Kenyataan Media 12 November 2010 :Demi Maruah Perjuangan & Parti Saya Tetap Menawarkan Diri Bertanding Timbalan Presiden Walaupun di Dalam Protes

Sejumlah anggota-anggota parti di peringkat akar umbi terus meminta parti dan Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) untuk mengambil tindakan terhadap memorandum yang dihantar pada 9 November 2010 yang lalu bagi memastikan Pemilihan 2010 yang telah dan sedang berlangsung sekarang benar-benar bersih, bebas dan adil mengikut etika Pemilihan 2010 yang dikeluarkan oleh JPP.

Sesungguhnya saya ingin menegaskan bahawa 'demi mempertahankan prinsip keadilan' saya dan rakan-rakan meletakkan keyakinan dan harapan kepada Pengerusi JPP agar segera membuat siasatan terhadap manipulasi pemilihan melalui aduan dan bantahan daripada cabang-cabang yang telah diterima dan yang akan menghantar bantahan seterusnya untuk tindakan praktis daripada JPP.

Sebagai sebuah parti yang berhasrat untuk mewujudkan Politik Baru, Budaya Baru seperti yang pernah dinyatakan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim, pemimpin dan anggota parti 12 tahun yang lalu, ianya hendaklah benar-benar dihayati dan dilaksanakan dalam Parti Keadilan Rakyat termasuklah dalam proses Pemilihan 2010 yang berlangsung kini dengan meletakkan sistem demokrasi yang tulen berlaku dalam parti dan di negara ini.

Kekuatan dan prestasi Parti Keadilan Rakyat dan Pakatan Rakyat (PR) terus diintai oleh Barisan Nasional (BN) dan mereka sentiasa mencari usaha-usaha yang berterusan untuk memecah dan melemahkan parti kita dari semasa kesemasa. Saya ingin mengingatkan anggota dan penyokong KEADILAN dan PR supaya jangan terpengaruh dengan manupulasi media tertentu yang sentiasa mencari jalan untuk terus menjatuhkan kredibiliti pemimpin rakyat iaitu Anwar Ibrahim.

Saya sebagai Naib Presiden KEADILAN ingin menegaskan bahawa jasa, sumbangan dan kesan Anwar Ibrahim dalam politik negara ini sangat besar khususnya menggerakkan perubahan rakyat sehingga berlakunya ‘Tsunami Politik 2008’. Keupayaan beliau memperjuangkan isu-isu penyelewengan pemerintah dan penyedaran rakyat terhadap perubahan kepimpinan negara amat diperlukan oleh KEADILAN dan PR di negara ini. Saya mengenali Anwar Ibrahim sejak sekian lama dan semua rakyat mestilah mendokong kepimpinan beliau.

Sekaligus saya ingin membuat penyataan bahawa tanggapan sebahagian anggota parti mengenai kehadiran saya bersama Zaid Ibrahim meminta Anwar Ibrahim berundur adalah tidak benar sama sekali. Kehadiran saya bersama Zaid Ibrahim seperti termuat didalam akhbar adalah atas prinsip bersama yang meminta JPP berlaku adil dalam proses Pemilihan 2010 ini dan menyekat unsur-unsur manipulasi yang berlaku dalam pemilihan.

Saya sedar dan faham bahawa kehadiran saya itu telah diambil kesempatan oleh pelbagai pihak termasuk sesetengah pimpinan parti untuk menjatuhkan kredibiliti saya. Jangan biarkan politik adu domba, fitnah berlaku dalam parti kita. Jangan kerana saya selaku anggota parti memberikan pandangan berbeda, senang untuk pihak yang tidak bertanggungjawab menfitnah saya dan akar umbi yang menyokong saya.

Saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Anwar Ibrahim, Presiden KEADILAN dan Pengerusi JPP yang telah membuat penelitian mendalam terhadap memorandum yang diberikan dan dibawa ke dalam mesyuarat khas Biro Politik KEADILAN. Hasil pertemuan khusus selama sejam pada tengahari Khamis 11 November 2010 bersama Pengerusi JPP, merumuskan muafakat 3 komitmen utama:-

1. JPP akan diangkat sebagai sebuah badan yang benar-benar berautonomi.

2. Sebuah panel pemantau pakar akan diwujudkan bagi memantau tahap ketelusan dan integriti JPP dalam Pemilihan 2010.

3. Melaksanakan tindakan-tindakan berdasarkan cadangan-cadangan yang di buat didalam memorandum terutamanya mengenai pengendalian aduan-aduan dan bantahan-bantahan yang telah dikemukakan samada diperingkat pemilihan cabang mahupun pusat bagi membaiki kesilapan lalu.

Berasaskan kepada situasi serta bersesuaian dengan “Politik Nilai” sebagai cagaran dan misi saya yang menawarkan diri bertanding Timbalan Presiden KEADILAN, saya menegaskan :-

1. JPP hendaklah segera meneliti dan membuat semakan terhadap aduan dan bantahan yang di terima.

2. JPP hendaklah menjalankan siasatan terhadap ketidakadilan, ketidaktelusan yang berlaku sejak pemilihan MATC dan pemilihan MPP kini.

Sememangnya saya amat memahami rintihan dan keluhan anggota dan pimpinan akar umbi mengenai masalah yang berbangkit serta ketidakpuasan hati yang berlaku, lantas mahu memboikot atau menarik diri dari proses pemilihan, atau memohon menangguhkan Pemilihan 2010, namun demi kepentingan parti jika Pemilihan 2010 tetap diteruskan, saya akan kekal bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden walaupun didalam protes. Tindakan ini juga sebagai menghormati pandangan dan keyakinan anggota-anggota di peringkat akar umbi, yang menginginkan saya terus bertanding bagi Timbalan Presiden KEADILAN.

Saya dengan penuh komitmen mengajak semua anggota parti bersama dengan saya mempertahankan survival dan maruah parti. Sesungguhnya saya merayu kepada semua anggota parti yang mengundi nanti supaya memberikan saya peluang untuk memenuhi harapan rakyat ini.

Sekiranya saya diberi peluang, saya akan melaksanakan polisi rakyat dalam parti dengan mengangkat semula suara rakyat akar umbi, anggota parti dan golongan Reformis sebagai suara utama parti. Saya juga akan memastikan kelangsungan politik nilai dalam parti seperti sederhana,toleransi, kasih sayang serta menolak politik fitnah dan politik wang dalam parti.

“KESINAMBUNGAN PERJUANGAN”

“KEMBALIKAN SUARA RAKYAT”

MUSTAFFA KAMIL AYUB

Naib Presiden KEADILAN

Calon Timbalan Presiden KEADILAN

www.mustaffakamil.blogspot.com / 012-324 9598 / 01

No comments

Powered by Blogger.