Pakatan sedia batal akta Kg jika menang Putrajaya

Oleh Syed Mu'az Syed Putra dan Mohd Farhan Darwis

KUALA LUMPUR, 11 Okt — Sambil menyifatkan pengkhianatan kepada orang Melayu, Pakatan Rakyat berjanji Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru 2011, yang diluluskan Dewan Rakyat minggu lalu di sebalik siri protes sejak tahun lalu, akan dibatal jika perikatan itu menawan Putrajaya pada pilihan raya umum ke-13.

“Pilihan raya umum akan datang, insya-Allah kalau Pakatan Rakyat menang kita akan batalkan rang undang-undang ini,” kata Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) pada Majlis Penerangan “Selamatkan Kampung Baru” di Kelab Sultan Sulaiman di sini malam tadi.

Ketua Pembangkang itu berkata hanya itu sahaja pilihan yang ada pada pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru untuk menyelamatkan kawasan penempatan eksklusif orang Melayu daripada menjadi “mangsa” pembangunan.

“Siapa (Senator Datuk) Raja Nong Chik (Raja Zainal Abidin)? Raja Kampung Barukah? Orang Melayu di Kampung Baru tidak boleh dihina seperti ini... patut beri mesej dan ajar Raja Nong Chik (agar) hormat budaya orang Melayu.

“Apa kepentingan kita di sini? PAS dan PKR, kita tiada kepentingan... ini sahaja kampung kawasan orang Melayu, biarlah ia dipertahankan. DAP pun tiada kata mahukan kawasan Kampung Baru, orang Cina pun tak mahu yang Melayu haprak ini nak mengapa? Kita Little India (di Brickfields), Little Cina (di Jalan Petaling) kita tak kacau tapi mengapa Little Melayu (Kampung Baru) ini jadi masalah? Kalau betul nak tolong bangunkan, beri pinjaman... tidak perlu nak buat perbadanan,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub melahirkan rasa kesal dan kecewa kerana gagal untuk menyekat pentadbiran Najib daripada meluluskan rang undang-undang itu.

“Sekali lagi menyaksikan dengan kekuatan majoriti Barisan Nasional (BN) dalam Parlimen rang undang-undang ini telah diluluskan pada 5 Oktober lalu, di mana kami bagi pihak Pakatan Rakyat telah mencuba dengan bersungguh-sungguh dan telah habis segala ikhtiar kami sebagai manusia biasa untuk halang ia daripada diluluskan.

“Hasilnya selepas ini Dewan Negara yang akan bersidang pertengahan Disember dan ia akan diluluskan dan rang undang-undang akan digazetkan dan pemilik, pewaris dan tanah akan tertakluk masa depan dengan rang undang-undang,” katanya.

Bagaimanapun tegas Ahli Parlimen Kubang Kerian ini, nasib dan masa depan Kampung Baru boleh diselamatkan sekiranya Pakatan Rakyat menerajui Putrajaya.

“Kalau nak rang undang-undang ini ditarik balik jatuhkan BN pada pilihan raya umum ke-13 kerana dari segi amalan dan usaha kita dengan cara itu rang undang-undang ini boleh ditarik balik jika wakil rakyat mendapat mandat yang besar dalam Dewan Rakyat dan Dewan Negara,” katanya.

Jelas Salahuddin, pemimpin Pakatan Rakyat tidak mempunyai sebarang kepentingan ke atas petempatan berusia 111 tahun itu dan segala bentuk pembangunan harus diputuskan pemilik dan pewaris tanah kawasan itu.

“Apa pun yang kami bercakap sama ada di dalam atau luar Parlimen, kami tiada kepentingan apa-apa... kalau saya bercakap soal Kampung Baru, saya tiada apa-apa, kami tiada kepentingan, kami tiada saham dan kami tiada syarikat yang berkepentingan di Kampung Baru.

“Apa yang kami buat pada hari ini sekadar tanggungjawab kami untuk melindungi dan mempertahankan hak pewaris Kampung Baru, itu sahaja,” katanya.

Beliau juga berharap rang undang-undang baru yang menggantikan Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru 2010 tidak akan menggadai hak pemilik dan pewaris tanah.

“Rang undang-undang yang diluluskan ini boleh buat apa sahaja, saya hanya mampu berdoa dan berharap ia tidak jadi seperti pepatah orang tua-tua, kita menang sorak kampung tergadai,” katanya.

Putrajaya menarik balik Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru 2010 pada 3 Oktober lalu tetapi pada hari yang sama digantikan dengan Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru 2011 sebelum diluluskan di peringkat Dewan Rakyat dua hari kemudian.

Bacaan kali kedua rang undang-undang itu telah tertangguh beberapa kali selepas dibawa ke Parlimen 14 Disember lalu ekoran protes.

Dalam pada itu, Naib Presiden PKR Tian Chua pula berkata, langkah Putrajaya meneruskan hasrat untuk membangunkan Kampung Baru tanpa mendapat izin pemilik dan pewaris tanah sebagai satu pengkhianatan kepada orang Melayu.

“Ini adalah satu pengkhianatan apabila pemilik dan pewaris tanah hanya diberi peranan sebagai Majlis Penasihat sedangkan menteri diberi kuasa mutlak.

“Kita perlu pastikan rang undang-undang ini tidak mengkhianati anak-anak dan generasi kita pada masa depan. Dalam pandangan menteri tanah ini akan bernilai jika ia dijual,” katanya.

1 comment

hj lutfi bin hj abu hanifah said...

Apa pulak batal bro, masa orang undi diparlimen kau orang tak de, dah lulus oleh kabinet baru nak sibuk pula.

Powered by Blogger.