Pakatan Rakyat digesa fokus selamatkan negara
KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Hrkh) - Kemenangan Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh merupakan satu petanda yang jelas rakyat menolak budaya politik fitnah dan pembohongan serta menyerang peribadi.
Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Mohd Azmi Abdul Hamid berpendapat dengan meraih kemenangan tersebut, fokus Pakatan Rakyat kini harus diberikan kepada agenda-agenda besar untuk menyelamatkan negara.
"Rakyat terlau ghairah untuk melihat perubahan dalam politik negara. Keputusan tersebut juga menunjukkan rakyat sudah tidak dapat menerima pemimpin yang masih berselindung di sebalik pembangunan serta penyalahgunaan kuasa serta amalan kronisma dan nepotisma yang masih berlaku.
"Dalam pilihan raya kecil ini juga kita menyaksikan Barisan Nasional menggunakan seluruh jentera kerajaan,"katanya sewaktu dihubungi Harakahdaily.
Beliau melahirkan kekesalan kerana adanya pemimpin negara yang turut terlibat secara langsung menyebarkan fitnah melalui edaran risalah tenng fitnah yang nyata terhadap Anwar sepanjang tempoh berkempen.
Perbuatan ini katanya, sangat berbahaya kerana seolah-olah mengesahkan amalan buruk yang boleh diikuti rakyat biasa.
Mohd Azmi yang turut meninjau sendiri suasana di Permatang Pauh sepanjang kempen pilihan raya juga melahirkan kekesalan dengan pemimpin Pemuda Umno yang dilihat bersikap samseng dengan mencaci maki serta menyerang secara jijik terhadap peribadi Anwar.
Katanya, sikap ini tidak seharusnya berlaku kerana semua pihak harus memahami bahawa proses perbicaraan terhadap beliau patut dihormati.
Bagaimanapun katanya, pemimpin Pemuda Umno dilihat terlalu ghairah untuk menghukum Anwar.
"Hampir semua anggota kabinet turun berkempen dan cuba menjelaskan tentang pembangunan negara. Tetapi ternyata segala kenyataan mereka itu sudah tidak dipercayai rakyat,"katanya.
Dalam pada itu, Mohd Azmi juga menganggap media arus perdana secara jelas menunjukkan amalan kewartawanan dan pemberitaan yang sangat rendah, yang mana turut berkonspirasi dengan cuba memberi gambaran untuk menghina apa yang telah diperjuangkan Pakatan Rakyat.
Sementara itu, Mohd Azmi menegaskan, dengan kemenangan KeADILan di Permatang Pauh , Pakatan Rakyat perlu memberikan fokus dengan menunjukkan contoh yang baik dalam pentadbiran negeri-negeri pimpinannya.
"Sekarang ini Pakatan Rakyat sudah cuba menyusun barisan kepimpinannya yang meyakinkan dan sudah mempunyai kabinet bayangan, sekaligus menghasilkan satu dokumen khas Pakatan Rakyat kepada rakyat.
"Pakatan rakyat juga cuba mendekati Ahli Parlimen yang berminat untuk berdialog secara telus dan terbuka. Ada yang merasakan sekaranglah masa untuk bersama dengan sebuah kerajaan yang baru setelah rakyat melihat adanya kepimpinan lain selain Barisan Nasional,"katanya. - mks
No comments
Post a Comment