Ar Rahn Jalan Tok Hakim dipecah masuk
KOTA BHARU, 10 Ogos (Hrkh) - Sebuah kedai pajak Islam, Ar-Rahn di Jalan Tok Hakim milik Permodalan Kelantan Berhad (PKB) dipecah masuk kira-kira jam 12 pagi tadi.
Kejadian itu hanya disedari pihak pengurusan Ar Rahn pada jam 3 pagi. Ar Rahn sehingga kini mempunyai 13 kedai gadaian Islam, merupakan anak syarikat kepada Perbadanan Kemajuan Iktisas Negeri Kelantan (PKINK).
Ar Rahn juga membuka cawangan pertama di luar Kelantan iaitu di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Ketua Polis Kelantan, Dato' Abdul Rahim Hanafi berkata, premis itu dipecah masuk sekumpulan lelaki dalam kejadian tengah malam tadi.
Beliau berkata, melalui rakaman litar tv tertutup (CCTV) yang terdapat di dalam premis berkenaan, empat individu bertopeng terbabit dalam kejadian tersebut.
"Siasatan polis juga mendapati keempat-empat suspek memecah masuk melalui bumbung atas bangunan tiga tingkat itu.
"Mereka kemudian bertindak menebuk lubang terus ke bilik kebal sebelum mengambil emas yang disimpan di dalam lebih 200 peti besi simpanan emas di kedai terbabit," katanya pada persidangan media di sini.
Abdul Rahim berkata suspek hanya berjaya melarikan emas yang belum diketahui nilainya.
Bagaimanapun katanya wang bernilai RM360,000 yang turut disimpan di dalam peti besi di situ tidak dapat dibuka mereka.
Sementara itu, pihak pengurusan PKB berharap orang ramai yang terlibat dengan urusan di Ar Rahn berkenaan bertenang dan pihaknya memberi jaminan akan bertanggungjawab ke atas semua barang-barang gadaian milik pelanggan.
"Pihak kami juga terpaksa menutup operasi di cawangan tersebut bermula hari ini sehingga diberitahu kelak," katanya.
Pengarah Eksekutif PKB, Sabri Abdullah berkata, pihak PKINK kemungkinan besar akan mengadakan sidang media khas mengenai kejadian tersebut esok. - mj
No comments
Post a Comment