Menteri Besar dituntut semak perjanjian dengan Felda Plantation

KUALA LUMPUR: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) mendesak semua Menteri Besar supaya menyemak semula perjanjian dengan Felda Plantation berikutan percanggahan dasar yang diwujudkan oleh Tun Dr Mahathir Muhamad pada 1992 dengan Akta Petempatan Berkelompok (GSA) 1960.

Presidennya, Mazlan Aliman mendedahkan perkara ini bahkan ada di antara Menteri Besar termasuk dari negeri yang ditadbir oleh Barisan Nasional (BN) yang tidak bersetuju untuk menyerahkan tanah kepada Felda Plantation, namun terpaksa akur kerana paksaan Perdana Menteri ketika itu.

“Ada di kalangan Menteri Besar yang memaklumkan kepada saya bahawa mereka menentang keputusan Tun Dr Mahathir untuk menyerahkan tanah kepada kerajaan Pusat untuk menubuhkan Felda Plantation,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen petang tadi.

Menjelaskan beliau tidak dapat mendedahkan butiran perbincangan, Mazlan berkata maklumat itu diperolehi setelah berjumpa dengan beberapa Menteri Besar termasuk dari Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan dan Johor ketika menyerahkan memorandum berkaitan isu Felda.

Justeru, beliau mengulangi pendiriannya bahawa Felda Plantation sebagai organisasi haram kerana kerajaan Pusat telah menipu dan mengkhianati kerajaan negeri dengan mewujudkan penempatan tanpa peneroka.

“Jika Felda Plantation ini tidak tertakluk di bawah Akta GSA, jadi ia tertakluk di bawah akta apa?” soalnya.

Membidas kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan, beliau menyatakan kerajaan negeri tidak memahami 51 kepentingan Koperasi Permodalan Peneroka Berhad yang ada dalam Felda Plantation.

Mazlan berpendapat, dividen 14 peratus secara tahunan yang diberikan kepada peneroka lari dari aspirasi pengasas Felda.

Dalam pada itu, beliau berkata, tawaran 100 hari Pakatan Rakyat melalui Buku Jingga untuk memansuhkan Felda Plantation adalah langkah paling tepat untuk mengembalikan hak peneroka dan tanah milik kerajaan negeri.

No comments

Powered by Blogger.