Apa Polis Buat Dengan Ugutan Ini? Harap Ada Respon

Pemuda Umno: ‘Kami tiada pilihan, Patriot menanti Bersih 2.0 datang’

Oleh G. Manimaran


KUALA LUMPUR, 4 Julai — Pemuda Umno akan “menanti” kedatangan Bersih 2.0 di depan Istana Negara atau mana-mana lokasi di ibu Negara jika gabungan itu meneruskan rancangan mahu mengadakan Himpunan Bersih 2.0 pada Sabtu ini, kata penyelaras Himpunan Patriot anjuran pergerakan itu.

Lokman Noor Adam, yang juga ahli jawatankuasa Pemuda Umno menegaskan, pihaknya tiada jalan lain melainkan menghentikan perhimpunan-perhimpunan seperti itu mulai sekarang.

“Apa pilihan yang kami ada? Kami tiada pilihan kecuali menghentikan demonstrasi macam ini,” kata beliau dalam satu pertemuan dengan The Malaysian Insider di sini kelmarin.

“Kita tidak mahu buat benda ini... sesuka hati (macam mereka), kita mahu akal menguasai emosi kita dengan baik... sungguhpun ramai yang beranggapan ini bukan cara terbaik untuk berhadapan dengan Bersih, tetapi sikap kepala batu dan degil Bersih, kita tiada pilihan kecuali hadapi mereka secara fizikal dan sampai bila rakyat mahu biarkan benda demonstrasi ini,” kata Lokman sambil menambah sanggup mengorbankan nyawanya untuk berhadapan dengan Himpunan Bersih 2.0.

Katanya, walaupun tindakan mereka mengadakan perhimpunan balas tidak sah, pihaknya “sanggup melawan.”

“Saya tahu (cara) tindakan Anwar, sebab saya bekas jeneral dia,” katanya merujuk kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merupakan Ketua Pembangkang dan Ketua Umum PKR.

Beberapa jam selepas pertemuan itu yang berlangsung di Kelab Sultan Sulaiman, Kementerian Dalam Negeri mengumumkan Bersih 2.0 sebagai pertubuhan haram.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong bertitah agar setiap permasalahan yang timbul — dalam isu semasa merujuk kepada tuntutan Bersih 2.0 diselesaikan secara rundingan dan tidak mengikut perasaan.

Baginda juga menyeru kepada pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan secara adil dan bijaksana dan “yang pentingnya.”

“Hakikatnya demonstrasi jalanan banyak membawa keburukan daripada kebaikan walaupun niat asalnya baik,” titah baginda dalam satu kenyataan.

Titah baginda muncul sehari selepas Putrajaya mengisytiharkan Bersih 2.0 sebagai pertubuhan haram manakala enam pemimpin dan ahli Parti Sosialis Malaysia ditahan di bawah Ordinan Darurat.

“Kata nak hantar memorandum kepada Istana Negara... mengapa nak adakan perhimpunan... kami akan menanti kejadiran mereka, kalau berlaku pertempuran, (Pengerusi Bersih Datuk) Ambiga dan Anwar harus bertanggungjawab. Kita akan mempertahankan kedaulatan negara,” kata Lokman.

Pertengahan bulan lalu, Pergerakan Pemuda memutuskan untuk mengadakan perhimpunan balas membantah Bersih 2.0 dengan menghantar memorandum kepada Istana Negara mempertahankan sistem pilihan raya semasa.

The Malaysian Insider difahamkan Pemuda Umno kemungkinan akan menghantar pada hari lain, bukannya pada Sabtu ini sebagaimana diumumkan sebelum ini.

Lokman berkata pihaknya ingin menyampaikan mesej “majoriti yang diam” bahawa mereka tidak suka dengan apa yang dilakukan oleh Bersih 2.0 dan “sekarang mahu menyuarakan” pendirian” mereka.

“Kita hendak menanti mereka... di mana-mana lokasi, kita nak memberitahu mereka, kita juga boleh menghantar (memorandum)... kami hendak menanti kehadiran mereka,” kata beliau sambil menambah, tujuan Himpunan Bersih 2.0 bukan untuk menghantar memorandum tetapi mahu menggulingkan kerajaan.

“Himpunan Bersih berbeza daripada Patriot, berbeza kerana kami rakyat yang mencintai, Patriot mencintai keamanan dan akan membantah sebarang usaha untuk menggulingkan, sebarang usaha mengadakan demonstrasi,” kata beliau.

“Partriot mahu menghentikan mereka, ya, kami mahu menghentikan mereka,” kata Lokman,merupakan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum menyertai kembali Umno.

Justeru kata beliau, sesiapa sahaja yang membantah Himpunan Bersih 2.0 digalakkan “memakai baju merah.”

“Kami menawarkan kepada rakyat,” kata beliau sambil menambah, kemeja-T sebagai simbol semua rakyat mencinta keamanan dan “hanya Patriot yang mempertahankan negara.”

Meskipun Umno sebahagian daripada komponen Barisan Nasional (BN), tetapi keputusan mengadakan perhimpunan balas ini hanya diputuskan oleh Pergerakan Pemuda dan tidak melibatkan sayap muda perikatan itu.

“Ya, ini keputusan Pergerakan Pemuda, kami memutuskan untuk mengambil langkah ini,” kata Lokman.

Baru-baru ini beberapa komponen kecuali MCA menyatakan sokongan kepada pendekatan Pemuda Umno.

Justeru kata Lokman, mereka tidak kecewa dengan pendirian MCA itu.

“Tidak, kami tidak kecewa,” katanya sambil menambah, masing-masing ada cara untuk melahirkan pendirian tidak puas hati dengan Himpunan Bersih 2.0.

“Kami mahu melahirkan pendirian untuk mengatakan bagaimana majoriti fikir mengenai perhimpunan haram ini,” katanya lagi.

“Kami hendak memberitahu bahawa bagi Bersih 2.0 untuk membuat sesuka hati sudah tamat, kami tidak akan duduk diam dan lihat lagi,” kata beliau merujuk kepada siri demonstrasi diadakan pihak pembangkang.

Lokman yakin Himpunan Bersih 2.0 tiada kekuatan sebagaimana didakwa oleh penganjurnya boleh mengumpulkan lebih 100,000 orang, dua kali ganda berbanding Himpunan Bersih 2007.

Sambil berkata pihaknya tidak perlu menggerakkan ahli-ahli dan penyokongnya dari seluruh negara, kata Lokman, berdasarkan maklumat yang diterima, penganjur hanya mengambil sekitar 15,000 daripada 50,000 kemeja-T yang telah ditempah.

“Saya tahu kekuatan mereka (Himpunan Bersih). Cukup bagi kami menghumpulkan ahli kami dari Lembah Klang sahaja,” katanya.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEg9_ChJlZvYDgA9tk6nTfwRNUCQc_iBQUfAQ6yfmG23M3zSnbDLe1bxY0PVL_LbSJHP0TJY8BiQqdmVwudzcp1f72aHcABfkExA3Hk7TRu-CE0lTq4LGHLkVguMD-FvNzdWOwUt8-RmxR0/s1600/JALANRAYA.jpg

No comments

Powered by Blogger.