Pembaharuan Najib: Hanya helah politik? – Oleh Lim Kit Siang

4 OKTOBER – Saya mengalu-alukan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Parlimen tetapi masih mempunyai keraguan. Sejak tahun 1970-an, DAP telah menyeru supaya sistem pilihan raya mestilah bebas, adil dan bersih.

Selama empat dekad DAP mengemukakan cadangan pembaharuan termasuklah:

* Senarai pengundi yang bersih, jujur dan komprehensif di mana satu sistem pendaftar pengundi automatik dilaksanakan dan setiap rakyat yang mencapai umur mengundi akan disenaraikan, berserta dengan proses pembersihan senarai pengundi dan menghapuskan semua pengundi hantu dan tidak sah;

* Penurunan umur pengundi sah dari 21 kepada 18 tahun;

* Kempen pilihan raya yang adil supaya pengundi diberikan masa yang cukup untuk mendapat segala maklumat yang diperlukan bagi mereka membuat keputusan yang sewajarnya dalam memilih parti dan calon yang disokongnya;

* Menghapuskan segala kesalahan dan amalan pilihan raya yang korup, seperti politik wang di mana undi dijual-beli;

* Menghapuskan penyelewengan undi pos;

* Memperkenalkan konsep kerajaan caretaker untuk melaksanakan tugas pentadbiran harian sepanjang tempoh selepas parlimen dibubarkan hingga ke hari pengundian di mana Perdana Menteri dan Jemaah Menteri dilarang dari menyalahgunakan kuasa, sumber atau dana jawatan rasmi mereka untuk sebarang tujuan kempen pilihan raya dan menghadapi risiko kehilangan kelayakan bertanding sekiranya mereka melanggari peraturan begini – seperti mana yang berlaku kepada Perdana Menteri India, Indira Gandhi dalam tahun 1975 di mana pemilihannya ke Parlimen didapati tidak sah kerana melakukan salah laku pilihanraya dengan menggunakan sumber-sumber kerajaan termasuk helikopter kerajaan dalam kempen beliau;

* Suruhanjaya Pilihan Raya yang bebas, berwibawa dan profesional untuk melaksanakan tugas Perlembagaan mengendalikan pilihan raya yang bebas dan adil, dan bukannya satu badan yang mendakwa bahawa ianya bertanggungjawab mengendalikan proses pilihan raya tetapi tidak berkuasa untuk memastikan pilihan raya itu bersih, adil dan bebas;

* Akses yang bebas dan adil kepada media;

* Pembahagian kawasan pilihan raya yang adil dan demokratik supaya prinsip “satu orang, satu undi, satu nilai” dipertahankan

Seruan DAP selama empat dekad ini tidak dihiraukan oleh UMNO dan Barisan Nasional kerana mereka berjaya meneruskan kuasa pemerintahan mereka berpandukan sistem pilihan raya yang tidak demokratik, tidak adil malah penuh dengan praktik-praktik korup.

Sungguh pun Datuk Seri Najib Razak kini nampaknya menunjukkan semangat pembaharuan politik dan demokratik, rakyat berhak bertanya sama ada Perdana Menteri benar-benar berhasrat murni dengan tiba-tiba bertukar menyokong usaha pembaharuan pilihan raya ini.

Menekan dan menindas Bersih 2.0

Ini berikutan dengan tindakan kerajaan yang menindas dan tidak demokratik dalam menangani perhimpunan aman Bersih 2.0 pada 9 Julai lepas yang menuntut supaya pilihan raya adil dan bebas diadakan di negara ini.

Sebelum perhimpunan aman Bersih 2.0

1. Kerajaan Najib secara sewenang-wenangnya mengumumkan bahawa Bersih 2.0 menyalahi undang-undang.
2. Mengharamkan kemeja-T Bersih dan sebarang benda yang berkaitan, termasuk kemeja-T berwarna kuning serta melakukan penahana yang sembarangan.
3. Pihak berkuasa mungkir janji setelah satu kompromi dicapai untuk perhimpunan diadakan di dalam stadium dan bukannya secara perarakan sungguh pun cadangan ini diterima baik oleh Bersih 2.0.
4. Sekatan jalan oleh pihak polis mengakibatkan kesesakan lalu lintas yang teruk di semua jalan masuk dan keluar Kuala Lumpur, jalan-jalan di beberapa kawasan di kota raya ditutup sama sekali, menyebabkan rakyat tidak sempat mengambil bahagian.
5. Ugutan yang berbentuk liar dan ekstrem bahawa demonstrasi anti-Bersih dan huru-hara perkauman termasuk ugutan akan berlakunya “satu lagi peristiwa 13 Mei”
6. Menyalahgunakan proses mahkamah menerusi injunksi satu pihak, mengharamkan para pemimpin dan aktivis Pakatan Rakyat dari masuk ke kawasan-kawasan utama di Kuala Lumpur pada 9 Julai 2011.
7. Kempen maki hamun yang tidak berasas untuk memburuk-burukkan para pemimpin Bersih, khasnya pengerusi Bersih S. Ambiga, yang bertujuan mencetuskan kebencian dan ketegangan agama dan kaum.
8. Percubaan setiap hari menerusi kempen benci-membenci dan pembohongan oleh media kawalan BN – bercetak dan elektronik – khasnya Utusan Malaysia.
9. Salah guna kuasa yang serius dengan menahan Ahli Parlimen PSM Dr Michael Jeyakumar dan lain-lain aktivis PSM, mula-mulanya atas dakwaan yang tak masuk akal kononnya mereka hendak “melancarkan perang terhadap Agong” dan “menghidupkan kembali komunisme” dan kemudiannya pula menahan mereka di bawah Ordinan Darurat (EO) tanpa perbicaraan.
10. Keengganan/kegagalan SPR untuk respon terhadap lapan tuntutan Bersih 2.0 demi pilihan raya yang bebas, adil dan bersih.

Semasa perhimpunan aman Bersih 2.0

1. Tindakan keras polis yang melakukan penahanan beramai-ramai dan kes-kes individu di mana polis melakukan keganasan dan kekejaman.
2. Peristiwa kematian peserta Bersih 2.0 Baharuddin Ahmad.
3. Penggunaan gas pemedih mata secara sembarangan dan cuai tanpa memberikan notis ke dalam terowong KL Sentral – satu kawasan yang tertutup – tidak menghiraukan keselamatan para pemimpin Bersih dan Pakatan Rakyat serta orang ramai.
4. Penembakan gas pemedih mata serta pemancutan air bercampur bahan kimia yang sembarangan dan menyalahi undang-undang ke dalam kawasan hospital Tung Shin.

Selepas perhimpunan aman Bersih 2.0

1. Ucapan Najib yang garang di depan 6,000 pemimpin UMNO sehari selepas Bersih 2.0 yang memburuk-burukkan hak rakyat untuk berkumpul secara aman.
2. Kredibiliti UMNO dan polis yang terus menjunam kerana mempertikaikan jumlah 50,000 orang telah berkumpul menyokong perhimpunan Bersih 2.0, di mana Ketua Polis Negara mendakwa hanya 6,000 orang yang hadir manakala Menteri Dalam Negeri Hishammuddin Hussein pula berkata 10,000 orang, dan Najib pula berkata di London hanya15,000 orang yang hadir di perhimpunan tersebut.
3. Menolak tanggungawab salah urus perhimpunan Bersih 2.0, khasnya menafikan bahawa polis bertindak kejam dan ganas dan melontar gas pemedih mata dan serangan pemancut air di Hospital Tung Shin (oleh Menteri Kesihatan Datuk Liow Tong Lai) serta terowong KL Sentral sungguh pun terdapat bertimbun-timbun bukti sama ada dalam bentuk saksi atau rekod video.
4. Amaran oleh Timbalan Menteri Kewangan Awang Adek bahawa Bank Negara boleh membekukan harta para pemimpin Bersih.
5. Penapisan artikel The Economist “Taken to the cleaners – an overzealous government response to an opposition rally” untuk menutup peristiwa sebenar perhimpunan Bersih 2.0.
6. Kempen fitnah dan dusta media kawalan BN yang mereka-reka cerita “hantu” dan “musuh” sehinggakan Jabatan Perdana Menteri terpaksa mengeluarkan suatu kenyataan – yang jarang dilakukannya – yang hanya ditujukan kepada media asing untuk menjauhkan diri dari dakwaan Utusan bahawa Bersih mempunyai hubungan dengan Yahudi yang bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan BN – yang turut menggambarkan kegagalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO untuk melakukan sekatan dan kawalan ke atas Utusan, iaitu suratkhabar rasmi UMNO.

Bagaimanakah sebuah kerajaan boleh melakukan begitu banyak “kesilapan” sebelum, semasa dan selepas perhimpunan aman Bersih 2.0?

Hasilnya, lawatan rasmi Perdana Menteri ke United Kingdom, Vatican dan Perancis menjadi malapetaka kerana Najib sentiasa diburu oleh media antarabangsa untuk ditanya soalan mengenai salah urus kerajaan BN dalam isu perhimpunan aman Bersih 2.0 ini.

Adakah Perdana Menteri akhirnya terjaga dari tidur oleh hakikat bahawa beliau telah salah urus perhimpunan Bersih 2.0 yang menyebabkannya kehilangan sokongan rakyat Malaysia pada keseluruhannya?

Apakah Najib berani melaksanakan janji?

DAP, Pakatan Rakyat, masyarakat madani dan rakyat Malaysia pada keseluruhannya kini mempunyai sebab yang amat munasabah untuk meragui keikhlasan dan tujuan sebenar cadangan Jawatankuasa Pilihan Parlimen kerajaan ini – sama ada ianya suatu pertukaran hati yang sebenar, atau pun ia hanya sekadar helah politik.

Bolehkah Perdana Menteri memberi jaminan-jaminan berikut:

1. Parlimen tidak akan dibubarkan dan pilihan raya umum tidak akan diadakan sehingga cadangan-cadangan Jawatankuasa Pilihan Parlimen serta sistem pilihan raya yang menjamin pilihan raya bersih, bebas dan adil dapat dilaksanakan.
2. Lapan tuntutan pilihan raya yang bebas dan adil oleh Bersih 2.0 dimasukkan ke dalam terma rujukan Jawatankuasa Pilihan Parlimen.
3. Menarik balik pengharaman yang dikenakan ke atas Bersih 2.0 dan melakukan rundingan menyeluruh dengan semua pihak berkenaan dan masyarakat madani dalam proses pertimbangan dan membuat keputusan Jawatankuasa Pilihan Parlimen.
4. Penubuhan Jawatankuasa Pilihan Parlimen tidak boleh menjadi alasan kepada SPR untuk tidak melakukan pembaharuan pilihan raya dengan segera yang tidak perlu menunggu keputusan Jawatankuasa Pilihan Parlimen; misalnya membersihkan senarai pengundi, menghapuskan salah laku pilihan raya dan memastikan setiap rakyat yang cukup umur dapat membuang undi mereka dalam pilihan raya nanti.

Sokong jika jujur, tolak jika helah politik

DAP, Pakatan Rakyat dan rakyat Malaysia pada keseluruhannya ingin melihat Jawatankuasa Pilihan Parlimen ini berjaya membawa pembaharuan pilihan raya supaya sistem pilihan raya negara kita benar-benar bebas, adil dan bersih.

Kami berjanji akan memberikan segala sokongan kepada Jawatankuasa Pilihan Parlimen untuk menjayakannya dan bukannya gagal seperti dua Jawatankuasa Pilihan yang lepas – mengenai Integriti Negara dan Perpaduan Negara – yang tidak dapat mengemukakan laporan muktamad mereka sebelum Parlimen dibubarkan.

Pada hakikatnya, dalam kes Jawatankuasa Pilihan Parlimen mengenai Integriti Negara, Menteri yang mempengerusikannya, iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri masa itu, Tan Sri Bernard Dompok, terpaksa meletak jawatan.

Menteri telah kecewa dengan segala rintangan, bantahan, malah pemulauan jabatan-jabatan kerajaan dan pegawai-pegawai kerajaan kanan semasa cuba mendapatkan maklumat dari mereka, khasnya apabila menyentuh perihal Projek Mahathir yang didakwa bertanggungjawab menghalalkan pendatang tanpa izin secara besar-besaran dan memberikan kuasa mengundi kepada mereka ini di Sabah menerusi pengeluarkan dokumen-dokumen kerakyatan yang palsu!

Bolehkah Perdana Menteri member jaminan bahawa tidak akan berlaku sebarang rintangan, bantahan atau pemulauan dari pihak jabatan atau pegawai kerajaan kali ini dan Jawatankuasa Pilihan Parlimen mengenai Pembaharuan Pilihan Raya ini akan mendapat kerjasama sepenuhnya dari pihak kerajaan, termasuklah sekiranya ia menyiasat mengenai Projek Mahathir?

Kita tidak akan menyokong sekiranya Jawatankuasa Pilihan Parlimen ini bertukar menjadi satu helah politik yang hanya memberikan markah politik tambahan kepada Perdana Menteri dan BN tanpa sebarang hasrat untuk melaksanakan pembaharuan yang benar-benar membawa kepada sistem pilihan raya yang bebas, adil dan bersih dalam pilihan raya umum yang akan datang.

Sebagai kesimpulan, saya menyeru supaya Perdana Menteri menunaikan janji-janjinya baru-baru ini yang kononnya hendak menjadikan Malaysia “the best democracy in the world”.

Najib juga mesti menarik balik perisytiharannya di Perhimpunan Agung UMNO tahun lepas untuk mengekalkan kuasa UMNO, iaitu “walau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa”, iaitu beliau, UMNO dan BN akan menerima keputusan rakyat, termasuk keputusan untuk bertukar kerajaan di Putrajaya, dalam pilihan raya umum yang akan datang. – Roketkini.com

1 comment

Unknown said...

najib tak akan tarik kenyataannya tu. biar hancur berkecai, namun tidak akan reda... bersemngat sekali.tapi dia yang lari dulu dan terpaksa panggil baju hitam dan topi merah bagi memenangkan dirinya. cakap mudah, semangat je tak guna. negara hancur dia lari...bagus. kita kena tekan umno cukup-cukup.

Powered by Blogger.