Bekas PM Britain sokong kempen anti-Taib

Oleh Shanon Teoh


KUALA LUMPUR, 11 Mac — Bekas perdana menteri Britain Gordon Brown memberi sokongan kepada adik iparnya yang memperjuangkan kepentingan rakyat Sarawak dan hutan negeri itu, yang didakwa telah dieksploitasi oleh Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Menulis dalam akhbar The Independent semalam, Brown menggambarkan penebangan hutan Sarawak sebagai “jenayah alam sekitar paling buruk pada zaman kita.”

Clare Rewcastle-Brown, yang mengakui bertanggungjawab atas kelahiran Radio Free Sarawak dan blog Sarawak Report dua minggu lalu, kritikal dengan kepimpinan Taib yang menjadi ketua menteri sejak 30 tahun lalu sambil mendakwa wujudnya amalan-amalan rasuah yang berleluasa dan kegiatan politik tidak sah.

Rewcastle memulakan operasi kedua-dua saluran itu akhir tahun lalu dan mendedahkan identiti bulan lalu ketika pilihan raya negeri disebut-sebut akan diadakan dalam waktu terdekat.

“Dia sibuk membesarkan keluarganya, dan tidak memburu pendedahan besar selanjutnya. Tetapi, apabila dia menyelidik komuniti di mana dia dibesarkan, dia terkejut apabila mengetahui jenayah alam sekitar paling besar dalam era kita,” kata Brown.

Katanya, adik iparnya diganggu setiap kali melawat Malaysia dan dimaklumkan bahawa dia disenaraihitamkan.

“Dia juga ada menerima ugutan bunuh,” tulis Brown.

Selasa lalu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammudin Hussein berkata, siasatan terhadap Radio Free Sarawak, stesen radio yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini, telah pun bermula dengan memberi tumpuan kepada kandungan yang disiarkan kepada orang ramai.

“Ini bukanlah tentang politik, ini mengenai penyebaran pembohongan berniat jahat, isu membabitkan perpaduan dan keharmonian kaum,” katanya.

Hishammuddin bagaimanapun berkata pada masa ini tiada tindakan undang-undang yang boleh diambil terhadap Radio Free Sarawak memandangkan siasatan masih berjalan.

Sayap Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) membuat laporan polis dengan mendakwa radio itu beroperasi secara tidak sah dan menyebarkan tuduhan palsu, khususnya terhadap Taib.

Akhir bulan lalu, Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang percaya stesen radio Radio Free Sarawak beroperasi dari Melaka, bukannya di London, sebagaimana disangkakan.

“Saya ada mendengar tentang kewujudannya. Saya juga difahamkan ia beroperasi di Melaka, bukan di London, seperti yang dipercayai,” kata beliau.

Laporan London Evening Standard beberapa hari sebelum itu menyebut siaran Radio Free Sarawak dikendalikan oleh adik ipar Brown dan seorang warga keturunan Dayak dari London.

Akhbar tabloid itu mendedahkan, Rewcastle juga penulis Sarawak Report, yang sehingga kini merupakan blog tanpa diketahui nama pengendalinya, yang turut mengkritik kerajaan Barisan Nasional dan mencatatkan 18,000 hit setiap hari.

Menurut akhbar itu, Rewcastle dan Peter John Jaban, yang dikenali sebagai Papa Orang Utan oleh pendengar stesen tersebut, telah memutuskan untuk mendedahkan identiti mereka menjelang pilihan raya umum Sarawak, dijangka diadakan April ini.

Rewcastle, 51, berkata peranannya ialah memberikan “peluang kepada 2.5 juta penduduk Sarawak yang ditindas.”

Program radio itu disiarkan dari sebuah restoran di Covent Garden, yang terletak di tengah London, ke Sarawak yang jauhnya kira-kira 10,000km.

Menurut akhbar itu, kedua-dua mereka merahsiakan identiti masing-masing kerana bimbang Taib, 74, yang dikatakan salah seorang tidak berbelas kasihan dan lelaki paling kaya di dunia — didakwa lebih kaya berbanding Sultan Brunei, akan mendapatkan mereka dengan apa jua cara sekalipun.

Salang berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan mengambil tindakan terhadap dakwaan wujudnya stesen radio haram Radio Free Sarawak sekiranya terdapat laporan polis mengenainya.

No comments

Powered by Blogger.