Kronologi: Pegawai penyiasat beri keterangan

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes Fitnah II hari ini diteruskan dengan pegawai penyiasat Superintendan Jude Blacious Pereira memberi keterangan dengan disoal kedua-dua pihak, pendakwa dan peguam bela.

9.09am: Mahkamah mula bersidang.

9.11am: Pegawai penyiasat Superintendan Jude Blacious Pereira disoal balas DPP Yusoff. Menurut Jude, beliau meminta Anwar menyerah diri pada 16 Julai 2008 dan ia dilakukan menerusi satu surat yang difaks kepada Sankara. Surat itu difaks ke pejabat Sankara pada 15 Julai 2008 pada jam 1.05pm. Surat difaks itu dijadikan bukti di mahkamah.

9.18am: Jude berkata beliau merupakan pegawai penyiasat selama hampir 20 tahun sebelum berada di Bahagian Undang-undang dan Pendakwaan. Beliau pernah memberi keterangan dalam satu siasatan Suhakam sebelum ini.

9.20am: Menurutnya, dia merupakan pegawai yang bertanggungjawab menghalang lima peguam yang ditahan kerana mengadakan ‘candle light vigil’ di luar balai polis. Beliau memberi keterangan tersebut pada siasatan Suhakam tahun lepas.

9.22am: Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah tiba di galeri awam.

9.23am: Jude berkata dalam siasatan tersebut keterangannya tidak diterima kerana terdapat ‘sedikit percanggahan’.

Karpal: ‘Sedikit percanggahan’? Saya tidak mahu mengugut awak tetapi adakah ia percanggahan serius?

Pereira: Ya.

Karpal: Jangan menipu apabila sudah mengangkat sumpah sebagai saksi.

9.26am: Karpal bertanya apakah dapatan daripada siasatan tersebut.

Hakim Zabidin mencelah. Beliau mahu tahu kerelevanan soalan itu. Karpal berkata ia penting untuk membuktikan kewibawaan saksi.

9.28am: Karpal meminta Jude membaca hasil siasatan tersebut.

Pereira: DSP Jude Pereira dalam siasatan tersebut memberikan keterangan yang tidak boleh diterima sebagai benar dan beliau mengalami ‘langkauan ingatan’. Karpal mahu laporan Suhakam itu ditanda sebagai bukti di mahkamah. Yusof membantah. Laporan itu ditanda sebagai ID.

9.32am: Jude mengaku tiada waran tangkap diberikan kepada Anwar sewaktu beliau ditahan. Walaupun begitu, waran tangkap tersebut ada, kata Jude.

9.36am: Karpal bertanya jika Jude tahu peraturan yang tidak membenarkan saksi disoalsiasat selepas jam 6 petang.

9.39am: Karpal bertanya kepada Jude jika beliau tahu bahawa orang yang ditahan tak boleh disoalsiasat antara jam enam petang sehingga enam pagi kerana ia merupakan masa rehat mereka. Jude berkata, beliau faham. Karpal bertanya mengapa Anwar tidak dibiarkan berehat dalam lokap seperti ditetapkan peraturan lokap. Jude berkata ia kerana pada masa itu Anwar masih belum lagi dilokap.

9.47am: Jude menafikan kenyataan Karpal yang beliau tidak mematuhi peraturan lokap. Menurutnya, beliau pernah cuba memberi notis kepada Anwar pada 12 Julai namun gagal berbuat demikian. Menurut Jude lagi, peguam Anwar memberitahu Anwar tidak dapat memberi keterangan kerana pada 15 Julai kerana beliau berada di Pulau Pinang.

9.52am: Karpal bertanyakan asas penahanan Anwar pada 17 Julai kerana Sankara sudah pun memberi jaminan Anwar akan hadir memberi keterangan. Jude berkata adalah lebih baik untuk beliau memohon waran tangkap sehari sebelum tangkapan dibuat.

No comments

Powered by Blogger.