PAS bantah konsert Avril Lavigne

KUALA LUMPUR: PAS hari ini membantah penganjuran konsert artis simbol seks Avril Lavigne pada Jumaat ini kerana menganggap ia sebagai satu penghinaan kepada Malaysia yang akan menyambut ulang tahun hari kemerdekaan dan umat Islam yang akan menyambut bulan Ramadan.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Nasrudin Hassan berkata menjelang sambutan kemerdekaan, lazimnya kerajaan akan menganjurkan majlis tahlil di seluruh negara dan forum untuk motivasi rakyat khasnya anakanak muda supaya mewarisi semangat patriotisme.

"Konsert seperti ini tidak akan membantu menjadikan generasi muda sebagai rakyat yang baik, bermoral dan berdaya saing, sebaliknya hanya melemahkan moral dan mental mereka dan sekali gus mengheret mereka tenggelam di bawah gelora nafsu," katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau berkata Pemuda PAS menuntut agar konsert ini dibatalkan dan tidak teragak-agak untuk mengadakan bantahan sekiranya pihak penganjur berkeras untuk menganjurkannya.

Konsert itu pada mulanya tidak diluluskan kerana tidak mematuhi prosedur memandangkan penganjur perlu mengemukakan permohonan tiga hari bekerja sebelum mesyuarat mingguan Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal).

Penganjur konsert bukan sahaja lewat mengemukakan permohonan iaitu pada 11 Ogos lepas, sehari sebelum mesyuarat Puspal, malahan membuat promosi terlebih dulu sebelum mengemukakan permohonan.

Minggu lepas, Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata Kabinet meluluskan konsert itu berdasarkan "budi bicara".
BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.