MB Selangor sedia menghadap Sultan bincang isu Kg Baru

Oleh Syed Mu’az Syed Putra dan Mohd Farhan Darwis


KUALA LUMPUR, 11 Okt — Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau akan membawa isu Kampung Baru ke perhatian Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sekiranya majoriti besar pemilik tanah kawasan penempatan eksklusif orang Melayu itu membantah Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru 2011 yang diluluskan di Dewan Rakyat minggu lalu.

Menurut Khalid, beliau akan membincangkan perkara itu terlebih dahulu dengan pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru sebelum membuat keputusan termasuk menghadap Sultan Selangor bagi “melengahkan” pelaksanaan rang undang-undang itu, yang akan dibawa ke Dewan Negara sebelum mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Kita akan bicang dulu (dengan pemilik dan pewaris tanah), kalau setuju kita akan pergi jumpa (Sultan Selangor)... kita orang Melayu ada adat, apa-apa kita akan bincang dulu,” kata beliau pada sidang media selepas Majlis Penerangan “Selamatkan Kampung Baru” di Kelab Sultan Sulaiman di sini malam tadi.

Beliau menjawab demikian apabila ditanya sama ada kerajaan negeri Selangor pimpinannya akan menghadap Sultan Selangor sebagai alternatif bagi “melengahkan” rang undang-undang itu dilaksanakan memandangkan Kampung Baru turut terletak di bawah bidang kuasa baginda.

Tanah di Kampung Baru ini adalah kurnia Almarhum Sultan Abdul Samad kepada orang Melayu lebih 100 tahun lalu dan sehingga sekarang Sultan Selangor berperanan sebagai pelindung dan penjaga kepentingan serta hak orang Melayu di kawasan itu.

Difahamkan dalam isu pembangunan Kampung Baru, Sultan Selangor berhak memberi pandangan serta nasihat kepada Lembaga Pentadbiran Petempatan Pertanian Melayu (MAS) dan penduduk Kampung Baru, malah kedudukan MAS sebagai badan pentadbir juga diputuskan baginda.

Khalid juga enggan menjawab persoalan mengenai kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Senator Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin yang mengatakan Sultan Selangor bersetuju dengan keputusan Putrajaya membangunkan Kampung Baru.

Menurut Raja Nong Chik, bagaimanapun, baginda menitahkan supaya Masjid Jamek Kampung Baru dan Kelab Sultan Sulaiman yang menjadi mercu tanda di kawasan itu mesti dikekalkan.

“Saya tidak mahu cakap pasal perjumpaan beliau dengan Sultan Selangor, saya tidak tahu,” jawab Khalid.

Dalam sidang media itu, Khalid juga mengumumkan akan menubuhkan satu jawatankuasa khas yang akan membantu pemilik dan pewaris tanah membangunkan kawasan masing-masing melalui pinjaman dengan perbadanan kerajaan negeri termasuk Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor.

“Kami memberi jalan penyelesaian yang proaktif terhadap pembentukan rang undang-undang Kampung Baru, kami bukan sahaja menentang, bahkan turut memberi jalan penyelesaian kepada masalah ini,” katanya.

“Ahli jawatankuasa yang dilantik merupakan anggota profesional dalam bidang perundangan, perancang bandar, dan juga penganalisis projek,” tambah beliau.

Beliau juga berkata jawatankuasa itu juga akan memberi tambah nilai terhadap Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru 2011 yang diluluskan Dewan Rakyat pada 5 Oktober lalu.

Pada 3 Oktober lalu, Putrajaya menarik balik Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru 2010 dan digantikan dengan Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru 2011, yang mendapat bantahan wakil rakyat Pakatan Rakyat, pada hari yang sama.

No comments

Powered by Blogger.