Bersih 3.0 jawapan terbaik, tandatangan Najib dan Awang Sariyan
Oleh Ahmad Lutfi Othman
Memang membazirkan masa, wang ringgit dan tenaga. Namun, apalah pilihan yang ada kepada parti-parti pembangkang di negara ini. Tumpuan kini terpaksa dikerahkan untuk menyediakan padang permainan sama rata dan peraturan gelanggang yang lebih adil, berbanding persiapan untuk "bertarung" itu sendiri.
Segala kelebihan memihak parti pemerintah yang menguasai kerajaan persekutuan, yang menguasai segala sumber, jentera dan kemudahan, dan dengan itu boleh merencana serta melaksanakan apa juga taktik kotor untuk memintas Pakatan Rakyat.
Ketika kempen penerangan pihak oposisi bertembung pelbagai kesukaran, misalnya pemberian permit, kemudahan lokasi, sabotaj ketika berceramah, dan dinafikan liputan media, pada masa yang sama Umno-BN bukan sahaja terus selesa menguasai saluran televisyen, radio dan akhbar harian, malah mereka turut mengambil alih posisi "pengadil permainan".
Begitulah yang sering berlaku selepas mereka dikejutkan dengan keputusan pilihan raya yang memeranjatkan. Lihatlah operasi jahat selepas PRU 1999, khususnya persempadanan semula kawasan pilihan raya dan pendaftaran pemilih. Pengalaman kehilangan kuasa, meskipun setakat peringkat negeri, cukup memeritkan Umno.
Pastinya kita belum lupa tragedi di Terengganu sehingga kerajaan PAS ditumbangkan pada 2004. Senarai daftar pemilih cukup meragukan. Ramai yang mengundi lebih daripada sekali dan bertebaran "pengundi hantu". Khabarnya, kini bekas Menteri Besar, Idris Jusoh, terlibat dalam perancangan menawan negeri-negeri yang dikuasai Pakatan, khususnya Selangor, melalui "kaedah Terengganu" itu.
Ketika rakyat tidak puas hati dan marah dengan sistem demokrasi yang pincang, disusuli dua kali demonstrasi besar-besaran di ibu kota, terbaru 9 Julai lalu, rupanya ia tidak cukup untuk menyedarkan pemerintah bahawa mereka perlu lebih serius dan jujur melakukan reformasi besar-besaran ke atas proses pilihan raya. Kalau pun ada perubahan, ia sekadar percubaan kosmetik untuk mengelirukan tanggapan umum.
Lapan tuntutan Bersih 2.0 - bersihkan senarai pengundi, reformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh berkempen minimum 21 hari, perkukuh institusi awam, hentikan rasuah dan tamatkan politik kotor - seperti tidak dipedulikan. Macam-macam daleh dijadikan perisai.
Kuasa mewajarkan segalanya buat Umno. Apatah lagi bagi orang seperti Najib Razak dan Noh Omar yang mengetuai Umno Selangor. Khazanah negara dipunggah semahunya untuk bekalan "membeli dan menyogok pengundi" dalam PRU13, tetapi sebelum itu, jalan pintasnya terbentang luas dengan memanipulasi senarai pemilih, terutama di kawasan yang menyaksikan BN kalah tipis. Di Selangor, sasarannya adalah kerusi Dun majoriti Melayu.
Ya, perit sekali menyertai pilihan raya di sebuah negara sedang membangun yang begitu rendah ranking ketiga-tiga indeks penting, iaitu demokrasi, kebebasan akhbar dan rasuah, seperti Malaysia. Usaha Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan Exco Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiat, untuk membuka ruang demokrasi lebih kondusif wajar dipuji.
"Jika konspirasi Umno bersama SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) dan JPN (Jabatan Pendaftaran Negara), dengan kerjasama pihak polis ini tidak dapat kita gagalkan, saya rasa BN dapat tawan balik Selangor. Dan BN pun nampak confident," kata seorang AJK PAS Pusat.
"Daripada kita menunggu sehingga selepas PRU13 untuk sekali lagi berarak di jalan raya, dan mungkin sudah terlambat ketika itu, kerana dibimbangi amarah rakyat sukar dikawal, maka adalah lebih baik kita cetuskan Bersih 3.0 sekarang," saya mencadangkan.
Berdasarkan komen anak-anak muda dalam facebook, saya perhatikan mereka cukup kecewa dengan siri pendedahan tidak berkesudahan tentang skandal Mykad dan juga sindiket pengeluaran kad pengenalan kepada warga asing.
"Itu yang baru kita temui, entah macam-macam lagi konspirasi jahat Umno yang belum terdedah, apa ditunggu lagi? Bersih 3.0 jawabnya," tulis seorang bekas pemimpin mahasiswa. "Ya, banyak lagi kaedah yang mereka gunakan, dan sebahagian besarnya mungkin dibenarkan undang-undang. Tengok sajalah begitu ramai yang Umno daftarkan sebagai pengundi baru tahun ini," saya membalasnya.
Anak-anak muda yang tidak berpuas hati itu mereka merujuk berita serbuan Pemuda PAS Pusat yang mengepung 240 pendatang asing, yang didakwa diberikan kad pengenalan dan didaftarkan sebagai pemilih di sebuah resort di kawasan sekitar Putrajaya baru-baru ini. Kegiatan itu dikatakan berjalan rancak sejak akhir September lalu dan dibimbangi berterusan hingga Disember ini, dengan andaian PRU13 mungkin Februari atau Mac 2012.
Setiausaha Perhubungan PAS Selangor, Khairuddin Othman dilaporkan berkata pihaknya mempunyai bukti wujud pergerakan bas-bas yang membawa pendatang asing - yang didakwanya untuk diberi kad pengenalan dan didaftar sebagai pengundi - yang dikesan berlaku hampir setiap hari.
"Kita memang ada bukti sahih, kita ada sumber dalaman yang mengesahkan ia melibatkan 10 hingga 15 buah bas. Modus Operandi itu dibuat secara terang-terangan membawa pendatang asing dengan bas," katanya, sambil menambah pendatang berkumpul di beberapa lokasi antaranya Paya Jaras, Hentian Sungai Buloh dan Hentian Serdang. Awal tahun ini PAS Selangor pernah menyerbu dua tempat berasingan dan menemui bukti.
Operasi seumpama itu bukan perkara baru. Ia pernah dilakukan di Sabah, terutama bagi menjatuhkan kerajaan PBS. Bekas Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman khabarnya pernah mengesahkan lebih 60,000 kad pengenalan palsu dikeluarkan di Sabah untuk tujuan pilihan raya.
Amat wajar sekali lagi tekanan ke atas SPR dan pemerintah diteruskan, kempen seluruh negara dipergiatkankan, dan pendedahan disebarluaskan, namun cukupkah sekadar itu? Pemimpin Umno akan bersikap "pekak badak" menunggu PRU13 bagi menjayakan misi mereka.
Harakah turut diasak untuk memainkan peranan lebih proaktif menangani kemelut meruncing ini. "Takkan kita nak biarkan disembelih hidup-hidup begitu saja, seperti berlaku 2004, di Terengganu dan Kedah. Harakah kena fikirkan sesuatu," seorang pembaca mendesak.
Saya dapat menduga jawapan yang dikehendakinya tetapi belum mampu mengungkapkannya lagi ...
Bagaimanapun, seorang lagi pembaca dari Kedah mengingatkan dalam emel, sambil minta saya siarkan dalam kolum ini: "Janganlah kita terlalu sibuk melayan kerja jahat Umno-SPR-JPN sehingga melupakan tugas asasi mendekati rakyat akar umbi. Wakil-wakil rakyat kita mesti turun padang, jangan sombong, usah peraga kehidupan mewah, bantu orang susah yang meminta, ringan tangan berbakti.
"Jangan guna alasan takda peruntukan untuk elak menyantuni orang. Cari dana kebajikan walaupun sedikit. Di negeri Pakatan, mudahkan orang ramai mendapatkan bantuan, termasuk daripada kerajaan pusat. Sekali lagi, jangan ego dan besarkan diri."
II. Tanda tangan Najib dan tender rundingan
Fokus Fikrah kali ini menumpukan isu ketirisan dalam pelaksanaan pembangunan negara. Di sebalik riuh-rendah tawaran dan insentif one-off dalam belanjawan 2012, isu kegagalan sistem penyampaian perlu diketengahkan. Tidak sedikit projek yang diumumkan bajet terdahulu, sama ada gagal ataupun masih belum dilaksanakan.
Ketirisan dalam projek masih berlaku, terutama semasa pelaksanaan projek RMK10. Masih banyak projek-projek besar masih dikendalikan secara tender rundingan, sekadar contoh Institut Kemahiran MARA, Institut Kanser Negara (IKN), Istana Negara dan Malaysian Institute of Aviation Technical (MIAT).
Kontroversi pembinaan Istana Negara tidak perlu diulang lagi, dengan kos awal melebihi RM1 bilion, sehingga menyebabkan Ketua Pengarah Kerja Raya Prof Ir Judin Abd Karim tersingkir. Kos IKN berjumlah RM700 juta, manakala MIAT, RM150 juta.
Perdana Menteri, Najib Razak masih lagi dilihat memberi sokongan kepada kontraktor kroni melalui tandatangan beliau dan mengarahkan Kementerian Kewangan memberikan projek kepada kontraktor berkenaan.
Dalam pada itu, ramai juga tidak berpuas hati dengan insentif RM3,000 kepada kakitangan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) yang telah tamat kontrak. Kedua-dua agensi itu berperanan sebagai agen Umno tetapi menggunakan wang rakyat sepenuhnya.
Saya cuba meninjau laman web Jasa, yang diketuai Fuad Hassan. Dalam kenyataannya sebagai Ketua Pengarah, beliau berkata: "Adalah menjadi harapan saya agar seluruh jentera keluarga besar Jasa berusaha untuk mendapatkan sokongan rakyat terhadap kerajaan (baca Umno-BN) melalui gagasan 1Malaysia."
III. Awang Sariyan dan bahasa supranasional
Ucapan tokoh bahasa, Prof Dr Awang Sariyan sempena Bulan Bahasa Kebangsaan peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya, 11 Oktober lalu menarik perhatian saya. Ketika polemik PPSMI masih cuba ditimbulkan pihak tertentu dan kedudukan bahasa Melayu terus terpinggir di negeri sendiri, penegasan Penyandang Pertama Kursi Pengajian Melayu Malaysia-China ini perlu direnung.
Dalam syarahannya itu, beliau menggariskan enam perancangan berkaitan dengan taraf dan peranan bahasa Melayu. Dr Awang menekankan keperluan peruntukan undang-undang tentang taraf dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu perlu dipertegas dalam pelaksanaan dan penguatkuasaannya.
"Amatlah ironis halnya apabila penguatkuasaan undang-undang pembuangan sampah yang tidak menentu dan kesalahan lalu lintas, misalnya, diberi perhatian, tidak pula undang-undang melanggar peruntukan Perlembagaan negara yang berkaitan dengan dasar bahasa atau akta pendidikan yang memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama tidak diberi perhatian sama sekali," ujarnya.
Mengenai taraf dan peranan bahasa Melayu, beliau berkata, mana-mana pengecualian yang tidak munasabah tidak harus wujud lagi dalam Akta Bahasa Kebangsaan atau akta-akta lain, misalnya pengecualian penggunaan bahasa Melayu dalam sistem kehakiman dan ekonomi (termasuk perdagangan).
Penasihat Persatuan Linguistik Malaysia ini seterusnya mencadangkan penubuhan jabatan atau unit audit bahasa yang memantau penguatkuasaan dasar bahasa, terutama dalam bidang pentadbiran.
Beliau turut menyentuh langkah menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa supranasional, iaitu bahasa serantau dan bahasa antarabangsa, yang tidak terikat oleh batas geopolitik. Bahasa Melayu pernah menjadi bahasa antarabangsa, khususnya dalam zaman bahasa Melayu klasik pada sekitar abad ke-15 dan beberapa abad berikutnya.
Menyinggung peranan penting DBP, beliau mahu kepemimpinannya terus kreatif dan inovatif dalam gerak kerjanya, bukan mengurangkan atau menghentikan kegiatan dan projek.
"Penghematan berbelanja dalam pelaksanaan projek bererti halus dan teliti dalam cara berbelanja, tetapi tidak harus sampai tidak berbelanja untuk projek-projek yang penting untuk kemajuan bahasa, sastera dan ilmu semata-mata kerana hendak memberikan kesan kepada tuan politik bahawa pemimpin DBP pandai berhemat, tetapi sebenarnya tidak memenuhi amanah menjayakan misi memajukan dan mengembangkan bahasa dan persuratan negara," tegasnya, yang juga bekas pegawai kanan DBP.

No comments
Post a Comment