Dewan Ulamak PAS rakam tahniah kepada Anwar

Dewan Ulamak PAS Pusat merakamkan ucapan tahniah di atas kejayaan Dato' Seri Anwar Ibrahim mengekalkan kemenangan Pakatan Rakyat di Permatang Pauh, kelmarin.
Iklan




Ketuanya, Dato' Mohamed Daud berkata, kemenangan itu adalah hasil kerjasama padu seluruh jentera Pakatan Rakyat, biar pun cuba diperlekehkan media massa sebelum ini.

"Sebaliknya apa yang berlaku Barisan Nasional (BN) begitu bermasalah dan tiada kesefahaman di antara mereka. Kemenangan Anwar memberi tamparan hebat kepada Umno dan BN.

"Umno sepatutnya sudah boleh mengambil iktibar kekalahan teruk pada pilihan raya umum lalu, sebaliknya mereka tetap ego dengan memperlekehkan Pakatan Rakyat.

"Akhirnya rakyat Permatang Pauh menghukum mereka dengan peningkatan majoriti begitu besar dalam sejarah sebuah pilihan raya kecil,� katanya ketika ditemui di sini.

Pada pilihan raya kecil itu Anwar menang dengan kelebihan majoriti 15,671 undi mengatasi jauh calon BN, Dato' Arif Shah Omar Shah yang meraih 15,524 undi.

Manakala calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim), Hanafi Hamat hanya meraih 92 undi dan hilang wang deposit.

Mohamed berharap Anwar dapat menjalankan tanggungjawabnya sebagai Ketua Pembangkang bagi melahirkan kesejahteraan kehidupan rakyat di negara ini.

"Kemenangan ini juga akan membuat orang ramai sedar, walau pun Pakatan Rakyat diserang media massa milik BN, namun rakyat semakin muak dan jijik terhadap tindakan mereka.

"Ini terbukti sehari sebelum penamaan calon Saiful Bukhari Azlan membuat sumpah laknat berhubung kes liwat yang cuba dikaitkan dengan Ketua Umum KeADILan," ujar beliau.

Begitu juga katanya, isu seperti penahanan segera dua anggota Exco Di Perak oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) memperjelaskan lagi ketempangan kerajaan BN.

Ditanya sindrom pemimpin Umno yang bersumpah dengan nama Allah, beliau menjelaskan perkara itu tidak lebih sebagai mainan politik.

Mengenai sumpah Saiful beliau berkata, sepatutnya pemuda itu membawa saksi terlebih dahulu bagi membuktikan segala tuduhannya terhadap Anwar.

"Mana saksi dalam kes ini. Kalau tiada saksi, menurut hukum Islam dia boleh dikenakan hukuman rotan 80 kali kerana membuat dakwaan palsu," ujar beliau.

Malah kata beliau sepatutnya hakim yang boleh menentukan seseorang itu wajar bersumpah atau tidak sebagai jalan terakhir.

Oleh itu beliau berharap umat Islam di negara ini tidak mempermainkan sumpah bagi menegakkan benang basah kerana akibatnya amat berat

No comments

Powered by Blogger.