Najib: Kami sedia benarkan Himpunan Bersih di stadium

KUALA LUMPUR, 4 Julai — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan bersedia untuk membenarkan Himpunan Bersih 2.0 jika ia diadakan di stadium.

“Ini satu peringatan sebelum terlambat. Jika mereka mahu menyerahkan memorandum dan sebagainya, mereka boleh menunjukkan dengan cara demokrasi dengan bekerjasama dengan pihak berkuasa.

“Kami bersedia menyediakan mereka satu stadium bagi mereka untuk berhimpun tetapi mereka pilih jalan untuk protes. Kerajaan tidak menentang mereka berhimpun di stadium dari pagi sehingga malam. Jangan buat protes jalan kerana ia berisiko kepada negara,” kata beliau.

“Kita sanggup sediakan stadium untuk mereka berkumpul tetapi kenapa mereka memilih demonstrasi jalanan... mesti ada niat lain. Kalau mereka daripada awal kata nak berkumpul daripada pagi hingga malam di stadium dan balik dengan baik, saya percaya pihak kerajaan tiada halangan.

“Kumpullah di stadium, berpekiklah sampai tak larat... buatlah, tidak menjadi masalah tetapi jangan buat demonstrasi jalanan kerana ia boleh mengundang risiko yang amat berbahaya kepada negara,” katanya dipetik Bernama Online.

Najib berkata jika matlamat perhimpunan haram itu adalah untuk memperbetulkan sistem pilihan raya di negara ini, kenapa Barisan Nasional (BN) tewas di lima buah negeri pada pilihan raya umum 2008.

Perdana Menteri menjelaskan keadaan itu menunjukkan bahawa sistem pilihan raya yang diadakan di negara ini adalah bebas dan adil.

Malah, beliau berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga sanggup mengkaji dengan melakukan penambahbaikan, termasuk akan memperkenalkan sistem biometrik bagi memastikan sistem pilihan raya di negara ini, berjalan dengan adil.

“Tetapi yang anehnya bila dah menang... sunyi sepi, tiada cerita pengundi hantu. Tiba-tiba bila rasa dah dekat, timbul balik. Ini jenis hantu, ada masa timbul, ada masa dia hilang,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri hari ini.

Najib mengingatkan rakyat supaya tidak melakukan sesuatu perkara yang boleh merosakkan atau menghancurkan apa yang dibina dan dibangunkan selama ini.

Perdana Menteri berkata rancangan mengadakan perhimpunan haram atau demonstrasi jalanan oleh pihak berkepentingan pada 9 Julai ini, bukannya cara yang baik dalam mencari penyelesaian.

“Ini semua (perhimpunan haram) sebenarnya bukan tujuannya untuk memperbetulkan sangat sistem yang ada tetapi bermotifkan politik untuk mendapatkan kuasa melalui cara yang tidak demokratik.

“Melalui demonstrasi jalanan... dan jika berlaku, banyak orang akan tumpang semangkuk. Tidak ada jaminan bahawa segala-galanya boleh berlaku dengan aman.

“Kalau ada orang suka kepada rusuhan dan kekacauan, dia akan tumpang sekaki dan akan berlaku keadaan yang kita hendak elakkan,” katanya

Najib berkata sebenarnya ada pendekatan lain untuk menangani sesuatu isu itu dan jangan melakukannya kerana dipengaruhi oleh emosi.

Perdana Menteri juga mengingatkan rakyat supaya mendengar nasihat daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, yang bimbang bahawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan dengan mengadakan perhimpunan haram itu.

“Saya harap, kita beringat dan sedar bahawa tanggungjawab kita menjaga masa depan negara... jaga masa depan anak-anak dan kelangsungan Malaysia, negara kita yang tercinta,” katanya.

Najib berkata sejak merdeka, Malaysia telah membangun menjadi sebuah negara berjaya berasaskan kepada lima sendi atau prinsip iaitu keharmonian hubungan kaum, kestabilan politik, mengamalkan sistem pasaran terbuka, meletakkan perlembagaan dan undang-undang negara di tempat yang tertinggi serta memperkenalkan dasar-dasar yang pasti dilaksanakan.

Lawak!

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEg9_ChJlZvYDgA9tk6nTfwRNUCQc_iBQUfAQ6yfmG23M3zSnbDLe1bxY0PVL_LbSJHP0TJY8BiQqdmVwudzcp1f72aHcABfkExA3Hk7TRu-CE0lTq4LGHLkVguMD-FvNzdWOwUt8-RmxR0/s1600/JALANRAYA.jpg

No comments

Powered by Blogger.