PM: Tidak langgar polisi privasi semasa hantar ucapan Selamat Tahun Baru Cina

KUALA LUMPUR, 8 Mac — Inisiatif Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menghantar ucapan Selamat Tahun Baru Cina melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan e-mel tidak melanggar sebarang Polisi Privasi syarikat telekomunikasi.

Malah beliau juga tidak mempunyai akses kepada data-data peribadi penerima.

Najib (gambar) dalam jawapan bertulisnya kepada soalan Teo Nie Ching (DAP-Serdang) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini berkata pejabatnya telah memastikan prinsip perlindungan maklumat peribadi dipatuhi tanpa kecuali, selain menghormati sepenuhnya terma dan syarat syarikat telekomunikasi.

“Ingin ditegaskan bahawa pada sebarang masa dan pada setiap tahap proses penghantaran mesej ini, pejabat Perdana Menteri tidak sesekali pernah mempunyai akses kepada sebarang maklumat yang bersifat peribadi kepada penerima,” katanya bagi menjawab soalan Teo yang ingin tahu sama ada tindakan itu telah mencabuli hak privasi rakyat Malaysia.

Selain itu Teo juga ingin tahu kos mengirim e-mel dan SMS ucapan Selamat Tahun Baru Cina daripada keluarga Perdana Menteri kepada rakyat dan bagaimana kerajaan pusat mendapat e-mel dan nombor telefon bimbit tersebut.

Najib berkata ucapan ringkas peribadi beliau telah dihantar kepada 4 juta rakyat Malaysia dengan kerjasama daripada tiga syarikat telekomunikasi utama iaitu Digi.Com Berhad, Maxis Berhad dan Celcom Berhad.

“Tiada sebarang kos yang dikenakan oleh ketiga-tiga syarikat tersebut, ucapan Perdana Menteri disebar luaskan dalam rangka memenuhi tanggungjawab sosial syarikat,” katanya.

Menerusi e-mel pula, sebanyak 1,255,528 rakyat Malaysia telah menerima ucapan peribadi Najib di mana alamat e-mel tersebut telah dikumpulkan melalui tiga pangkalan data iaitu Media Prima Berhad, Kementerian Pengajian Tinggi dan laman web www.1Malaysia.com.my.

Najib berkata kos yang dikenakan adalah 5 sen setiap e-emel, di mana dengan kos yang begitu minimum, beliau telah dapat mendekati lebih sejuta rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum dan agama.

Beliau berkata bagi menghormati prinsip perlindungan maklumat peribadi serta terma dan syarat ketiga-tiga pangkalan data, beliau tidak mempunyai akses kepada data-data peribadi.

“Kesemua e-mel telah dihantar setelah kesemua syarat dan terma diteliti dengan sepenuhnya dari ketiga-tiga pangkalan data untuk memastikan prinsip perlindungan peribadi tidak dilanggar,” katanya.

Inisiatif penyampaian mesej perayaan Tahun Baru Cina oleh Najib tahun ini menggunakan e-mel dan SMS adalah sebahagian daripada usaha berterusan pentadbiran ini bagi mengukuhkan perpaduan nasional serta memelihara hubungan rapat rakyat dan kerajaan selaras dengan gagasan 1Malaysia.

Inisiatif itu juga membolehkan Najib selaku Ketua Kerajaan dapat secara langsung berkongsi kegembiraan dengan rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum yang meraikan perayaan masing-masing dengan menggunakan perantaraan media yang bersifat popular dan meluas. — Bernama

No comments

Powered by Blogger.