Empat Sasterawan Negara kesal parti Melayu ‘tidak bela’ penulis Interlok

Oleh G Manimaran


KUALA LUMPUR, 8 Mac — Empat Sasterawan Negara dalam kenyataan bersama berkata mereka kesal kerana parti-parti politik Melayu tidak memberi sokongan moral sewajarnya kepada rakan mereka Datuk Abdullah Hussain, penulis novel Interlok yang menjadi bahan kontroversi sejak awal tahun ini.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Profesor Dr Tan Sri Muhammad Salleh, Datuk Dr Anwar Ridhwan, Datuk Shahnon Ahmad dan Tan Sri Noordin Hassan.

“Sudah banyak perbincangan dan debat yang telah diadakan tentang buku Interlok. Dalam wacana ini ada yang jernih di samping banyak juga yang keruh pada sungai perbincangannya.

“Akan tetapi yang agak dikesalkan ialah hakikat bahawa sangat sedikit golongan, terutama parti politik yang menjadikan pembelaan nasib dan martabat kaum Melayu sebagai landasannya, tampil memberi sokongan moral kepada seorang pengarang Melayu bernama Abdullah Hussain, yang melalui Interlok berbicara tentang kemanusiaan yang merentas sempadan ras dan etnik di tanah airnya,” kata mereka dalam kenyataan bersama hari ini.

Akhir Januari lalu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran mengumumkan bahawa novel Interlok akan terus digunakan sebagai teks komponen sastera (Komsas) bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia murid Tingkatan Lima di Zon 2 iaitu di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan tetapi kerajaan bersetuju untuk membuat pindaan pada bahagian yang dianggap sensitif oleh masyarakat India.

Novel itu menimbulkan kontroversi berikutan keputusan Kementerian Pelajaran memilih novel itu sebagai teks sastera tingkatan lima tahun ini kerana didakwa terdapat perkataan yang menyinggung perasaan masyarakat India di negara ini.

Isu itu kemudian mendapat perhatian ramai pihak termasuk badan bukan kerajaan dan parti politik yang mengatakan novel itu mempunyai unsur perkauman malahan ada juga yang mempertahankan kandungan novel yang memaparkan tema mengenai integrasi tiga kaum iaitu Melayu, Cina dan India seawal tahun 1900-an hingga merdeka.

Sebelum ini beberapa badan mewakili masyarakat India termasuk MIC meminta Putrajaya menarik balik novel Interlok daripada digunakan sebagai bahan teks sastera.

Dalam kenyataan itu, mereka menegaskan bahawa sebuah teks sastera bukanlah teks politik dan bukan juga teks sejarah atau geografi.

“Sebuah karya sastera ialah sebuah teks yang melukis jiwa manusia, perasaannya, nilai dan kepentingannya dalam konteks zaman dan sejarahnya.

“Yang dilukis didekatkan sehampir mungkin kepada kenyataan dalam dan luar diri manusia kerana karya sastera tidak tercipta daripada kekosongan atau vakum. Peristiwa di luar - peperangan dan kedamaian, kesusahan dan kesenangan, kerusuhan dan ketenangan - dilukis oleh kata-kata dan peribadi pengarang. Ini telah dilakukan sejak beribu tahun oleh semua pengarang, di semua negara,” kata kenyataan itu lagi.

Malah kata mereka sastera bukan dokumen rasmi pemerintah, atau maklumat yang dirapikan serta dicantikkan untuk disebarkan. Sastera ialah lukisan kehidupan, dan kehidupan tidak selalu rapi dan cantik.

“Inilah bahan sastera, dan untuk berlaku adil kepada bahan ini sastera melukis dengan warna berbagai-bagai - ada yang merah, kuning, kelabu dan hitam. Itulah warna kehidupan yang lebih banyak jalurnya.

“Malah pengarang-pengarang dari benua kecil India, telah turut menyentuh isu dalam Interlok yang oleh segelintir orang di sini disensasikan, kerana sistem sosial masyarakatnya telah dinormakan dalam perjalanan panjang peradabannya,” katanya lagi.

Kata mereka, Interlok ialah sebuah novel yang melukis suatu deretan waktu, watak dan latar dari 1910 hinggalah sebelum Merdeka.

“Tujuan penulis cukup mulia, iaitu melukis gambaran kaum-kaum yang terdapat di negara ini, dengan masalah dalamannya sendiri, dan di akhirnya telah bersatu untuk menerima negara dan harapan baru.

“Inilah tujuan pengarang. Manusia yang dilukiskan juga cukup mulia, terutama Maniam, yang besar hati dan jiwanya, dan masih ingin membantu orang lain, walau pun dia pernah dimangsakan,” kata mereka dalam kenyataan hari ini.

Malah menurut keempat-empat Sasterawan Negara ini mereka tidak melihat masalah pada istilah dan lukisan yang digambarkan oleh pengarang.

“Kami juga tidak mengesan tujuan untuk menghina mana-mana kaum. Akhiran karya ini menawarkan harapan dan kecerahan. Itulah tujuan terpenting pengarang.

“Kami merasa sangat prihatin sekiranya pengarang terus didesak untuk merubah karya mereka sehingga gagasan awal mereka sudah dicairkan,” kata mereka.

Malah mereka juga mengingkatkan bahawa “sekiranya perubahan pada lukisan satu kaum hanya dibuat, dan tidak pada kaum yang lain, maka akhirnya terdapat suatu lukisan yang tidak lagi berimbang dan benar – hanya cantik pada suatu kaum dan comot pada yang lainnya.”

Oleh itu kata mereka, benarkanlah penulis melukis kenyataan Malaysia walau betapa pun tidak manis kenyataan itu.

“Kerana mereka juga berfikir bagi pihak kita, dengan sudut pandangan mereka sendiri, yang walau pun berlainan, masih diperlukan di negara yang demokratis, yang memberi kebebasan kepada sasterawannya untuk menulis, berfikir dan berpendirian.

“Marilah kita, rakyat Malaysia, membaca sastera dari pendekatan sastera dan menghormatinya secara wajar dan pintar, supaya darinya dapat kita kutip pemikiran dan kearifan sasterawan kita,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.