Sikap tamak dan berat sebelah, punca penstrukturan air tergendala

SHAH ALAM, 21 Nov - Sikap tamak syarikat konsesi dan amalan berat sebelah Kerajaan Persekutuan antara faktor utama rundingan penstrukturan aset air Selangor tergendala.

Selepas beberapa tawaran untuk membeli aset air dan liabiliti syarikat ditolak, kerajaan negeri mengambil keputusan untuk tidak turut serta dalam usaha Kerajaan Persekutuan menyelamatkan syarikat konsesi air.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua menjelaskan, sekiranya syarikat konsesi air gagal membayar pemegang bon bila tiba waktunya, para pemegang bon berhak untuk mengambil alih syarikat berkenaan.

Ini akan membuka ruang kepada kerajaan negeri membuat tawaran baru kepada pengurusan baru, tanpa diganggu oleh kepentingan politik mana-mana pihak.

Pemegang bon utama konsesi air Selangor, antaranya bank CIMB, Hong Leong Bank dan Great Eastern Life, dilaporkan telah merangka surat bersama kepada Perdana Menteri Najib Abdul Razak meminta Kerajaan Persekutuan menyelamatkan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dengan pinjaman mencecah RM1 bilion ringgit.

Kami difahamkan hutang keseluruhan konsesi air Selangor mencapai RM6.4 bilion ringgit, dengan Syabas sebanyak RM2.9 bilion ringgit, Syarikat Pengeluaran Air Sungai Selangor RM1.6 bilion ringgit, Puncak Niaga RM1.3 bilion dan Konsortium Abass RM640 juta ringgit.

Kesusutan rizab tunai di pihak konsesi atas sebab-sebab tertentu menyebabkan mereka tidak mampu membayar para pemegang bon berkenaan.

“Jika syarikat-syarikat ini gagal membayar pemegang bon, mereka berhak untuk mengambil-alih syarikat itu,” kata Tony.

“Ketika itu, kerajaan negeri mahu berbincang dengan pemegang-pemegang bon itu, dan menawarkan untuk membeli aset-aset berkenaan,” tambahnya.

Tony menjelaskan, liabiliti di pihak konsesi adalah akibat sikap pengurusan yang suka meminjam.

Meskipun kerajaan negeri berhak untuk membayar nilai aset sahaja, namun demi kepentingan rakyat Selangor, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, bersedia untuk bertolak-ansur.

“Kerajaan negeri menaikkan tawaran kepada RM9.29 bilion, selepas konsesi meminta kita menanggung liabiliti mereka juga. Gamuda dan Abass terima tawaran itu, tetapi tidak Puncak Niaga dan Syabas. Mereka mahu lebih daripada itu,” kata Tony.

Kerajaan Persekutuan mencampuri rundingan ini sebelum kerajaan negeri sempat membuat tawaran baru.

Tony menjelaskan, tawaran yang dibuat Kerajaan Persekutuan telah mengagalkan rundingan ini apabila Splash dan Abass memulau tawaran daripada Kerajaan Pusat itu.

“Kerajaan Pusat tawarkan RM10.3 bilion, mereka kurangkan tawaran kepada Gamuda dan Abass, dan jumlah itu mereka serahkan pada Puncak Niaga dan Syabas,” kata Tony.

“Sejak dari itu, awal tahun ini, Kerajaan Pusat menawarkan model di mana Syabas dan Puncak Niaga mengambil kesemuanya,” tambahnya.

No comments

Powered by Blogger.