Hudud: PAS memerangkap Umno/BN — Tok Ki

4 OKT — Isu hudud Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kelantan dan tentangan Karpal Singh daripada DAP adalah sandiwara politik yang cuba mengalihkan isu Mat Sabu yang banyak menjejas pengaruh pakatan pembangkang di mata awam.

Dalam masa sama, mereka ingin memerangkap Umno/BN supaya terjebak di Parlimen Oktober ini sekiranya terdapat usul tergempar mengenai pindaan Perlembagaan yang membolehkan hudud dilaksanakan.

Dan yang lebih utama membuat justifikasi bahawa pengenalan Negara Berkebajikan adalah suatu muslihat melunakkan perjuangan negara Islam oleh ulama PAS dan menampilkan pengaruh kumpulan Edorgan atau Anwarinas dan Anwar Ibrahim tentang perlunya PAS terikat kepada dasar Buku Jingga. Dasar Buku Jingga tidak menyebut mengenai negara Islam apa lagi pelaksanaan hudud.

Oleh itu PAS mempunyai hujah sewaktu kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti bukanlah PAS tidak mahu hudud tetapi dihalang oleh Perlembagaan Persekutuan dan tidak disokong oleh Umno/BN. PAS akan menyatakan dengan lantang nanti bahawa Umno menolak hudud. Tapi kalau dibawa ke Parlimen pun mahukah DAP menyokongnya?

Mana mungkin hudud menjadi agenda PAS kerana dalam muafakat yang lebih besar di kalangan kepimpinan pakatan pembangkang, Dasar Buku Jingga tidak memasukkan perjuangan hudud baik di Kelantan dan negeri-negeri yang dikatakan bakal dikuasai oleh PAS dan pakatan pembangkang nanti. Intipati perjuangan Buku Jingga secara jelas tidak memperjuangkan Negara Islam apalagi hudud.

Isu ini secara jelas dipolitikkan oleh PAS untuk memenangi pengaruh paling tidak di Kelantan. Biasanya isu syurga-neraka, jahiliah-kafir dan hudud adalah senjata yang ampuh dalam politik akar umbi di Kelantan. Ternyata sekian lama ia amat berkesan untuk menambat hati orang Kelantan. Umno yang dilihat sebagai kafir, taghut, jahiliah menjadi isu yang tidak pernah hilang dalam politik Kelantan.

Dengan Negara Kebajikan dan dasar Buku Jingga orang boleh persoalkan tentang Negara Islam dan hukuman hudud. Ia tidak tercatat langsung dalam dasar itu. Dengan menimbulkan isu hudud cara PAS di Kelantan sekarang dan ditolak oleh Parlimen dan Umno/BN ia diharap menjadi modal utama kempen nantinya.

Mengapa dikatakan isu hudud ala PAS itu dipolitikkan. Umum mengetahui bahawa ulama dalam PAS mahukan hudud. Kenyataan Nik Aziz, Ketua Dewan Ulama, Harun Taib, Ketua Pemuda Nasrudin Hasan, Tuan Ibrahim Tuan Man adalah menyokong hudud sepenuhnya.

Dalam masa sama, Naib Presiden PAS Salehuddin Ayub, mengambil pendekatan lunak. Apakah ini suara daripada kumpulan Anwarinas yang tidak sekata dengan suara ulama. Ini membolehkan Anwar Ibrahim dalam kemelut yang berbangkit meyakinkan Karpal Singh dan DAP bahawa jika isu hudud dibawa ke Parlimen sekalipun, ia tidak akan diterima dan hasrat Karpal Singh untuk melihat hudud tidak dilaksanakan akan terjadi. Ini yang menyebabkan Karpal Singh tidak membantah dalam mesyuarat tersebut.

Abdul Hadi Awang suatu ketika dulu juara Negara Islam dan hudud nampaknya semacam tidak lagi menjadi jurucakap ulama yang mahukan negara Islam dan menerima Dasar Buku Jingga yang tidak memasukkan perjuangan negara Islam sebaliknya dalam Muktamar yang lalu mengemukakan konsep Negara Berkebajikan dan membuat hujah bahawa konsep Negara Islam tidak ada dalam al-Quran.

Ada orang mengatakan bahawa pengaruh ulama hanya tinggal 30 peratus dalam PAS. Kehadiran Hassan Ali menjadikannya serba tidak kena dan ketidakhadiran Ustaz Nasaruddin Mohd. Isa dalam mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi PAS menimbulkan persoalan.

Yang jelas pengaruh Anwarinas semakin kuat. Dan apakah pengaruh ulama dalam PAS bakal terpinggir. Kalau begitu slogan “Membangun Bersama Ulama’” dan “Kami sokong Hudud “dalam perjuangan PAS bakal hilang kerana suara ulama yang inginkan Negara Islam dan hudud bakal tenggelam.

Kerajaan istiqamah dalam memperkasakan peraturan syariah dalam sistem perundangan syariah di Malaysia. Walaupun fokusnya banyak kepada Undang-undang Keluarga Islam dan muamalah/ekonomi tetapi ia suatu permulaan yang baik untuk memperkenalkan institusi berasaskan syariah dalam sistem perundangan, kewangan dan ekonomi negara.

Pengenalan sukuk (bon Islam) di tahap dunia, industri halal secara besar-besaran, memperkukuhkan bahagian syariah dan sistem latihan kewangan di Bank Negara adalah antara contoh bahawa usaha mengembalikan sistem ke arah yang berdasarkan syariah sedang berlaku. Bank Rakyat umpamanya adalah contoh bank Islam yang berkembang dan disertai ramai kalangan bukan Islam kerana keuntungan dan kestabilannya.

Tidakkah itu memberi gambaran bahawa maqasid syariah dalam ilmu, pendidikan, pentadbiran, muamalah, ekonomi dan sosial sedang berjalan sekian lama di Malaysia. Penubuhan Universiti Islam Malaysia (DiRaja) yang bakal berlangsung, Kolej Universiti Al Quran Malaysia yang sedang di teroka bakal mengukuhkan lagi UIAM, USIM dan lain-lain institusi pengajian tinggi Islam berstatus negeri.

Penghantaran pelajar-pelajar berpotensi ke seluruh dunia (termasuk anak-anak pembangkang) dan menyediakan tempat belajarnya dalam negara adalah dilakukan oleh kerajaan dan dianjurkan oleh Islam.

Membangunkan masyarakat baru di Felda dan Felcra, membangun Dasar Pertanian Negara dan Nelayan, membantu kelompok miskin dengan bantuan dan perumahan, membantu usahawan yang berpotensi dan memperkukuhkan latihan keusahawanan untuk generasi muda adalah dasar-dasar yang tidak bercanggah dengan Islam.

Banyak lagi kalau ingin disebut di sini yang menjadi pendekatan kerajaan dan Umno yang sebahagian besarnya dimanfaatkan oleh ahli-ahli dan anak-anak ahli pembangkang. Apakah mereka rasa bersyukur dengan apa yang mereka terima dan membantu mengukuhkan lagi dasar-dasar Islam yang sedia terdapat.

Apa maksud Negara Islam PAS dan sekarang pula Negara Berkebajikannya. Apakah yang disebutkan sebahagiannya yang dilakukan oleh Umno dan kerajaan tidak Islamik dan memberi fokus kepada kebajikan rakyat. Tidaklah salah gerakan PAS cuba mengukuh asas-asas rohaniah tetapi tuntutan sebenar yang harus PAS lakukan ialah membangun model alternatif untuk membangun sistem yang Islamik.

Apakah di Kelantan sejak puluhan tahun PAS memerintah masalah sosial sudah dapat diatasi. Apakah masalah air bersih sudah dapat dibekalkan. Apakah kegiatan-kegiatan ekonomi yang Islami sudah berkembang dan menjadi model yang boleh dicontohi dan diikuti oleh negeri-negeri lain di Malaysia.

Apakah Kelantan mempunyai program induk menyekat penghijrahan ramai warganya ke Lembah Klang dan tempat-tempat lain sedangkan orang Kelantan mempunyai potensi berniaga dan boleh digerakkan ke arah produktiviti yang tinggi. Apakah kadar kemiskinan dan pengangguran di Kelantan sudah dapat di atasi.

Apakah sudah ada dasar budaya, seni dan sukan yang Islami di Kelantan. Inilah antara isu-isu pokok sebagai prasyarat untuk mewujudkan negara Islam apalagi pelaksanaan hudud yang menjadi perintah Allah. Perlu ada iklim pembangunan dan perubahan yang kondusif supaya apabila dilaksanakan hudud ia menjadi pengukuh kepada sebuah sistem yang Islami. — Utusan Online

1 comment

Unknown said...

utusan sibuk dengan seni, sukan dan hiburan seolah-olah ia perkara utama. kalau boleh muzik dan nyanyian tu dinilai kembali dan dijelaskan tentang hukumnya agar umat melayu tidak lalai dan leka dengan hiburan. komentar ini, merujuk kepada para akhir setelah menyindir akan buku jingga.

Powered by Blogger.