Pak Lah sokong cadangan ‘Ujian 1 Malaysia’

KEPALA BATAS, 18 Sept — Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi menyambut baik dan menyokong cadangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya setiap individu, kumpulan dan institusi berpengaruh dalam masyarakat menjalani “Ujian 1Malaysia”.

Abdullah berkata ujian berkenaan amat penting bagi memastikan rakyat Malaysia yang berpengaruh bebas daripada bersikap perkauman.

“Saya percaya ujian itu juga akan membuatkan rakyat negara ini akan terus hidup aman, selamat dan bahagia kerana masing-masing tidak bersikap perkauman dalam menjalankan kehidupan seharian,” katanya.

Abdullah yang juga Anggota Parlimen Kepala Batas berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Perdana Menteri yang mahu masyarakat negara ini menjalani “Ujian 1 Malaysia” pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitrinya di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis yang dihadiri kira-kira 3,000 tetamu itu ialah Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas, Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Penaga, Datuk Azhar Ibrahim, Adun Pinang Tunggal Datuk Roslan Saidin dan Adun Bertam Zabariah Abdul Wahab.

Abdullah berkata adalah penting bagi setiap rakyat negara ini mengamalkan konsep 1 Malaysia bagi memastikan mereka tidak melampaui dalam hal-hal berkaitan kaum, agama dan isu sensitif yang lain.

“Peranan rakyat adalah bersatu padu seperti konsep 1 Malaysia yang dilaungkan kerajaan tanpa mengira kaum demi kepentingan semua pihak dan saya yakin dengan ujian yang dicadangkan itu akan mampu menghindarkan negara dari berlaku sesuatu yang tidak diingini seperti pergaduhan antara kaum,” katanya.

Katanya Malaysia semakin berjaya dan membangun bukan hanya satu kaum sebaliknya adalah kerjasama daripada semua kaum yang terdapat di negara ini. Beliau turut menasihatkan rakyat Malaysia supaya berpegang kuat dan mematuhi perlembagaan serta rukun negara bagi memastikan negara terus aman dan maju.

“Kita mesti menghargai kebaikan dan hubungan antara kaum serta budaya kaum yang ada dalam negara kita kerana ia merupakan satu keistimewaan yang menjadikan Malaysia unggul dan unik,” katanya. — Bernama

No comments

Powered by Blogger.