Rakyat jelak kempen melampau BN - Nik Aziz

KOTA BHARU, 27 Ogos (Hrkh) - PAS menyifatkan kemenangan calon Pakatan Rakyat pada pilihan raya kecil Permatang Pauh semalam membuktikan rakyat sudah jelak dengan kempen politik melampau Barisan Nasional (BN).
Iklan




Mursyidul Am, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, rakyat menolak calon BN walaupun pelbagai serangan dihala terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim terutamanya tuduhan liwat kali kedua.

"Zaman Umno dan BN menggunakan kempen politik melampau sudah berlalu kerana rakyat hari ini tidak sama berbanding zaman sebelum merdeka," katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara Ladang Rakyat dan Panmont Height Sdn Bhd bagi melaksanakan projek tanaman pokok jatropha (jarak) dan nanas.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, rakyat Malaysia termasuk penduduk bukan Islam kini mendekati perjuangan yang didokong PAS kerana mementingkan keadilan dan kesejahteraan rakyat.

Kata beliau Umno seharusnya mengambil iktibar daripada kesilapan pilihan raya umum sebelum ini.

"Sekarang sudah ramai rakyat yang berpelajaran tinggi, di mana berpuluh ribu setiap tahun mereka tamat belajar. Sudah tentu mereka dapat membuat pilihan antara benar dengan yang batil.

"Sudahlah, zaman Umno guna perjuangan kebangsaan dah habis dah..," ujarnya.

Menurutnya juga Allah Taala menurunkan al-Quran untuk dijadikan perlembagaan hidup manusia, namun kerana ada kepentingan dunia perundangan itu diketepikan oleh pemerintah di negara ini. - mj _

No comments

Powered by Blogger.