‘Selangor Terkini’ cubaan mengelirukan rakyat

DENGKIL, 22 Jan – Penerbitan sebuah akhbar berbahasa Melayu dikenali ‘Selangor Terkini’ didakwa cuba memutarbelitkan fakta dan memprovokasi akhbar ‘Selangor Kini’ yang diterbitkan Kerajaan Negeri.

Ahli Majlis Perbandaran Sepang, Azlan Mohd Samin berkata, kehadiran akhbar berkenaan dianggap sebagai satu percubaan mencemarkan imej Selangor dan mengelirukan rakyat kerana Kerajaan Negeri sudah memiliki akhbar rasmi tersendiri iaitu ‘Selangor Kini’.

“Melihatkan pada isi dan berita yang dimuatkan dalam akhbar berkenaan, jelas akhbar tersebut cuba diterbitkan pihak tertentu untuk menggugat kepercayaan rakyat terhadap apa yang diusahakan Kerajaan Negeri selama ini,”ujar Azlan.

Azlan berkata akhbar tersebut turut dirujuk kepada pihak Kerajaan Negeri dan dimaklumkan ‘Selangor Terkini” bukanlah diterbitkan Kerajaan Negeri Selangor.

Pihak beliau menerima banyak maklum balas tentang kewujudan akhbar tersebut kira-kira seminggu sebelum menemui akhbar itu.

Sementara itu, satu laporan polis dibuat di Balai Polis Dengkil semalam bagi memohon siasatan dilakukan dan pihak yang cuba menerbitkan akhbar berkenaan diambil tindakan.

Azlan berkata, hal itu dipandang serius kerana menerusi edaran akhbar tersebut secara meluas bakal membawa kekeliruan dan percanggahan kepada rakyat daripada usaha yang dilakukan Kerajaan Negeri.

“ Kita sama sekali menafikan berita yang dilaporkan akhbar berkenaan dan diharap rakyat tidak terpengaruh dengan fakta palsu dan mengelirukan itu,” katanya.

Bermotokan’penggerak kemajuan sebenar’ pada ruangan atas muka hadapan akhbar bertulis perkataan percuma, edisi pertama Januari 2011, bagaimanapun tidak ditulis syarikat diterbitkan dan hanya ditulis disediakan unit ICT.

No comments

Powered by Blogger.