Rosmah patut mohon maaf kepada rakyat Jepun dan Malaysia

KUALA LUMPUR: Kenyataan dangkal Datin Seri Rosmah Mansor yang mendakwa kejadian tsunami di Jepun berlaku akibat kecuaian negara itu amat
dikesali malah menyebabkan seluruh rakyat dan kerajaan Malaysia dicemuh
dan dimalukan di mata dunia.

Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin menyifatkan perlakuan isteri
Perdana Menteri itu amat memalukan dan bertentangan dengan pengakuan
beliau dan kerajaan Malaysia kononnya sebagai ‘First Lady’ beliau banyak
membantu dalam hubungan diplomatik dengan negara-negara lain.

“Seluruh Malaysia diketawakan dan dicemuh serata dunia. Ini lebih teruk
kerana ia berlaku selepas kontroversi kartun yang menghina sensitiviti
rakyat Jepun dan seluruh dunia.

“Malahan, dari insiden ini menunjukkan beliau sebagai isteri Perdana
Menteri tidak layak untuk mewakili suara wanita Malaysia, apatah lagi
mahu mengangkat diri beliau dengan gelaran First Lady of Malaysia
(FLOM),” kata Zuraida dalam satu kenyataan media kepada Keadilan
Daily.com.

Ahli Parlimen Ampang itu mengulas demikian sebagai respon kepada
kenyataan Rosmahyang mendakwa kejadian tsunami di Jepun sebagai
pengajaran kepada kerajaan itu yang tidak menitikberatkan faktor alam
sekitar dan perubahan iklim dalam pembangunannya.

Laporan kenyataan yang dilaporkan kepada Awani menjadi tajuk utama
berita antarabangsa CNN, dan kini menjadi pendebatan hangat di laman
sosial facebook dan twitter menunjukkan bahawa Rosmah seolah-olah tiada
naluri sensitiviti kepada kesusahan rakyat dan kerajaan Jepun yang kini
sedang dalam keadaan getir menghadapi bencana tersebut.

Mengulas lanjut, Zuraida mewakili pimpinan KEADILAN mengingatkan seluruh
rakyat Malaysia bahawa peristiwa yang berlaku di Jepun adalah kuasa
Tuhan.

“Malah, rakyat Jepun patut dipuji kerana tenang dan menerima ujian ini
dengan sabar. Semasa Malaysia dilanda tsunami pada tahun 2004, Jepunlah
antara negara pertama yang menghulurkan bantuan.

“Oleh itu, Rosmah patut minta maaf kepada rakyat dan kerajaan Jepun
kerana sikap tidak sensitivitinya ini, dan juga kepada rakyat Malaysia
kerana memalukan Malaysia,” kata Zuraida.

No comments

Powered by Blogger.