Interlok: Wakil MIC Sanggah Muhyiddin

Interlok: Wakil MIC mahu novel ditarik balik, nafi kenyataan TPM
Oleh G Manimaran


KUALA LUMPUR, 22 Jan — Wakil MIC yang bertemu Kementerian Pelajaran minggu lalu telah menegaskan bahawa novel subjek sastera Interlok yang kontroversi harus ditarik balik daripada digunakan oleh pelajar-pelajar Tingkatan Lima.

Justeru menurut salah seorang wakilnya, kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa wakil-wakil yang hadir telah bersetuju novel itu baik dan patut digunakan adalah satu pandangan yang berbeza sama sekali.

Bekas presiden Hindu Sangam Malaysia, Dr. A. Nagappan berkata, kesemua enam wakil MIC telah menzahirkan pendirian sebulat suara bahawa novel itu tidak wajar dibenar untuk digunakan sebagai teks sastera atas alasan kandungannya tidak sesuai bagi tujuan memupuk integrasi dan semangat 1 Malaysia.

“Kami telah mengetengahkan satu pendirian bersama... pendirian kami, wakil MIC (dalam pertemuan minggu lalu) ialah novel ini wajar ditarik balik, tiada cadangan lain daripada kami selain meminta ia tidak digunakan di sekolah,” kata bekas pensyarah maktab perguruan ini ketika dihubungi The Malaysian Insider.

“Oleh itu satu perkara (novel patut digunakan) yang dikatakan oleh Tan Sri Muhyiddin tidak benar,” katanya.

Kata beliau, pihaknya berpendapat bahawa novel itu tidak wajar digunakan sebagai buku teks sastera berdasarkan pada keseluruhan kandungan ke atas pembangunan sosial masyarakat negara ini.

Semalam, Muhyiddin berkata, Kementerian Pelajaran mencadangkan beberapa usul untuk memudahkan tugas guru yang mengajar novel Interlok di sekolah-sekolah termasuk menyediakan glosari dan nota kaki untuk menjelaskan maksud perkataan-perkataan tertentu.

Menteri Pelajaran berkata, pihaknya juga mencadangkan supaya guru yang mengajar novel berkenaan disediakan panduan yang jelas bagi mengelakkan timbul masalah pada kemudian hari.

“Kita ada beberapa perkara sudah kita usulkan dan Kabinet minta kita teruskan perbincangan dengan MIC supaya lebih jelas bagaimana hendak atasi perkara ini."

No comments

Powered by Blogger.