Wee Dinasihat Jangan Jadi Bodoh Dalam Isu Arak

Oleh Fazli Othman

KUALA LUMPUR 22 Jun - Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad membidas tindakan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong yang mempertikaikan pentadbiran Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kelantan yang memberikan lesen menjual arak semata-mata untuk menghalalkan tindakan kerajaan Umno-Barisan Nasional berhubung lesen judi sukan yang diluluskan Kementerian Kewangan baru-baru ini.

"Bila orang yang tidak faham bercakap mengenai isu yang beliau sendiri tidak faham, ini menyebabkan beliau mengelirukan Dewan.

"Di negeri Kelantan, memang hasil jual arak digunakan untuk tujuan pembangunan dan pembinaan jalan raya.

"Jika agama lain membenarkan, kita kena hormat dengan syarat pengawalan ketat tapi dalam soal judi adakah agama lain menghalalkannya kerana setakat yang kita tahu, semua agama mengharamkannya.

"Yang paling relevan sekali di sini, orang yang bukan Islam juga bersetuju supaya judi diharamkan tetapi mengapa Umno mahu menjadi juara untuk menghalalkannya,? tanya Khalid ketika ditemui Suara Keadilan di lobi parlimen semalam.

Menurut Khalid sama judi dihalalkan atau tidak, akan ada segolongan rakyat yang tetap mengamalkan aktiviti yang ditegah agama itu.

Menurutnya lagi, jika intepretasinya begitu maka dadah juga patut dihalalkan kerana sama ada dadah ada lesen atau tidak, penagih tetap akan menggunakan dadah dan begitu juga dengan pelacuran.

"Saya menganggap Wee tidak faham dengan hujah yang disampaikannya sedangkan orang bukan Islam membantah isu pemberian lesen judi sukan ini," tambah beliau.

Wee ketika berucap dalam Dewan dengan membaca teks berkata kebenaran menjual arak yang diberi kerajaan negeri Kelantan bercanggah dengan pendirian PAS berhubung isu kelulusan lesen judi sukan bola sepak.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul pula menganggap Choo Keong yang kini menjadi anggota Bebas mempunyai pandangan yang cetek.

"Apa yang kita katakan adalah supaya kerajaan Umno-BN menghadkan judi. Adakah beliau menganggap rakyat tidak ada kerja lain selain daripada bermain judi?

"Kita minta beliau jangan jadi bodoh sampai macam itu sekali," tegas Johari.

Ketika Wee keluar Dewan, wartawan cuba mendapatkan komen mengenai isu arak yang beliau tetapi beliau sebaliknya bergegas masuk ke tandas atas alasan sakit perut.

No comments

Powered by Blogger.