Kerajaan didesak jelas alasan luput 5 bidang tanah GLC

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Batu Tian Chua mempersoalkan rasional syarikat perunding McKinsey & Co yang dilantik kerajaan meluputkan lima bidang tanah milik kerajaan ataupun syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi projek Mass Rapid Transit (MRT) Sungai Buloh – Kajang.

McKinsey & Co dilantik bagi menjalankan Value Management Study (VMS) dengan nilai 8.2 juta bertujuan mengkaji hartanah secara optimum, mengurangkan kos, menggalakkan kerjasama dengan pihak swasta dan memaksimumkan perdapatan dari bukan penjualan tiket.

Dalam kenyataan medianya di lobi Parlimen hari ini, Tian mendedahkan, melalui McKinsey, Kabinet meluputkan tanah di Keretapi Tanah Melayu (KTMB) Bangsar dengan keluasan lapan hektar, Lembaga Getah Malaysia Sungai Buloh (2,675 ekar), Kompleks Penyelidikan Kementerian Kesihatan Malaysia, Bangsar (40 ekar), Jalan Cochrane (60 ekar) dan Kem Cantonment (280 ekar).

“Jika dibandingkan dengan pendekatan yang digunakan oleh syarikat MRT di Hong Kong, mereka telah rezabkan tanah di sekitar kawasan MRT dan dijual secara tender terbuka.

“Kini mereka memperolehi keuntungan 30 hingga 50 peratus daripada pendapatan pembinaan kompleks komersil, perumahan dan pengiklanan. Ia juga mencatat rekod harga tambang MRT yang tidak meningkat dalam tempoh 15 tahun dan 90 peratus penduduknya menggunakan pengangkutan awam.

“Mengikut rekod, Kementerian Kewangan telah menebus balik bon milik Syarikat Prasarana Negara Berhad yang bernilai RM1.37 bilion yang telah matang pada tahun 2006 dan 2008,” jelas Tian merangkap Naib Presiden KEADILAN.

Kini, Prasarana masih menanggung keseluruhan nilai bon bernilai RM10.47 bilion yang akan matang dalam tempoh 2011-2029, iaitu bon Sistem Transit Aliran Ringan (STAR) berjumlah RM3 bilion dan Projek Usahasama Transit Aliran Ringan Automatik (Putra) sebanyak RM5.25 bilion.

“Persoalannya, sama ada Prasarana masih berkemampuan menanggung kos MRT yang bernilai lebih daripada RM36 bilion ini?” soal Tian.

Beliau menambah, kos RM36 bilion itu tidak termasuk kos pengambilan tanah bagi 473 lot tanah dengan keluasan 97 hektar itu. Ini tidak termasuk kos pengambilan tanah bernilai tinggi di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) dan kawasan Bukit Bintang yang dijangkakan melebihi RM 10 bilion.

Bahkan, kawasan kritikal berkepadatan tinggi seperti di Taman Suntex Cheras, Kampung Sungai Sekamat dan Kampung Sungai Balak masih tidak dimasukkan dalam anggaran ini.

“Ini menunjukkan kegagalan kerajaan dalam menjalankan kerja pembangunan yang tidak memberi manfaat kepada rakyat. Bahkan, wang rakyat akan digunakan untuk menanggung kerugian.

“Ini merupakan bukti perancangan ETP (Program Transformasi Ekonomi) Najib yang hanya mementingkan kroninya,” kata Tian.

No comments

Powered by Blogger.