Pendapat: Masih tidak yakin akan diadakan PRU kilat dalam masa terdekat

Ramli Abdul Samad


Kita tidak pasti sama ada gelombang pro-Pakatan Rakyat akan surut dengan berakhirnya pilihanraya kecil di Galas, Kelantan dan di Batu Sapi, Sabah baru-baru ini. Kedua-dua kerusi Adun dan Parlimen itu dimenangi oleh Barisan Nasional dengan majoriti yang lebih besar.

Linda Tsen wakil BN Batu Sapi mendapat majoriti 6,359. Sebelum itu arwah suaminya, Edmund Chong mendapat majoriti 3,708 sementara di Galas pula, wakil BN, Abdul Aziz Yusoff, memperoleh 5,324 undi mengalahkan calon PAS, Dr Zulkifli Mohamad, yang mendapat 4,134 undi, yakni dengan majoriti 1,190. Jika dibandingkan, Allahyarham Che Hashim Sulaima wakil PAS mendapat majoriti sebanyak 646 pada tahun 2008.

Majoriti yang diperoleh kedua-dua calon BN cukup memberangsangkan dan boleh menutup mulut parti pembangkang PR. Dr Mahathir Mohamad yang tidak sunyi daripada berperanan kaki sibuk terhadap pembangkang terus menempelak sikap PR yang tidak mahu menerima 'penghukuman' rakyat di atas kekalahan mereka di Galas dan Batu Sapi.

BN sekali lagi memantapkan penguasaannya ke atas alat-alat menggendali kestabilan politik negara. Penguasaan dan pengawalan terhadap jentera kerajaan seperti media menjadi penyangga utama kekuasaan mutlak oleh segelintir elit pemerintah.

Bagi menyedari akan pentingnya perubahan bukanlah satu perkara yang mudah. Barangkali dalam jangka waktu yang singkat, sentimen pro-PR mungkin sekali lagi belum merupakan persoalan aktual atau mendesak. Keputusan pilihanraya kecil itu mempamerkan sedikit ironis yang mana dua di dua kawasan Adun dan Parlimen negeri Kelantan dan Sabah menolak kepimpinan PR dan ini bermakna rakyat masih jauh lagi untuk merealisasikan perubahan pokok yang mestinya datang dari penguasaan di pusat.

Nampaknya rakyat belum bersedia apakah tindakan yang dapat diambil untuk menuju ke tahap persiapan yang lebih memadai. Sudah tentunya jawapan terserah kepada para pemimpin PR kerana merekalah yang akan membentuk kekuatan baru di medan cakerawala politik tanah air.

Resam lama terus diamalkan

Proses mengubah sikap agar bersedia menerima perubahan amat penting dan proses ini tidak mudah dihasilkan khasnya rakyat yang konservatif. Dari segi politik rakyat Malaysia umumnya terkenal dengan sikap konservatif. Sikap ini menulari semua lapisan, baik yang tidak berpendidikan tinggi mahupun golongan yang yang dikira terpelajar.

Golongan konservatif lebih menghargai tradisi dan kebiasaan lama daripada terangsang untuk memikirkan apakah tradisi dan kebiasaan lama itu masih relevan atau tidak dengan kehidupan sekarang dan masa depan. Golongan konservatif sukar tersentuh oleh perubahan dan bahkan mungkin tidak menyukai perubahan. Sehubungan dengan ini, golongan tersebut mudah dimanipulasi oleh pihak pemerintah yang menguasai media massa.

Sejak BN memerintah selama lebih dari lima dekad, negara berhasil maju ke arah sebuah industri dan ia mulai melepaskan diri daripada bergantung pada eksport komoditi hasil perladangan seperti getah dan kelapa sawit. Ada kemajuan dan kesejahteraan yang boleh membuat rakyat hidup berpuas hati dan kurang memberi perhatian kepada kerja-kerja curang yang dilakukan seperti skandal atau rasuah berskala besar.

Namun skandal dan rasuah berskala mega oleh pemerintahan BN boleh menghancurkan negara.

Agenda demokrasi dalam pelbagai bidang tidak berapa sangat dipertimbangkan oleh golongan konservatif tadi sedangkan pemimpin-pemimpin dari parti alternatif/pembangkang selalu membangkitkan isu ini. Golongan konservatif, khasnya yang berkedudukan tinggi atau yang berpengaruh tidak dihadapkan pada desakan untuk terus memelihara yang sudah ada. Apa lagi kalau yang sudah ada memberikan manfaat yang mencukupi kepada mereka. Lebih kuat lagi desakan untuk mempertahankan hal-hal lama kalau itu memberi manfaat secara langsung bagi golongan itu.

Sehingga ini, kita berasa seni pemerintahan kerajaan BN belum berjaya sepenuhnya menciptakan iklim dan intrumen yang berkesan untuk membangunkan demokrasi politik mahupun demokrasi ekonomi negara yang berbilang agama, budaya dan agama.

Dari segi perundangan kita mempunyai pelbagai akta yang bukan saja tidak mengizinkan tetapi melelahkan perkembangan budaya politik yang sihat kerana akta-akta itu, seperti ISA, OSA, Akta Percetakan dan Penerbitan, AUKU dan Akta Polis, cuma menghambatkan dinamik demokrasi daripada perkembangan terus dengan utuh. Kita seakan-akan dipenjarakan dengan adanya akta itu tetapi sebaliknya pula akta-akta berkenaan memelihara status quo pemerintahan segelintir elit untuk terus mereka meraih semaksimum kemewahan.

Perlu memanfaatkan rakyat terbanyak

Pada umumnya PR memang berbeza pendapat dengan pihak BN. Boleh saja PR keliru tetapi boleh pula BN yang tidak tepat. Dan boleh saja masing-masing benar pada aspek-aspek tertentu. PR biasanya mahukan pembangunan sebagai proses mengubah struktur untuk mendapat kemakmuran yang lebih tinggi, bahkan juga pada tingkat demokrasi yang lebih tinggi bagi rakyat terbanyak sedangkan pemerintahan memberi manfaat besar pada segelintir elit.

Ertinya kita mahukan perubahan yang akan membawa untuk sebesar-besarnya kemakmuran dan kesejahteraan rakyat. Maksudnya PR tidak mahu adanya ironi seperti kewujudan kemiskinan rakyat jelata atau tiadanya tadbir urus yang baik oleh institusi tiang seri demokrasi seperti polis, kehakiman, SPR, SPRM dan Parlimen di negara kita yang kaya dengan sumber alam. Dalam hubungan ini kita perhatikan bahawa rakyat di Galas dan di Bukit Sapi mempunyai sikap politik yang tidak mahu perubahan ala PR. Sikap politik kedua-dua kawasan berkenaan bagaikan sudah terpedaya dengan manipulasi politik pihak pemerintah.

Namun kita harus menghormati keputusan yang telah diberikan oleh rakyat di Galas dan Bukit Sapi. Keputusan di Galas dan Bukit Sapi membuka mata PR yang gelombang rakyat mahukan perubahan masih tidak merata. Sesetengah tempat, khasnya di kawasan bandar, boleh dijangka yang mereka lebih cenderung kepada misi PR dan rata-rata di kawasan desa tidak pasti pula gelombang menuntut perubahan itu dianuti mereka.

BN walaupun berjaya 2-0 di Galas dan Bukit Sapi masih tidak yakin akan mengadakan pihanraya umum kilat dalam masa terdekat kerana kejayaan itu bukanlah petanda muktamad. Pun juga PR tidak akan patah hati dengan keputusan itu. Apa-apa pun kedua-dua pemain besar BN dan PR akan tetap mencari strategi terbaik bagi menghalang salah satunya daripada menguasai Putrajaya pada pilihanraya umum ke-13 nanti.

No comments

Powered by Blogger.