Mahkamah: Sampel DNA diambil secara tidak sah, ditolak sebagai bukti

Oleh Shazwan Mustafa Kamal


KUALA LUMPUR, 8 Mac — Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah memutuskan sampel DNA telah diambil secara tidak sah dari lokap Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang ditahan satu malam pada Julai 2008, dan ia akan dikeluarkan daripada senarai bahan bukti kes liwat Ketua Umum Pakatan Rakyat itu.

Ini bermakna tuala “Good Morning”, berus gigi dan botol air mineral serta sampel-sampel DNA yang diperoleh daripada ketiga-tiga barang itu tidak boleh digunakan sebagai bukti terhadap Anwar.

“Saya memutuskan dalam kes ini, sampel-sampel DNA daripada tiga barang ini — tuala Good Morning, botol air dan berus gigi diambil menggunakan cara tidak sah daripada tertuduh . . . dan, dikeluarkan daripada sebahagian daripada bahan bukti,” kata beliau hari ini.

Beliau membuat keputusan itu di akhir perbicaraan dalam perbicaraan sama ada sampel DNA yang diambil daripada ketiga-tiga barang itu boleh diperoleh sebagai bukti.

Anwar, 63, didakwa meliwat pembantu peribadinya Mohd Saiful, 25, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

No comments

Powered by Blogger.