalam reaksi segera, Amerika Syarikat mengalu-alukan keputusan Israel itu.

Kenyataan jurucakap White House Robert Gibbs menganggap cadangan mengadakan siasatan dalaman sebagai “langkah ke depan yang penting.”

Katanya, Israel ada keupayaan untuk mengendalikan siasatan yang adil berhubung tragedi itu.

“Tetapi kita tidak harus prejudis tentang proses atau keputusannya, dan perlu menunggu hasil siasatan sebelum membuat pandangan susulan,” kata beliau di Washington.

Isnin lalu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin 18 sukarelawan negara yang melalui pengalaman perit menyaksikan sendiri kekejaman rejim Israel di Gaza baru-baru ini akan bersedia memberikan keterangan untuk membawa pimpinan rejim itu dihadapkan ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Sebahagian daripada sukarelawan yang menyertai misi itu merupakan rakyat Malaysia.

Seramai 12 dariapda 18 sukarelawan itu menaiki kapal MV Mavi Marmara yang dalam misi menghantar bantuan ke Gaza tetapi mereka selamat dan kembali ke tanah air pada 6 Jun.

Sehari kemudian enam sukarelawan Malaysia yang berada di atas kapal MV Rachel Corrie yang disekat Israel pulang ke Malaysia.

Muhyiddin berkata keputusan untuk memberi keterangan itu sendiri adalah sebahagian daripada perjuangan para sukarelawan itu.

Sidang Dewan Rakyat Isnin lalu sebulat suara meluluskan usul mengecam sekeras-kerasnya tindakan tentera Israel menyerang Mavi Marmara yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata Malaysia akan berusaha bersama-sama dengan negara-negara sependapat untuk mendesak Majlis Keselamatan PBB mengeluarkan satu resolusi mengutuk tindakan ganas Israel dan membawa pimpinan rejim Israel dihadapkan ke ICC.

Menurutnya jika gagal diambil tindakan, Malaysia akan bekerjasama dengan negara-negara sependapat bagi mendesak supaya satu persidangan sesi khas tergempar perhimpunan agung PBB diadakan bagi mendapatkan nasihat undang-undang daripada Mahkamah Keadilan Antarabangsa berhubung tindakan yang dilakukan Israel di kawasan perairan antarabangsa itu.


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.