MENGAPA WAJIB MEMILIH DS ANWAR?

Detik 26 Ogos 2008 merupakan detik penentu samada rakyat Permatang Pauh berjaya menewaskan segerombolan kaki-kaki fitnah dan kurang ajar yang cuba mengajar rakyat Permatang Pauh bersikap biadap dan tidak bermoral. Kempen di Permatang Pauh begitu jelik sekali bagi menggambarkan betapa takutnya mereka kepada DS Anwar. Tidak dapat dibayangkan bagaimana mereka untuk berhadapan dengan DS Anwar sekiranya beliau berjaya menapak di Parlimen nanti.

Kepada rakyat di Permatang Pauh, mereka wajib memilih DS Anwar sebagai pemimpin yang akan mewakili mereka di Parlimen sekaligus menobatkan beliau sebagai PM Malaysia yang baru, InsyaAllah. Mengapa perlu DS Anwar dipilih?

1. Rekod cemerlang beliau sewaktu di dalam kerajaan dulu tanpa sebarang dakwaan rasuah. Yang ada cuma tuduhan tanpa laporan Polis dan tidak pernah dibuktikan sehingga kini.

2. Beliau telah diuji dengan kesenangan dan juga seribu kesusahan dan penderitaan. Oleh itu beliau amat memahami orang-orang yang susah dan apa jua keperluan rakyat yang boleh beliau bantu sekiranya beliau memimpin negara ini.

3. Sekiranya beliau kaki rasuah, sudah pasti pihak yang ingin menjatuhkan beliau tidak perlu bersusah payah mencipta tuduhan yang tidak masuk akal seperti tuduhan liwat dahulu. Sudah tentu pihak yang berkuasa dengan mudah mendapatkan bukti atau saksi untuk mendakwanya atas kes rasuah, sekiranya benar beliau kaki rasuah. Yang pasti beliau bukan kaki rasuah.

4. DS Anwar punyai prinsip keagamaan yang tinggi. Di zaman beliau di dalam UMNO dan memegang jawatan di dalam UMNO dan juga kabinet, beliau telah menerapkan nilai-nilai Islam. Di zamannya Bank Islam dan Universiti Islam diwujudkan. Murid-murid sekolah beragama Islam mula diajar dan dilatih menutup aurat baik lelaki dan perempuan. Setiap sekolah mula menganjurkan Sembahyang Berjemaah dan Qiamullail. Setiap jabatan kerajaan juga ada kelas agama atau tazkirah.

5. Beliau dan keluarganya mempunyai akhlak dan moral yang baik. Semua ahli keluarga beliau, terutamanya isterinya Datin Seri Wan Azizah sentiasa menutup aurat. Tidak seperti pemimpin-pemimpin negara yang ada sekarang. Lihatlah isteri-isteri mereka, apatah lagi anak-anak mereka. Mereka cuma menyebut Islam bila sudah terdesak sahaja. Sumpah sudah menjadi mainan mereka demi politik mereka, melanggar segala peraturan dan syarat-syarat sumpah itu sendiri.

6. Beliau mempunyai agenda ekonomi yang mantap dan berwawasan. Dasar ekonomi yang akan beliau bawa telah ditetapkan lebih awal tanpa berselindung dengan menjadikan dasar ekonomi menjana kehidupan semua bangsa dan agama yang menjadi rakyat Malaysia. Prinsip mempertahankan ketuanan Melayu di samping mempertahankan hak-hak bukan Melayu kini telah mula dipraktikkan di bawah negeri-negeri Pakatan Rakyat.

7. Hubungan baik beliau bersama pemimpin PAS dan DAP serta ahli-ahli UMNO peringkat bawahan tidak dapat dinafikan. Politik secara berhemah beliau amat dikagumi dan sudah tentu sekiranya beliau menjadi pemimpin negara ini, negara kita akan sentiasa dihormati kawan dan digeruni lawan. Walaupun beliau seorang yang tegas, tetapi tetap berdiplomasi serta penuh kebijaksanaan.

8. DS Anwar berjaya mendapatkan kepercayaan dari pimpinan DAP dan PAS untuk menerajui negara ini. Oleh itu, wajar bagi beliau diberi peluang untuk membuktikan bahawa negara ini boleh ditadbir dengan adil dan saksama.

9. Memilih DS Anwar sebagai pemimpin akan membolehkan rakyat mengetahui siapakah pemimpin-pemimpin UMNO/BN atau pihak-pihak lain yang selama ini menipu rakyat serta mendedahkan salah laku mereka. Mereka-mereka yang menyeleweng serta menyalahgunakan kuasa sekarang sudah pasti akan dibicarakan dan dihukum jika bersalah. Mereka-mereka ini lah sekarang ini begitu takut jika DS Anwar menang di Permatang Pauh kerana kedudukan dan masa hadapan mereka akan terancam.

10. DS Anwar seorang tokoh yang dikenali di dalam dan di luar negara. Beliau seorang pemikir dan pemidato yang baik, berani serta mampu berhujah dengan berkesan. Kita telah dibuktikan semasa debat soal minyak baru-baru ini. Kita pasti bertuah sekiranya mempunyai seorang pemimpin yang berwibawa seperti ini bukan pemimpin yang suka bercakap berdolak dalik, tidak menepati janji dan lebih suka tidor dari memikirkan masalah rakyat.

11. Beliau tidak pernah bertindak memberi kekayaan kepada anak-anak atau keluarga beliau sewaktu di dalam kerajaan. Bahkan, sewaktu beliau di dalam penjara, keluarga dan anak-anak beliau dibantu oleh rakan-rakan seperjuangan. Seandainya beliau telah mengumpulkan harta yang banyak sewaktu di dalam kerajaan, sudah pasti keluarga beliau tidak menghadapi kesusahan sewaktu beliau di dalam penjara. Kini, sudah tiba masanya untuk kita meminta beliau pula membantu rakyat yang semakin susah ini iaitu dengan cara kita memilih beliau untuk ke Parlimen.

12. DS Anwar bukan seorang yang pendendam. Kesalahan sesiapa pun terhadap beliau senang untuk beliau maafkan. Bekas Ketua Polis Negara, Rahim Noor telah pun beliau maafkan di luar mahkamah atas kesalahan memukul beliau. Tun Dr Mahathir juga pernah beliau maafkan, tetapi Tun Dr Mahathir tetap mahu berseteru dengan beliau. Cuma, kesalahan kepada rakyat tidak mampu DS Anwar maafkan kerana itu adalah hak rakyat samada untuk memaafkan atau tidak mana-mana pihak yang menzalimi rakyat.

13. Hubungan beliau amat baik dengan alim ulamak. Beliau pernah cuba mempertahankan Mufti Selangor, Allahyarham Dato' Ishak Baharom ketika mufti tersebut ingin dipecat. Sewaktu beliau berada di dalam kesusahan dan fitnah yang menimpa, rujukan pertama yang beliau cari adalah alim ulamak termasuk ulamak terkenal dari luar negara. Hubungan intim beliau dengan Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz dan Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang serta Dato' Haron Din telah membantu beliau merapatkan hubungan silaturrahim pengikut parti-parti yang berlainan ideologi. Segala permasalahan hukum telah dirujuk kepada ulamak-ulamak terlebih dahulu bukan dibuat sesuka hati termasuk dalam isu sumpah kes liwat baru-baru ini.

14. Keprihatinan beliau terhadap kebajikan bangsa-bangsa bukan Melayu juga begitu teserlah. Beliau memahami negara ini tidak akan aman dan tenteram selagi semua bangsa dan agama tidak mendapat layanan yang adil. DS Anwar tidak bersifat `Assabiyyah' yang diharamkan oleh Islam, justeru itu beliau tidak sealiran dengan UMNO. Beliau lebih hampir kepada kehendak Islam yang tidak pernah membezakan warna kulit dan agama dari segi kebajikan.

15. DS Anwar telah cukup diuji sebagai pemimpin. Tiada sejarah di negara ini mana-mana ahli politik yang telah diuji sehebat yang beliau alami. Namun, semangat beliau tetap untuk senang dan susah bersama rakyat. Bukan seperti pemimpin-pemimpin UMNO yang ada kini. Mereka-mereka itu hanya pandai mengampu pemimpin mereka walau pun keputusan pemimpin mereka itu menyusahkan rakyat. Apabila pemimpin yang mereka ampu itu sudah tiada kuasa, mereka akan mengampu pula pemimpin yang baru dan menghina pula pemimpin lama mereka. Lihatlah, apa yang telah terjadi kepada Tun Dr Mahathir? Tidakkah dahulu penuh tangan Tun Dr Mahathir dengan air-air liur mereka yang mencium dan mengucup tangan beliau? Kini, muka Tun Dr Mahathir pula dipenuhi air liur dan caci maki mereka. Andainya Tun Dr Mahathir yang terbilang itu dilakukan sedemikian rupa, siapakah kita pada mereka?

Terlalu banyak untuk diperkatakan betapa rakyat Permatang Pauh wajib memilih DS Anwar sebagai pemimpin. Lihatlah di sekeling kamu, semua pemimpin UMNO/BN yang datang merayu undi kamu sekarang adalah mereka-mereka yang tanpa takut, segan silu dan bersalah mengangkat tangan bersetuju sewaktu usul kenaikan harga minyak dibahaskan di Parlimen. Apakah rakyat di Permatang Pauh sanggup menghantar seorang lagi wakil yang akan menambahkan bilangan tangan-tangan yang menindas rakyat di Parlimen? Berfikirlah semasak-masaknya. Sebelum tarikh mengundi, tutuplah mata kamu dari melihat apa jua umpan yang dihulurkan oleh mereka. Tutuplah telinga kamu dari mendengar apa jua kempen dan tipu muslihat mereka. Tetapkan dihati bahawa kamu akan memilih seorang yang berjiwa besar, pejuang yang telah diuji dan seorang tokoh yang digeruni iaitu DS Anwar Ibrahim.

Selamat Mengundi DSAI, Semoga Undi Kelian diberkati, InsyaAllah.

No comments

Powered by Blogger.