Dr Khir: Air Tenang Jangan Disangka Tiada Buaya

1. Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kawasan Tenang menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR). Pertembungan ini sangat menarik kerana ia menyaksikan pertandingan antara dua parti yang berideologikan Islam dan Melayu iaitu UMNO dan Pas.

2. BN dan Pakatan mencalonkan anak tempatan dan dari generasi muda sebagai pertaruhan terbaik mereka. BN menamakan bekas Penolong Pentadbir Tanah Daerah Kecil Rengit, Mohd. Azahar Ibrahim, 39, manakala Pas meletakkan bekas guru, Normala Sudirman, 38, sebagai calon parti itu.

3. Jika dilihat daripada komposisi kaum dan beberapa isu semasa seperti kenaikan harga barangan dan petrol serta kemungkinan kenaikan tarif elektrik pada masa akan datang boleh menjejaskan sokongan pengundi kepada Barisan Nasional.

4. Namun sokongan terhadap Pas sendiri telah bayak terjejas berikutan arah tuju pergerakan parti itu sendiri telah jauh meninggalkan kemahuan dan kehendak Melayu luar bandar seperti di DUN Tenang. Pas dilihat kehilangan sokongan penyokong tradisi mereka di Felda dan juga kampung-kampung yang masih dalam ideologi dan pemahaman Pas pimpinan allahyarham Datuk Mohd Asri Muda.

5. Biar pun begitu, UMNO dan Pas masih mempunyai penyokong tegar masing-masing yang akan tetap pengundi parti tersebut biar apa pun yang terjadi. Saya mengjangkakan UMNO akan mendapat undi Melayu yang lebih banyak berbanding pilihan raya 2008. Ini kerana pengundi Melayu di luar bandar kurang terasa isu inflasi yang menjadi perbincangan dominan di bandar.

6. Yang menjadi perhatian juga ialah arah kecenderungan masyarakat Cina dalam pilihan raya DUN Tenang ini. Seingat saya hanya pilihan raya kecil Bagan Pinang menyaksikan undi kaum Cina menyokong Barisan Nasional meningkat dengan mendadak berbanding pilihan raya 2008. Lain-lain pilihan raya kecil di Semenanjung Malaysia memperlihatkan arah sokongan masyarakat Cina kepada Pakatan. Ramai penganalisis politik melihat situasi sokongan kaum Cina di Bagan Pinang adalah atas faktor hubungan baik dan rekod perkhidmatan cemerlang Tan Sri Isa Samad di sana.

7. Beberapa rakan penganalisis politik melihat tidak akan banyak perubahan dalam pola pengundian kaum Cina dalam pilihan raya kecil DUN Tenang. Ini kerana kawasan tersebut merupakan kubu kuat MCA.

8. Saya percaya kaum Cina di DUN Tenang akan memberi sokongan kepada Barisan Nasional terutama sekali sebagai menjaga maruah dan kedudukan Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek. Chua Soi Lek boleh dianggap antara Menteri yang cemerlang sewaktu menjaga Kementerian Kesihatan dan juga semasa menjadi ahli Parlimen Labis. Justeru itu, sokongan kaum Cina terhadap beliau akan diterjemahkan kepada memberi undi kepada BN dalam pilihan raya kecil ini.

9. Secara pandangan kasar, BN mempunyai peluang cerah memenangi semula kerusi ini. Ini turut diakui oleh "supremo" DAP, Lim Kit Siang pada minggu lalu.

10. Namun air yang tenang jangan disangka tiada buaya. Keghairahan ingin menang besar dan kempen yang keterlaluan menyerang individu tertentu boleh menjadi seperti "boomerang" yang boleh menjejaskan peluang BN untuk menang.

11. Melihat kepada sambutan masyarakat Cina terhadap kempen Pakatan beberapa hari lalu juga harus mengingatkan Barisan Nasional agar tidak leka dan terlalu yakin. Dalam pilihan raya kecil juga ada kecenderungan rakyat memberi undi protes. Justeru beberapa hari pertama berkempen ini, mendapat maklumat dan pandangan pengundi harus menjadi perkara utama jentera parti agar ia dapat diselesaikan segera.

12. Berkempen dengan berhemah dan tenang, insyallah BN akan menang di tenang.

http://www.drkhir.com/2011/01/air-tenang-jangan-disangka-tiada-buaya.html

No comments

Powered by Blogger.