YB Teresa: Hishammuddin Haruslah Menarik Balik Keputusan Yang Mengharamkan Bahan Cetakan Yang Mempunyai perkataan "Bersih"

Menteri Dalam Negeri Hishammuddin Hussein dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah membuat keputusan yang bodoh dengan mengisytiharkan objek yang mempunyai perkataan "Bersih" dan berwarna kuning adalah haram, di mana polis diarah mengambil tindakan terhadap mereka yang mengguna pakai bahan "Bersih" tersebut.

Tindakan Kementerian Dalam Negeri dan PDRM tersebut telah menjadikan kerajaan BN sebagai bahan lawak orang ramai di dalam dan luar negara. Selain itu, tindakan keganasan dan penangkapan PDRM sebelum dan pada hari Perhimpunan Bersih tersebut juga telah menjatuhkan imej Perdana Menteri dan PDRM di seluruh dunia.

Mengikut laporan akhbar, sehingga 8 Julai 2011, PDRM telah menahan seramai 198 orang dan menyoal-siasat seramai 25 orang berkaitan dengan Bersih.

Pada tarikh perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai 2011 pula, PDRM telah menyerang orang yang berhimpun secara aman dengan gas pemedih mata dan meriam air, dan menangkap 1,667 orang di pusat bandar Kuala Lumpur.

Lebih mengecewakan lagi, PDRM masih lagi menyalahgunakan Seksyen 3(1) Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Pencegahan Jenayah) 1969 untuk menahan enam orang aktivis Parti Sosialis Malaysia. Ordinan Darurat yang seharusnya digunakan untuk penjenayah sahaja telahpun digunakan ke atas aktivis yang tidak terbabit dalam aktiviti jenayah sekarang.

Memandangkan Perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai 2011 telah pun selesai, saya ingin menggesa Hishammuddin dan PDRM untuk membatalkan larangan tersebut dan meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia.

Perhimpunan Bersih 2.0 telah pun berakhir dengan aman, damai dan tidak ada merosakkan sebarang harta benda seperti apa yang diura-urakan oleh pihak polis sebelum itu. Sebaliknya, golongan yang mencederakan para peserta adalah anggota PDRM sendiri.

Perhimpunan Bersih 2.0 yang disertai oleh 50,000 orang yang bersuara lantang untuk menyokong kelapan-lapan tuntutan gabungan Bersih telah menunjukkan kempen yang menuntut pilihanraya yang bersih dan adil tersebut telahpun berjaya.

Di sini saya ingin menyeru Perdana Menteri Najib Razak dan ahli kabinet agar menghormati tuntutan dan kehendak rakyat, dan mengadakan pembaharuan politik dengan menunaikan kelapan-lapan tuntutan Bersih tersebut.

Tibalah masa bagi kerajaan BN untuk menghormati hak asasi manusia, termasuk memberi lebih kelonggaran kepada rakyat Malaysia untuk mengadakan perhimpunan secara aman seperti apa yang dipraktikkan di banyak negara di dunia.

Y.B Teresa Kok Suh Sim

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian,

& Perdagangan Negeri Selangor

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEg9_ChJlZvYDgA9tk6nTfwRNUCQc_iBQUfAQ6yfmG23M3zSnbDLe1bxY0PVL_LbSJHP0TJY8BiQqdmVwudzcp1f72aHcABfkExA3Hk7TRu-CE0lTq4LGHLkVguMD-FvNzdWOwUt8-RmxR0/s1600/JALANRAYA.jpg

No comments

Powered by Blogger.